Akhirnya Khalid GAGAP Sedar, Bukan Mudah Untuk Mentadbir Sebuah Kerajaan |
Oleh : Abdul Razak Idris
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!... Laungan keramat bekas Perdana Menteri Malaysia
yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj penuh bermakna. Selepas 56 tahun
laungan tersebut semakin sayu didengari terutamanya di sebuah negeri yang
menjadi negeri termaju di negara ini.
Selangor yang suatu waktu dahulu merupakan negeri yang menjadi lambang
kejayaan Barisan Nasional (BN) kini ditadbir oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR).
Pada Pilihan Raya Ke-13 (PRU-13) lalu rakyat memberi peluang kali kedua untuk
PR membuktikan mereka memerlukan lebih banyak masa untuk berbakti kepada rakyat
negeri tersebut.
Masalah air di Selangor yang dijangka semakin buruk tahun hadapan telah
jelas bunga-bunganya setelah berlaku pencemaran sumber air di hulu sungai di
Rawang, hingga kawasan takungan air di Kuala Selangor terpaksa ditutup untuk
kerja-kerja pembersihan. Rungutan rakyat Selangor di pagi merdeka mengalahkan
laungan merdeka tetapi ditukar liriknya menjadi... Air! Air! Air.
Begitulah fenomena yang akan berlaku selagi Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) tidak mendapat Arahan
Pembangunan (Development Order). Sekurang-kurangnya jika air di Kuala Selangor
tidak ada mungkin air di loji takungan baru dapat menampung segala kekurangan
air akibat insiden luar jangka tersebut. Begitu juga sebaliknya jika kawasan
lain tidak ada air.
Selain masalah air yang mencengkam emosi rakyat Selangor masalah perumahan
turut menjajah kehidupan seharian rakyat negeri termaju ini. Namun setakat
semalam, rakyat Selangor yang masih mahu dijanjikan dengan mimpi-mimpi indah
pihak pembangkang majoritinya masih tidak mempunyai rumah sendiri walau
sekangkang kera. Janji kerajaan negeri mahu membina rumah yang mampu dimiliki
oleh rakyat Selangor yang berpendapatan rendah dan sederhana ibarat menjala
ikan di Gurun Sahara. Masih belum dapat dilihat papan tanda cadangan projek
rumah mampu milik yang sesungguhnya mampu dimiliki di mana sahaja di muka bumi
Selangor ini.
Sepatutnya selepas 56 tahun merdeka, masalah rumah yang melambung tinggi
mampu diatasi kerajaan negeri yang menguar-uarkan mempunyai wang hasil negeri
yang berkoyan-koyan. Rakyat Selangor sepatutnya tidak melepaskan peluang
keemasan memiliki rumah sendiri sebagaimana yang dinyatakan dalam Teras Ke
Empat Aku Janji Barisan Nasional (BN) Selangor yang diumumkan Datuk Seri Najib
Razak dalam manifesto PRU-13.
Apa erti merdeka bagi rakyat Selangor sekiranya rakyatnya dari golongan
berpendapatan rendah dan sederhana masih menjadi penyewa tegar. Bayangkan rumah
berjumlah 25,000 unit untuk rakyat termiskin dan projek mesra rakyat ditolak
oleh rakyat Selangor semasa PRU-13 yang masih menaruh harapan kepada pihak lain
untuk menjadi 'penyelamat' mereka dari terus menyewa rumah dengan kadar RM500
hingga RM600 sebulan.
Apa yang menyedihkan tiada lagi suara yang mendesak kerajaan Parti Keadilan
Rakyat (PKR) Selangor untuk mewujudkan perumahan mampu milik dan kos rendah.
Apa yang merimaskan , pihak kerajaan PKR Selangor bukan sahaja tidak membina
rumah kos rendah seperti didesak pihak NGO (yang kini sudah KO), malahan anak
syarikat kerajaan negeri lebih menumpukan projek komersial dan mewah yang
menyebabkan bantahan rakyat negeri ini lima tahun kebelakangan ini.
Apa yang lebih menonjol anak syarikat kerajaan negeri seperti Perbadanan
Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sanggup membuat projek komersial untuk pelabur
asing hingga perumahan kos rendah dan mampu milik untuk rakyat negeri Selangor
tidak lagi dibuat. Projek Datum Jelatek yang dibantah besar-besaran oleh pihak
NGO tetap diteruskan seolah-olah bantahan yang dibuat ibarat membujur lalu
melintang patah di pihak kerajaan negeri.
Lima tahun lagi, sekiranya masalah air dan perumahan terus membelenggu di
Selangor sudah pasti rakyat akan sedar bahawa minda mereka sedang dijajah oleh
momokan media pembangkang di dunia maya bahawa kerajaan BN tidak berjasa kepada
mereka selama ini.
Penjajahan minda tersebut adalah dalam bentuk menjanjikan masalah akan
selesai dengan memberi peluang kepada mereka untuk terus menjadi kerajaan,
namun dalam masa sama menuding jari kepada kerajaan BN negeri terdahulu dan
kerajaan Pusat sebagai kambing hitam jika masalah perumahan mahupun masalah air
masih tidak selesai.
Namun apa gunanya pada masa rakyat tersedar dari lena bahana termakan janji
PR, segalanya sudah terlambat. Masalah air akan menyebabkan kegiatan ekonomi
merudum dan sudah pasti kegiatan ekonomi akan bercambah di negeri lain akibat
pelabur asing membawa modal ke negeri yang mempunyai bekalan air yang
mencukupi.
Lagi lima tahun juga harga rumah dan kos membuat rumah sudah pasti
melambung tinggi dan rakyat akan terus bukan sahaja menjadi penyewa tegar
malahan terpaksa duduk jauh hingga ke pinggir desa (itupun jika kawasan
tersebut masih tidak terjangkit projek pembangunan).
Justeru, adakah ini suasana pagi merdeka yang sekalian rakyat Selangor
mahukan? Kerajaan pakatan perlu menyelesaikan masalah air dan rumah. Adakah
tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi dan tidak pula memiliki sebuah rumah
sendiri dan masih merempat di bumi sendiri dianggap merdeka oleh rakyat
Selangor?
Kerajaan Pusat sedar masalah air dan rumah penting untuk diselesaikan namun
majoriti rakyat Selangor masih membiarkan 'penjajahan' minda menguasai diri.
Namun masih belum terlambat menuntut hak air yang lebih baik, bukan setakat air
percuma tetapi air perlulah ada, kalau ada biarlah rasa air bukan rasa diesel.
Begitu juga rumah, takkan rakyat hendak menyewa sehingga mati atau paling
teruk mengembalikan setinggan bandar. Rumah!
Rumah! Rumah! Air! Air ! Air…...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan