Bekas Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan mendedahkan
seorang bekas banduan, yang juga bekas ketua kumpulan kongsi gelap, kini
menjadi pemimpin peringkat bawahan dalam sebuah parti politik di Pulau Pinang.
Katanya, beliau yang
ketika itu masih dalam perkhidmatan polis, telah menangkap lelaki berkenaan di
Thailand sebelum didakwa dan dijatuhkan hukuman penjara di negara ini. Menurutnya,
bekas banduan itu pernah menjadi ketua kongsi gelap di negara ini dan aktifnya
dalam politik sehingga memegang jawatan penting dalam parti adalah satu
perkembangan yang tidak sihat kepada politik negara.
Beliau yang ditemui
Bernama di sini, bagaimanapun tidak mendedahkan identiti pemimpin itu tetapi berkata,
individu berkenaan kini merupakan ketua di peringkat bawahan sebuah parti
politik di negeri itu. Zaman Khan menggesa pihak polis menyiasat perkara itu
kerana ia boleh menimbulkan pelbagai spekulasi oleh orang ramai terhadap
penglibatan ahli politik dalam dunia kongsi gelap.
Sementara itu, Ketua
Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman,
Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya sedia menyiasat dakwaan pembabitan
anggota kongsi gelap dalam arena politik mahupun memegang jawatan penting dalam
sesebuah parti politik di negara ini.
Beliau berkata,
pihaknya tidak menerima apa-apa laporan mahupun maklumat untuk mengaitkan
pembabitan anggota kongsi gelap dalam parti politik mahupun banduan yang telah
dibebaskan.
“Anggota kongsi gelap
jadi ketua bahagian parti politik tidak ada lagi. Kalau benar ada dakwaan
seperti itu kita sedia menyiasat,” katanya.
Minggu lepas,
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan sebanyak 49 kongsi gelap dikesan
menjalankan kegiatan memudaratkan ketenteraman awam seperti sindiket pengedaran
dadah, memeras ugut, membunuh, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi
gelap dan huru-hara.
Dalam Ops Cantas Khas
yang bermula 17 Ogos lepas bagi membanteras kongsi gelap dan individu terbabit
jenayah berat di seluruh negara, polis menangkap 4,777 orang dan merampas 136
kenderaan curi, lapan senjata api, satu bom tangan, 54 peluru dan 133 senjata
berbahaya.
Operasi itu
dilancarkan setelah jenayah keganasan melibatkan pembunuhan, rompakan, rogol dan
pergaduhan dilaporkan meningkat termasuk pembunuhan dan cubaan bunuh golongan
berprofil tinggi.
Antara kes itu
termasuk pada 29 Julai lepas, Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad
Najadi dibunuh manakala isterinya cedera parah akibat ditembak dari jarak dekat
di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di
Lorong Ceylon, di sini.
Dua hari sebelum itu,
aktivis antijenayah yang juga Pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan cedera
ditembak di persimpangan jalan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri
Sembilan. Selain Sanjeevan, seorang lagi mangsa kes pembunuhan berprofil tinggi
ialah Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk
Shaharuddin Ibrahim yang ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di
Putrajaya pada 26 April lepas.
Bernama sebelum ini
melaporkan kumpulan kongsi gelap ini bergantung kepada aktiviti pengedaran
dadah selain aktiviti pinjaman wang haram ah long dan aktiviti maksiat termasuk
perjudian dan pelacuran.
Dalam pada itu,
penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar berkata, penglibatan anggota kongsi
gelap mahupun bekas banduan di dalam sesebuah parti politik di negara ini
merupakan satu perkembangan yang tidak baik.
Beliau berkata,
sebagai sebuah parti yang berdaftar, jawatankuasa parti itu perlu menyiasat
latar belakang setiap anggota mereka sebelum mereka dibenarkan bertanding di
peringkat bahagian seterusnya memegang jawatan penting di dalam parti.
“Jika dibiarkan ia
akan menjadi satu ancaman, kerana anggota kongsi gelap ini akan menyalahgunakan
kedudukan mereka untuk melakukan aktiviti haram,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan