17 Ogos 2013

Azizan Di Desak Letak Jawatan ADUN Sungai Limau




Berita mengenai kesihatan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang dikatakan semakin pulih selepas menerima rawatan hampir 3 bulan di Hospital Pulau Pinang (HPP) sedikit sebanyak berjaya mencuri perhatian beberapa pemerhati politik negara ini.

Azizan sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal ekoran kompilasi diabetis yang dihadapi sehingga menyebabkan kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong. Ekoran faktor kesihatannya itu juga, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau itu dikatakan berhasrat untuk meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat.

Berita mengenai peletakan jawatannya sebagai ADUN Sungai Limau hangat diperkatakan, malah ia menjadi semakin hebat apabila Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kemenangannya ketika pilihanraya kecil Kuala Besut baru-baru ini. Namun berita mengenainya sepi seketika apabila rakyat yang beragama Islam sibuk dengan persiapan bagi menyambut hari Lebaran yang mulia.

Namun laporan media mengenai perpindahan Azizan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) semalam kembali menghangatkan suasana. Menurut sumber yang dipercayai pada ketika ini telah wujud beberapa desakan bagi meminta bekas menteri besar itu melepaskan jawatannya.

Selain menggunakan faktor kesihatannya yang tidak mengizinkan, mereka dikatakan menggunakan alasan kegagalan Azizan untuk mengangkat sumpah dan hadir sidang DUN Kedah akan menyebabkan kerusi tersebut dianggap kosong. Ia sekali gus akan membolehkan Speaker DUN Kedah, Datuk Rozai Shafian meminta Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil.

Menurutnya Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah, semua ADUN perlu mengangkat sumpah dalam tempoh 3 bulan bermula dari Sidang DUN yang pertama. Menurut rekod, tempoh tersebut akan berakhir pada 23 September 2013.

Manakala menurut fasal 53 pula, jika mana-mana ahli bagi Dewan Negeri tiada hadir di dalam Dewan dengan tiada kebenaran Speaker di dalam dua kali mesyuarat berturut-turut maka tempatnya itu hendaklah menjadi kosong.

Namun apa yang paling memeranjatkan ialah, gerakan untuk meminta Azizan meletakan jawatan itu bukannya datang dari desakan Umno dan BN, namun ia dikatakan datang dari pemimpin Pas sendiri. Malah ada suara-suara yang mengatakan, pada ketika ini beberapa pemimpin Pas di peringkat kawasan sedang sibuk melobi agar diberikan peluang untuk menjadi calon parti itu bagi menggantikan Azizan sekiranya pilihan raya kecil diadakan dalam masa yang terdekat.

Uumum mengetahui hubungan Azizan dengan beberapa pemimpin Pas negeri Kedah yang sentiasa ‘berlaga angin’. Malah sejak awal tahun lagi, telah ada suara-suara dari kepimpinan negeri yang mendesak agar Azizan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan Pesuruhjaya Pas Negeri.

Sebagai contoh sebelum pilihan raya umum yang lalu, politik Kedah digemparkan dengan desakan sekumpulan ahli Pas dari kawasannya DUN Sungai Limau agar beliau meletakkan jawatan. Mereka antara lainnya mengatakan Azizan sebagai 'nakhoda kapal yang sedang mabuk laut' ekoran tindak tanduknya yang didakwa mengundang perpecahan dalam parti.

Malah ada di kalangan ahi Pas yang mengatakan Azizan perlu berundur kerana menghadapi masalah kesihatan dan tidak layak menjadi tonggak dalam menghadapi cabaran getir pilihanraya yang lalu.

Tambah malang lagi, apabila
Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar sebelum ini juga turut dikatakan menjadi dalang kepada usaha mendesak Azizan berundur. Malah pernah satu ketika 11 daripada 15 DUN Pas kawasan di Kedah dikatakan mahu beliau melepaskan jawatan tersebut.

Walaupun ada yang mengatakan kegagalan Azizan mempertahankan Kedah pada PRU yang lalu, adalah merupakan sebab utama untuk beliau mengundurkan diri. Namun rata-rata pemerhati politik berpendapat desakan ini berpunca dari sikap Azizan yang dikatakan yang 'mesra' UMNO dan BN.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /