Baru-baru ini muncul artikel yang mendakwa Sherry Ibrahim merupakan seorang aktres
yang sombong dan tidak mahu menghadiri uji bakat yang telah dijalankan oleh
sebuah produksi drama. Sebagai seorang
pelakon yang komited dan profesional dengan kariernya, Sherry ternyata seorang
yang tidak mudah melatah.
Ikuti temu bual Sherry tentang isu tersebut.
Boleh ceritakan tentang perkembangan
terkini Sherry?
SHERRY: Setakat ini saya tiada tawaran berlakon drama atau telefilem. Bukan
saya tidak mahu ambil tawaran, namun ada beberapa tawaran yang bertindih dengan
perkara lain yang saya ingin lakukan. Jadi, saya terpaksa tolak. Namun, kelak
saya akan tampil dengan sebuah projek baharu bersama LOL Entertainment iaitu
syarikat pengurusan saya kini.
Bercerita tentang tawaran
berlakon, ada yang mengatakan anda kini semakin sombong. Boleh komen?
Saya bukan begitu. Sebenarnya ia merupakan perkara lama. Bagi saya, ia
perkara remeh dan tidak perlu diperbesar-besarkan sebenarnya kerana ia tidak
benar sama sekali. Tanyalah sesiapa yang mengenali saya, mereka tahu saya bukan
begitu. Sejujurnya, ini pertama kali ada orang mendakwa saya berperangai
sedemikian. Ia merupakan perkara yang tidak profesional dan tidak sangka sampai
keluar artikel tentangnya.
Bagaimanakah Sherry tahu tentang
perkara ini?
Saya juga tidak perasan tentang hal itu. Namun, setelah disampaikan kepada
saya, terus saya baca artikel tersebut dan terkejut dengan apa yang didakwa.
Pada hari tersebut, bukannya saya tidak menegur penerbit itu, namun saya tidak
perasan akan kehadirannya. Jika saya sombong, mengapa saya hadir ke sesi uji bakat
dan saya isi borang serta ambil skrip untuk dibaca. Saya pelik kenapa mahu
diperbesar-besarkan isu ini dan jujurnya, saya kecewa sebab sampai nak masuk
akhbar.
Sherry juga telah didakwa tidak
mahu menghadiri uji bakat dan ingin terus mendapatkan watak tersebut?
Tidak benar. Saya memang telah ambil skrip dan isi borang untuk menghadiri
uji bakat. Saya pergi ke sana, dan tanya dengan penerbit tentang watak saya.
Jika saya sombong, mengapa saya hadir ke sana? Biarlah jadi seorang yang
profesional. Saya boleh menjawab semula, namun apa gunanya berbuat demikian.
Saya rasa ia perkara mudah yang boleh diselesaikan.
Adakah perkara ini akan
mengganggu periuk nasi Sherry sebagai seorang pelakon?
Tidak sama sekali. Bukan saya mahu bercakap besar, namun sebelum ini ada
pengarah dan penerbit yang memuji cara kerja saya. Saya memang sangat komited
terhadap karier saya dan tidak pernah ada yang membuat aduan.
Mungkin ada apa-apa yang Sherry
ingin sampaikan kepada individu yang menyampaikan cerita ini?
Tiada apa-apa. Saya tidak mahu panjangkan isu ini. Cuma apa yang saya ingin
katakan, jangan dengar sebelah pihak sahaja. Biarkan sahaja, saya tidak mahu
memperoleh publisiti murahan melalui perkara sebegini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan