Dalam kepayahan kita
mencerna berita pengurangan subsidi minyak, berbagai-bagai persoalan
dikemukakan mengenai rasional tindakan ini diambil. Ramai yang melihat bahawa
pengurangan subsidi minyak seharusnya menjadi pilihan terakhir untuk
merancakkan ekonomi negara.
Ini bukan kali
pertama subsidi dikurangkan. Dari pengalaman Malaysia, telah beberapa kali
subsidi dikurangkan dan setiap kali juga ia akan berhadapan dengan kemarahan
rakyat. Apa yang penting ialah kerajaan harus menunjukkan bahawa langkah ini
diambil sebagai pilihan terakhir.
Dalam pemerintahan
Tun Mahathir, kenaikan harga minyak diimbangi dengan kenaikan cukai hiburan,
cukai korporat, cukai minuman keras, rokok dan sebagainya. Dengan cara itu,
ekonomi negara terus rancak dan rakyat juga tidak marahkan kerajaan.
Dalam menghadapi
krisis kewangan pula, Tun Mahathir melaksanakan kaedah tambatan ringgit, sekali
lagi bagi mengelakkan rakyat bawahan menerima kesan yang besar. Kaedah ini
dilihat sesuai digunakan pada hari ini di mana keadaan Ringgit Malaysia yang
semakin merudum.
Hari ini, Ringgit
Malaysia jatuh ke paras rendah berbanding dolar Amerika untuk tempoh tiga tahun
dan 15 tahun rendah berbanding dolar Singapura menjadikan dagangan import lebih
mahal sementara nilai eksport lebih rendah meskipun jumlah eksport menurun. Justeru,
tambatan nilai ringgit harus dilakukan segera bagi mengelakkan nilai ringgit
terus jatuh.
Secara ringkasnya,
pengurangan subsidi adalah tidak perlu sekiranya beberapa langkah lain
dilaksanakan.
Apa yang lebih
membimbangkan ialah desas-desus bahawa kerajaan bakal mengambil langkah yang
bertentangan dari yang diambil oleh Tun Mahathir dalam menghadapi situasi sama.
Jika Tun Mahathir memilih untuk menaikkan cukai korporat dan menyalurkan
pendapatan dari situ kepada golongan berpendapatan rendah melalui subsidi,
kerajaan hari ini dikhabarkan akan mengurangkan lagi cukai korporat atas alasan
untuk merancakkan ekonomi.
Kita menyambut baik
cadangan kerajaan untuk menggunakan penjimatan dari pengurangan subsidi minyak
bagi pembangunan luar bandar, peningkatan kadar BR1M dan program-program
kewangan untuk golongan berpendapatan rendah. Namun, jumlah RM1.1 billion tidak
mungkin mampu melonjakkan kedudukan ekonomi masyarakat luar bandar dan golongan
berpendapatan rendah bagi menyaingi golongan berpendapatan tinggi.
Sebaliknya, ekonomi
yang rancak hasil dari pengurangan cukai korporat dan dasar terbuka akan
melipatkan-gandakan pendapatan golongan berpendapatan tinggi. Keadaan ini akan
menyebabkan harga hartanah meningkat berlipat kali ganda, begitu juga dengan
harga barangan harian.
Kadar peningkatan
pendapatan kedua-dua golongan yang tidak seiring akhirnya akan melebarkan lagi
jurang ekonomi. Di kala golongan berpendapatan tinggi melonjak secara drastik,
golongan berpendapatan rendah masih merangkak untuk membina ekonomi keluarga. Dari
segi politik pula, tindakan tidak popular tidak seharusnya diambil jika masih
ada cara lain.
Rakyat berpendapatan
rendah dan luar bandar mungkin merasa gembira dengan pengumuman peningkatan
BR1M, tetapi rakyat berpendapatan sederhana yang merupakan kumpulan paling
ramai menggunakan RON95 tertanya-tanya apakah faedahnya untuk mereka. Ini
menimbulkan persoalan sinis dan kritikal terhadap kerajaan kerana mereka tidak
layak menerima BR1M serta tidak pula mampu menyertai ‘pesta ekonomi’ golongan
berpendapatan tinggi. Mereka terperangkap dalam kos sara hidup dan hartanah
yang melonjak tinggi di bandar.
Memandangkan masalah
utama ialah penurunan nilai ringgit, maka sebaiknya kerajaan menumpukan kepada
usaha untuk mengukuhkannya terlebih dahulu sebelum tergesa-gesa membuat
keputusan. Dengan itu, kaedah tambatan nilai ringgit dilihat sebagai kaedah
paling tepat. Kaedah ini akan membantu meningkatkan populariti kerajaan di
kalangan rakyat marhaen serta membawa kesan jangka panjang yang lebih baik dari
segi mendekatkan jurang ekonomi di dalam masyarakat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan