Setelah sekian lama mengambil pendekatan mendiamkan diri, akhirnya Presiden PKR, Wan Azizah Wan Izmail akhirnya tampil membuat kenyataan sambil menolak dakwaan yang mengatakan Ketua Umum parti itu, Anwar Ibrahim akan mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor dari Abdul Khalid Ibrahim.
"Tan Sri Khalid sudah mengendalikan kerajaan negeri dan kita sudah tengok sebagai Menteri Besar Selangor... tidak ada cacat cela.. jadi kita teruskan, kehadiran Anwar (di Selangor) pula, hanya nak membantu.. " katanya semalam apabila diminta mengulas mengenainya.
Anwar sebelum ini menyifatkan pentadbiran Khalid lemah kerana gagal menguruskan dana kewangan negeri dengan baik sehingga menyebabkan Selangor mempunyai lebihan kewangan yang banyak seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.
Dia turut membayangkan wujud kemungkinan untuk dirinya mengambil alih jawatan tersebut walaupun dia pernah berulang kali mengatakan isu tersebut hanyalah merupakan spekulasi.
Ketika diwawancara oleh Australia’s Newsline, ahli parlimen Permatang Pauh itu mengatakan dia sedang berunding dengan Khalid dan berhasrat untuk menjadikan Selangor sebagai model sebelum melangkah ke Putrajaya.
Seterusnya ketika ditemu bual oleh pihak media baru-baru ini, Anwar sekali membayangkan dia akan menerajui kepimpinan negeri dan akan berbincang dengan pimpinan pakatan rakyat bagi mendapatkan kerjasama.
“Kemungkinan itu ada. Kita kena bincang ikut proses Pakatan” katanya.
Paling menarik, portal pro-pembangkang, Malaysiakini juga seolah-olah menyokong idea untuk ‘memecat’ Khalid itu apabila sering melaporkan artikel yang berkaitan dengannya. Sidang redaksi portal tersebut turut melaporkan kajian, kononnya 576 warga kajang (yang dianggap sebagai suara majoriti penduduk Kajang) turut bersetuju dengan cadangan dan harapan Anwar untuk bergelar Menteri Besar.
Disebabkan spekulasi itu juga beberapa orang pimpinan Pas sebelum ini tampil membuat kenyataan bagi membantah ‘pengambilalihan kuasa’ itu antaranya kepimpinan sayap Pemuda Pas Pusat dan Pemuda Pas Selangor yang menyifatkan PRK Kajang sebagai membazirkan wang rakyat.
Desas-desus mengatakan, Anwar dikatakan sudah pun mendapat sokongan DAP namun masih pening dengan penegasan Pas yang kononnya mahukan Khalid terus kekal dalam jawatan itu.
Paling menarik, ada yang mengatakan, sudah ada usaha yang dibuat untuk mempelawa Khalid menyertai Pas sekiranya PKR masih berhasrat untuk memecatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan