Laporan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah
mengesan terdapat kira-kira 250,000 pengikut Syiah yang bergerak aktif selepas
mengenal pasti 10 kumpulan itu di negara ini, cukup mengejut dan memeranjatkan
khalayak.
Malah ramai yang melahirkan kerisauan dan kegusaran
dengan pendedahan ini. Hal ini kerana jumlah 250,000 bukanlah suatu angka yang
sedikit, yang sekali gus menunjukkan bahawa pengikutnya semakin hari semakin
bertambah walaupun fatwa pengharaman Syiah sudah sangat jelas.
Malah jumlah 10 kumpulan yang bergerak aktif
berbanding hanya beberapa kumpulan minoriti sahaja 10 tahun yang lalu juga
mencetuskan persoalan bagaimana perkara seumpama ini boleh dibiarkan terus
berlaku.
Apakah elemen kelemahan dalam aspek penguatkuasaan
sekali lagi dilihat berlaku dalam hal seumpama ini? Hal ini penting untuk
direnungi bersama kerana Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 5 Mei 1996 lagi telah mewartakan bahawa Syiah
diharamkan kerana penularan fahaman itu boleh mewujudkan perpecahan dalam
kalangan umat Islam negara ini.
Ini menunjukkan peraturan dan undang-undangnya cukup
jelas namun peliknya bagaimana jumlah pengikut serta kumpulan yang aktif terus
meningkat secara mendadak. Malah dalam hal ini penulis percaya bilangan
pengikutnya mungkin jauh lebih banyak kerana jumlah yang dilaporkan hanyalah
yang dapat dikesan oleh KDN. Bagaimana dengan kumpulan yang tidak dapat dikesan
atau bergerak secara rahsia dan sembunyi?
Lebih memeranjatkan apabila Penolong Setiausaha KDN,
Zamihan Mat Zin mendedahkan bahawa tiga tahun yang lalu ada kumpulan yang
pernah hantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong memohon pengiktirafan
minoriti Syiah di Malaysia. Ternyata para pengikut fahaman ini semakin berani
dan sanggup melakukan apa saja untuk melebarkan sayap mereka di seluruh pelusuk
negara.
Justeru semua pihak yang terlibat perlu berganding
bahu membanteras penyebaran dan penularan fahaman ini dengan segera. Ia perlu
dilakukan dari peringkat akar umbi lagi supaya tidak terus merebak. Hal ini
penting kerana kita khuatir andai kita leka dan lalai ia akan merebak menjadi
virus yang sukar dikawal lagi.
Jumlah tangkapan yang pernah dibuat sebelum ini iaitu
pada 1996 dan 2012 jelas menunjukkan kita masih belum mampu mengekang ajaran
fahaman ini dari terus menular. Buktinya Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk)
baru-baru ini menyerbu dan menahan dua individu yang dipercayai mempunyai
kaitan dengan ajaran Syiah.
Dalam hal ini perlu diingat bahawa para pengikutnya
bukan calang- calang orang di mana ada dalam kalangan mereka terdiri daripada
individu yang berlatar belakang pendidikan yang tinggi serta golongan
profesional.
Modus operandi penyebaran juga dikatakan semakin
canggih dengan adanya laman sosial yang membolehkan proses penyebaran dan
pengrekrutan ahli baharu dapat dilakukan dengan mudah dan pantas.
Oleh yang demikian proses memerangi ajaran ini juga
perlu diubah mengikut peredaran zaman. Maka besarlah harapan kita agar aspek
penguatkuasaan terus diperkasakan agar isu ni dapat dibendung, ditangani dan
diperangi secara berhemah dan menyeluruh.
Cukuplah perpecahan yang sedang berlaku di negara kita
dalam kalangan umat Islam atas sebab perbezaan ideologi politik. Kita tidak
mahu perpecahan bertambah parah akibat perbezaan mazhab dan anutan agama pula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan