20 Ogos 2013

Ambiga Siap Sedia Nak Sambut Obama




Setelah sekian lama berdiam diri, Ambiga Sreenavesan tiba-tiba bersuara kembali menyanyikan lagu sumbang BERSIH 4.0. Beliau mengugut akan mengadakan perhimpunan besar-besaran sekiranya SPR melaksanakan persempadanan semula di kawasan Parlimen dan negeri, sebelum daftar pemilih dibersihkan.

Ambiga sebelum ini telah beberapa kali cuba mendapatkan publisiti murah dengan memalukan diri mengadap Ahli Parlimen Australia memohon negara itu mencampuri Pilihanraya Malaysia. Permohonan beliau telah ditolak mentah-mentah oleh Australia.  Malah negara itu telah merujuk fakta yang menunjukkan pembangkang turut memenangi beberapa negeri sebagai bukti PRU Malaysia adalah bersih.


Ambiga bagaimanapun, sehingga kini masih terus berdegil kononnya PR seharusnya menang lebih banyak kerusi.  Namun, melihat dari jumlah peserta demonstrasi anjuran PR yang semakin lama semakin merosot, maka kita seharusnya hairan bagaimana PR mampu memenangi beberapa negeri sedangkan parti itu sepatutnya tidak menang langsung. Lebih-lebih lagi apabila Himpunan Black505 yang merupakan himpunan kemuncak bantahan keputusan PRU-13 juga hanya mampu mengumpul 5000-900 peserta sahaja.

Jelas, rakyat tidak bersama PR dan bagi Ambiga untuk bertegas konon PR mampu menang lebih banyak kerusi jika SPR lebih telus dan bersih, merupakan kenyataan yang tidak berasas dan mengarut sama sekali.

Ambiga sebenarnya cukup maklum akan hakikat ini, namun memandangkan beliau telah ‘ditugaskan khas’ untuk mengkucar-kacirkan keadaan dalam negara, maka beliau perlu terus membuat tuduhan terhadap SPR dan kerajaan. 

Namun, apa yang menarik ialah kenapa beliau memilih untuk bersuara sekarang, dan secara tiba-tiba setelah sekian lama menghilang?

Tidak mustahil tindakan Ambiga untuk muncul semula adalah bertitik tolak dari pengumuman mengenai lawatan Presiden Amerika Syarikat ke negara ini tidak lama lagi. Sepertimana biasa, pihak pengacau seperti Ambiga dan PR, gemar mempamerkan buruk laku mereka kepada orang asing apatah lagi pemimpin kuasa besar.

Lawatan Presiden Barrack Obama pasti menarik ramai wartawan dari seluruh dunia dan Ambiga tentu sekali enggan ketinggalan untuk muncul dalam televisyen di seluruh dunia sebagai ‘hero’.  

Jika Amerika sering berhadapan dengan tunjuk perasaan rakyat negara lain yang menentang mereka dalam setiap lawatan rasmi, maka lawatan negara itu ke Malaysia pula mungkin memperlihatkan sebaliknya, iaitu rakyat Malaysia berdemonstrasi sekadar untuk mengambil perhatian Amerika dan dunia.

Kita juga menjangkakan Ambiga akan mengulang tayang peristiwa lawatan AlGore suatu ketika dahulu yang memperlihatkan bagaimana manusia-manusia yang tidak bermaruah serta para pengkhianat negara mengangkat sepanduk memohon bantuan Amerika. Jika dahulu mereka meminta Amerika melepaskan Anwar dari kes liwat, kali ini mereka akan meminta apa yang telah ditolak oleh Australia iaitu agar negara itu masuk campur dalam urusan pilihanraya Malaysia.

Walau apa pun niat Ambiga untuk bersuara sekarang, kita tidak wajar mengetepikan kemungkinan yang beliau mungkin mempunyai rancangan yang jauh lebih besar dari sekadar ingin mengambil perhatian Amerika. Hakikat bahawa BERSIH menerima dana dari George Soros tidak wajar dipandang ringan.

Dengan hakikat ini serta lawatan Presiden Amerika, maka Malaysia seharusnya bersedia dengan segala kemungkinan. Bermula dari saat ini, rakyat Malaysia harus lebih berhati-hati agar tidak  terpedaya dengan sebarang usaha untuk membawa kita ke jalan raya dan berperang sesama sendiri atas alasan menggulingkan kerajaan.

Walau apa pun terjadi, kita wajib berdiri di belakang kerajaan bagi memastikan ‘Arab Spring’ tidak merebak ke rantau ini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /