Bagaimana orang
Buddha sembahyang? Bagaimana orang Hindu puasa? Kenapa orang Islam berpuasa dan
bagaimana ia dilaksanakan? Bolehkah orang bukan Islam masuk masjid? Kalau
tidak, kenapa? Apakah sistem kasta berkait dengan agama Hindu? Kenapa wanita
Islam tidak perlu solat Jumaat? Tidakkah ini merupakan satu bentuk diskriminasi
jantina?
Yang tertera di atas
merupakan sebahagian daripada soalan yang dikemukakan oleh peserta pelbagai
kaum Bengkel “Masyarakat Malaysia Hidup
Bersama" yang dianjurkan oleh Pusat Perundingan dan Latihan Institut
Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) (PPLI) baru-baru ini. Bengkel yang dianjurkan
di Homestay Sg. Hj. Dorani, Selangor ini bertujuan memberi ruang kepada para
belia daripada pelbagai kaum membuka ruang interaksi serta kerjasama antara
mereka ke arah pembinaan satu bangsa Malaysia yang bersatu padu; dan,
menyediakan platform untuk mereka mengamalkan nilai-nilai murni yang dikongsi
bersama oleh masyarakat majmuk Malaysia.
Para peserta
dibahagikan kepada empat kumpulan dan mereka perlu bertanding dalam setiap
aktiviti yang dijalankan. Sepanjang tiga hari dua malam ini, para peserta
bertanding dalam acara seperti “Night
Walk" di sawah padi; mencanting batik; menumbuk padi; membuat
layang-layang; gogoh (menangkap ikan dengan tangan dalam sawah padi); dan
tarian kuda kepang. Acara kemuncaknya adalah persembahan kumpulan di mana
setiap kumpulan diminta mempersembahkan pengalaman mereka sepanjang program ini
dalam bentuk lakonan, pantun, sajak, mahupun nyanyian.
Oleh kerana dana
untuk program ini diperoleh dari Jabatan Perdana Menteri untuk tujuan dialog
antara agama, maka penulis, selaku Penyelaras Program meletakkan satu syarat
untuk menambah markah kumpulan, mereka digalakkan mengemukakan soalan mengenai
agama lain secara bertulis. Di kesenggangan waktu, soalan terpilih akan
dibacakan dan wakil agama tersebut diminta untuk menjawab soalan yang
dikemukakan.
Secara tidak
langsung, proses ini menghantar isyarat bahawa sebagai penganut sesebuah agama,
setiap individu perlu memahami agamanya dan bersedia untuk memberi penjelasan
mengenai agamanya kepada khalayak yang memerlukan. Dalam program yang padat
itu, tiga soalan sempat dijawab iaitu, “Bagaimana
orang Buddha sembahyang?"; “Bagaimana
orang Hindu puasa?"; dan, “Kenapa orang Islam berpuasa dan bagaimana ia
dilaksanakan?"
Ketika jawapan
diberikan, semua peserta memberikan sepenuh perhatian. Jujur, ikhlas dan teruja
untuk mengetahui jawapannya. Dari situ, timbul pula soalan-soalan lain
berkaitan. Misalnya, “Dalam sehari,
berapa kali orang Buddha sembahyang?"; “Apakah bacaan dalam sembahyang
itu"; “Orang Hindu berpuasa dari pukul berapa sampai pukul berapa?"
“Kalau orang Islam itu berada di Amerika dan waktu siangnya panjang, maka
apakah dia akan berpuasa untuk tempoh yang lama juga?"
Jawapan-jawapan yang
diberikan telah menjana lebih banyak soalan bertulis lain. Bukan sahaja belia
yang beragama Hindu dan Buddha bertanya mengenai Islam, belia Islam juga
mengajukan soalan mengenai agama Buddha dan Hindu.
Soalan-soalan yang
diajukan pula betul-betul menjurus kepada agama itu, bagi memenuhi rasa ingin
tahu yang ada dalam diri si penyoal. Ia tidak bertujuan membandingkan satu
agama dengan agama lain; apa lagi meninggikan satu agama dan merendahkan agama
lain. “Inilah dialog antara agama yang
sebenar…", bisik hati penulis, yang kerap kali menghadiri dialog
antara agama dalam dewan-dewan persidangan yang sejuk dan formal, sejak 20
tahun berada di IKIM.
Soalan-soalan yang
terhasil dari para belia pelbagai kaum ini juga menunjukkan soalan-soalan ini
telah lama berada di minda mereka. Malangnya, mereka tiada platform untuk
mengajukannya. Ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ada peserta Melayu
yang mengaku sebelum menghadiri program ini, mereka tidak pernah ada kawan
dalam kalangan bukan Melayu.
Hakikat, program ini
mengumpulkan golongan belia dari pelbagai bangsa, mungkin sesuatu yang biasa.
Begitu juga, tiada kelainannya apabila program ini diisi dengan
aktiviti-aktiviti masyarakat kampung seperti mencanting batik, membuat
layang-layang dan gogoh. Namun, apa yang luar biasa mengenai program ini adalah
ia memberi peluang kepada belia daripada pelbagai kaum untuk hidup bersama,
mengamalkan nilai-nilai murni masyarakat majmuk dan seterusnya merasakan
pengalaman dialog antara agama secara santai tetapi sihat.
Maka, tidak hairanlah
dalam acara kemuncak di mana setiap kumpulan diminta membentangkan pengalaman
mereka sepanjang program ini, kumpulan Bukhari telah memparodikan lagu “Anak Kampung" dengan selingan
sebuah sketsa dialog antara agama. Dalam sketsa ini, seorang belia India
bertanya mengenai maksud makanan halal kepada kawan Melayunya. Kawan Melayunya
itu pula bertanyakan mengenai kenapa penganut Hindu tidak boleh makan daging
lembu dan apa pentingnya burung merak kepada penganut Hindu.
Selaku penyelaras,
penulis berasa puas kerana inilah yang diharapkan dari program ini iaitu
suburnya dialog antara agama dalam masyarakat, khususnya dalam kalangan belia
yang bakal menjadi pemimpin di masa hadapan. Ini selaras dengan firman Allah
dalam Surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari
lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan
bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu
dengan yang lain)…"
Berkenal-kenalan
bukanlah setakat mengenali kaum lain secara peribadi dan sosialnya. Ia pastilah
juga merangkumi agamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan