04 Februari 2014

Polis Akan Teliti Dalam Menyiasat Klip Video Teresa Kok – Wan Junaidi



KUCHING – Polis akan teliti dalam menyiasat kenyataan anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok dalam klip video yang didakwa berbaur fitnah, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata sekiranya polis mendapati Kok telah melanggar undang-undang dan Peguam Negara yakin terdapat cukup bukti terhadapnya, kes itu akan dibawa ke mahkamah.



“Tetapi sekiranya tidak berlaku pelanggaran undang-undang, dengan itu AG (Peguam Negara) akan kata tiada tindakan lanjut.

“Dengan itu tiada siapa boleh kata polis dan AG adalah lemah kerana jika kes itu dibawa ke mahkamah dan ditolak, dengan itu AG dan polis akan kelihatan kurang bijak,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan anggota Persatuan Radio Amatur Kecemasan Sarawak (SARES) di pejabatnya di sini Isnin.

Kok mendakwa video itu ‘Onederful Malaysia CNY2014″, yang dimuat naik dalam sosial media pada 27 Jan hanya bersifat sindiran dan gurauan dan tidak menghina sesiapa.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Persekutuan Datuk Seri Salleh Mat Rashid sebelum ini berkata polis akan menyiasat klip video berbaur fitnah itu.

Wan Junaidi berkata anggota Parlimen mempunyai keistimewaan tertentu apabila bercakap di parlimen, tetapi ada batasan apabila memperkatakan sesuatu di luar dewan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /