Ramai yang mengeluh lega apabila Dato’ Seri
Najib mengumumkan bahawa MAS tidak akan diswastakan. MAS telah lama menjadi
‘perhatian’ rakyat kerana syarikat penerbangan nasional ini telah mencatatkan
kerugian yang berterusan selama beberapa tahun. Akibatnya, ramai yang
menyalahkan kerajaan dengan mengheret sekali nama UMNO dan Barisan Nasional
sebagai tidak cekap, korup dan sebagainya.
Apatah lagi di zaman internet ini di
mana hampir tiada lagi yang menjadi
rahsia termasuk segala kontrak, vendor atau pembekal yang berurusan bagi
syarikat-syarikat berkaitan kerajaan. Oleh itu, tidak hairanlah apabila ada
cadangan agar MAS diswastakan bagi mengelak nama kerajaan dan UMNO/BN terjejas
dengan sikap mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab yang mungkin terlibat
dengan sebarang urusan syarikat tersebut.
Walaupun begitu, MAS tetap dilihat sebagai
simbol dan maruah negara memandangkan ia membawa status ‘nasional’. Rata-rata, rakyat
turut berkongsi kebanggaan dengan pencapaian MAS sebagai sebuah syarikat
penerbangan yang berprestij yang menawarkan perkhidmatan cemerlang dengan rekod
keselamatan yang sempurna. Walaupun
bersaing dengan syarikat penerbangan lain, MAS tidak pernah mengalami penurunan
jumlah penumpang. Ia terus dipuji dan disanjung sebagai pilihan utama dalam
memilih syarikat penerbangan.
Jumlah penumpang yang ramai dan reputasi yang
hebat sudah cukup untuk memberi kita keyakinan bahawa MAS masih punya harapan
untuk pulih dari kerugian.
Oleh itu, keputusan Dato’ Seri Najib untuk
tidak menswastakan MAS merupakan keputusan yang tepat. MAS belum rosak sepenuhnya, malah ia
berpotensi untuk ‘terbang lebih tinggi’. Apa yang ia perlukan hanyalah
pengurusan yang cekap, bijak dan ikhlas untuk memastikan syarikat ini berjaya. Memandangkan
syarikat ini berkait rapat dengan kerajaan, pengurusan MAS juga wajib mempunyai
ketegasan yang tinggi dan mungkin juga keberanian untuk menolak sebarang
pengaruh politik dalam membuat keputusan.
Walaupun perniagaan mungkin akan lebih maju
jika mempunyai kaitan dengan rangkaian politik, tetapi ‘pengurusan perniagaan’
dan ‘ahli politik’ seringkali merupakan gabungan yang memusnahkan. Pun begitu,
dalam mengejar keuntungan kita tidak harus membelakangkan semangat nasionalisme
dan patriotisme.
Tidak keterlaluan dikatakan bahawa isu MAS
mampu memberi impak besar kepada kerajaan BN.
Cara isu ini ditangani mampu memberi gambaran yang lebih jelas akan
halatuju dan juga prinsip yang dipegang oleh kepimpinan hari ini. Nampaknya, Dato’ Seri Najib telah membuat
keputusan yang menepati harapan rakyat sekali gus berjaya meningkatkan
keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan