Walaupun
filem "Laga" terbitan Business Leader Film Production (M) Sdn. Bhd
dijangka menemui penonton pada tahun depan, namun trailer yang memaparkan
adegan ranjang antara pelakon jelita Marsha Milan Londoh dan pelakon veteran
Wan Hanafi Su kini isu yang semakin hangat diperkatakan ramai.
Filem
yang dibarisi oleh pelakon hebat seperti Rosyam Nor, Nasir Bilal Khan, Eman
Manan, Ruminah Sidek, Syazwan Zulkifli, Zaidi Omar dan Fadilah Mansor ini
menimbulkan pelbagai persoalan kepada masyarakat biarpun babak di ranjang
dengan Marsha yang hanya berkemban itu diselitkan dalam masa singkat.
Mengulas
isu tersebut, Marsha yang membawa watak sebagai suami isteri bersama Wan Hanafi
Su mengatakan dia hanya bersikap profesional dan tidak pernah terfikir akan
pandangan masyarakat kerana babak tersebut bukanlah seperti yang difikirkan.
"Sebelum
penggambaran bermula, pengarah awal-awal sudah beritahu saya terdapat babak
atas katil bersama Wan Hanafi Su. Dia menerangkan kepada saya tentang syot dan
keperluan babak itu secara terperinci. Sebagai pelakon, saya juga tidak mahu
masalah timbul di kemudian hari hanya kerana satu babak itu", kata Marsha.
Marsha
tidak merasa dirinya digunakan sebagai pelaris filem malah pelakon ini berkata
dia selesa sewaktu menjalani penggambaran filem yang berkisar mengenai
permainan sabung ayam itu. Dia tidak kisah jika penonton menilainya dari sudut
negatif namun mahu orang ramai menonton dahulu filem tersebut sebelum membuat
sebarang spekulasi.
Pada
masa sama, Wan Hanafi Su juga mengulas kenyataan gosip tersebut dengan
mengatakan babak tersebut lebih kepada pendidikan dan bukannya filem porno.
"Dalam
skrip sebelum babak itu, bidan ada memberitahu, jika ingin dapat anak harus
mengangkat kaki isteri tinggi-tinggi, jadi hanya babak itu yang dipaparkan.
Tidak ada sebarang babak ghairah seperti yang difikirkan orang ramai. Rasanya
selepas tonton sepenuhnya filem ini, tidak akan ada sebarang impak negatif
kerana saya bukannya melakonkan babak rogol," kata Wan Hanafi Su.
Dalam
pada itu, pengarah filem "Laga" Ismail Yaacob turut berkata, dia
yakin bahawa filem arahannya ini akan diterima ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan