20 Februari 2014

Diana Danielle Cerita Pengalaman Perit





Pelakon filem ‘Sembunyi’, Diana Danielle menceritakan pengalamannya dalam merakamkan tiga buah lagu untuk filem terbarunya yang berjudul ‘Kami Histeria’. Filem terbitan Red Films, Marna Films dan Astro Shaw ini sedang rancak ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 6 Februari lalu.


“Menyanyi dan merakamkan lagu untuk filem ini merupakan satu pengalaman yang berbeza buat saya. Jika sebelum ini saya pernah menyanyi untuk filem ‘Magika’ bersama Mawi, untuk filem ‘Kami Histeria’, saya dikehendaki untuk menyanyikan tiga buah lagu iaitu ‘Muzik’, ‘Pujaan Hatiku’ dan ‘Kami Histeria’. Pada mulanya, agak perit bagi saya melalui pengalaman ini. Lagu ‘Muzik’ dan ‘Pujaan Hatiku’ agak senang dirakamkan kerana rentaknya yang berirama pop rock.

Namun begitu, untuk lagu ‘Kami Histeria’, saya mengalami sedikit kepayahan kerana ianya betul-betul berentak rock. Pencipta lagu tersebut, Loque menyuruh saya fokus pada lontaran suara agar ianya memberikan kesan rock. Awalnya saya rasa malu dan kekok, namun Loque suruh saya membayangkan yang saya adalah seorang ‘rock star’. Jadi saya memang betul-betul ‘all out’ untuk lagu ini,” ujar Diana baru-baru ini.

Mengulas mengenai wataknya sebagai Laila dalam filem ini, Diana menjelaskan yang Laila adalah seorang gadis yang bersikap ‘cool’, penyabar, suka mencari penyelesaian ketika berdepan dengan masalah dan Laila juga suka menurut kata kawan-kawannya. Dalam kumpulan muzik itu pula, Laila bertindak sebagai ketua dan sebagai seorang ketua, Laila merupakan seorang gadis yang boleh dikatakan rock habis!

Sementara itu, Diana juga mengakui pada mulanya dia berasa agak bimbang apabila perlu bergandingan dengan ramai pelakon wanita untuk 'Kami Histeria'. Namun, kerisauannya itu tidak ke mana-mana kerana dia tidak menghadapi sebarang masalah ketika penggambaran.

“Awalnya saya risau, berganding dengan banyak pelakon wanita, takut ada percanggahan pendapat atau pun idea. Namun begitu, telahan saya ternyata salah. Bekerja dengan mereka tidak memberikan sebarang masalah kepada saya. Mereka bekerja secara profesional dan saya tidak sangka, semuanya berperangai gila-gila. Satu pengalaman yang sangat hebat apabila saya dapat bergandingan dengan mereka dalam filem ini. Saya gembira dan boleh menjadi diri sendiri dalam filem ini,” tutur Diana lagi.

Selain Diana, filem ini turut membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Nur Fazura, Nad Zainal, Sara Ali, Umie Omar, Mila Jirin dan ramai lagi. Jadi apa tunggu lagi, bagi peminat filem tempatan di luar sana yang belum menyaksikan filem ‘Kami Histeria’, sama-sama saksikan filem arahan sutradara Shamyl Othman ini di pawagam berhampiran anda!

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /