Oleh : Abd Aziz Itar
Sebagai pembikin filem, Datin Paduka Shuhaimi Baba ketika ini bolehlah
dikatakan menjadi mangsa segelintir ahli politik yang bukan sahaja buta
sejarah. Malah, lebih parah lagi golongan itu belum bijak untuk membaca isi dan
intipati di sebalik filem berjudul Tanda Putera arahan pengarah wanita
tersebut.
Pihak Kerajaan Pulau Pinang kelmarin dan semalam menafikan mengharamkan
tayangan filem itu yang dikatakan berbau perkauman. Adegan tidak sampai 10
minit yang memaparkan tragedi 13 Mei 1969 itu dijadikan isu utama pengharaman
tayangan tersebut.
Tentunya pengumuman itu sesuatu yang amat mendukacitakan buat keseluruhan
karyawan filem yang dibikin dengan kos keseluruhannya berjumlah RM4.7 juta itu.
Mereka tentunya tidak sabar untuk melihat reaksi para penonton serta kesan
penghayatan daripada tayangan karya terbabit.
Ini bukanlah kali pertama Tanda Putera melalui detik-detik malang,
sebaliknya filem terbitan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional
Malaysia (Finas) itu telah pun mula merasai bahananya sejak tahun lalu lagi.
Sepatutnya ia ditayangkan lebih awal lagi iaitu pada pertengahan September
tahun lalu. Namun, kerana bantahan daripada segelintir ahli-ahli politik
pembangkang filem itu terpaksa ditangguhkan tayangannya buat sementara waktu.
Dalam hal ini, filem bertemakan kenegaraan itu terpaksa akur dengan sikap
toleransi kerajaan yang mengambil kira pandangan semua pihak termasuklah parti
politik pembangkang. Sikap murni penerbit filem itu, Finas dan kerajaan yang
mahu beralah serta mengambil kira kepentingan semua aspek menyebabkan perkara
itu berlaku.
Namun, selepas diteliti dan diperhalusi tidak nampak di mana mudaratnya
Tanda Putera jika ia dipertontonkan kepada masyarakat berbilang kaum di negara
ini. Sebab itulah tiada alasan mengapa filem itu tidak boleh ditayangkan di
pawagam-pawagam di seluruh negara mulai hari ini.
Kalaulah sentimen yang sempit dan sengaja dipolitikkan itu terus dimain-mainkan,
maka kesannya bukan sahaja akan menimpa industri filem negara, malah Tanda
Putera juga akan menanggung kerugian besar jika filem itu terus diperap begitu
sahaja. Pada masa sama, para pembikin filem dalam genre patriotik dan
kenegaraan tempatan yang lain juga akan menanggung trauma yang sama jika mereka
mahu membikin filem seumpama itu pada masa depan.
Setakat ini, belum terdengar bantahan daripada negeri-negeri lain
termasuklah di Kedah dan Selangor yang turut dikuasai oleh parti pembangkang
iaitu Pas serta Parti Keadilan Rakyat. Keputusan yang dibuat oleh Ketua Menteri
Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam di negeri yang diterajuinya itu mengejutkan
banyak pihak kerana ia seperti dilihat bersendirian tanpa melibatkan bantahan
daripada keseluruhan hampir 28 juta rakyat di negara ini.
Dalam senario ini, di sinilah terletaknya cabaran Shuhaimi sebagai pembikin
filem dalam genre tersebut. Banyak aspek yang beliau telah ambil kira terutama
soal sensitiviti agama dan kaum rakyat berbilang bangsa di negara ini. Justeru,
sekelumit adegan yang kononnya ganas dan berbau perkauman itu telah
digembar-gemburkan sebegitu rupa.
Sedangkan tidak mustahil banyak lagi adegan yang jauh lebih ganas boleh
ditonjolkan dalam filem itu tetapi ia mungkin bukan keputusan yang berada dalam
kotak fikiran pengarah terbabit. Tetapi fakta dan sejarah berkait rapat serta
mustahil untuk dipisahkan begitu sahaja. Adalah tidak logik jika adegan yang
mahu menggambarkan tentang peristiwa 13 Mei itu tidak disulami dengan
adegan-adegan ganas tetapi sebagai pembikin filem Shuhaimi tetap ada
batas-batas rasionalnya sendiri.
Malah, tahap kerasionalannya itu jauh lebih besar berbanding adegan ciput
yang kononnya dikatakan berbau perkauman yang cuba diperbesar-besarkan dalam
filem tersebut. Sebaliknya, para penonton termasuklah ahli-ahli politik
pembangkang seharusnya melihat lebih jauh ke dalam iaitu intipati serta maksud
yang tersirat di sebalik Tanda Putera itu sendiri.
Bagi yang telah menonton Tanda Putera, filem yang diterbitkan khusus untuk
tayangan sempena Hari Kemerdekaan itu sebenarnya bukanlah memaparkan tentang
elemen perkauman sebagai topik utamanya. Sebaliknya, Shuhaimi secara halus cuba
mengalihkan tumpuan mereka yang karat pemikirannya dalam isu perkauman ke suatu
dimensi pemulihan yang lebih cerah.
Contohnya, dalam Tanda Putera, beliau sebenarnya cuba memaparkan perkara
sebaliknya iaitu usaha-usaha yang telah dilakukan oleh tokoh UMNO seperti Tun
Dr. Ismail dalam menangani isu perkauman terutama antara Melayu dan Cina
seperti yang digambarkan dalam filem itu.
Pelan itu diambil oleh tokoh terbabit sewaktu mulanya tercetus peristiwa
berdarah 13 Mei yang antaranya digambarkan tercetus di Kampung Baru, Kuala Lumpur
kira-kira 44 tahun lalu. Malah, sebelum itu lagi, Tanda Putera turut terlebih dahulu
memaparkan budi pekerti orang Melayu di sekitar Kampung Baru yang kuat dengan
budi bahasa serta tolong menolong mereka tanpa mengira kaum apabila berlakunya
insiden seperti itu.
Adegan itu dipaparkan menerusi watak lakonan Kavitha Sidhu yang mewakili
bukan Melayu yang terperosok sama dalam kancah sewaktu tragedi tersebut apabila
dia mendapat layanan baik dan perlindungan daripada keluarga Melayu di kampung
tersebut.
Itu antara segelintir nilai-nilai murni yang seolah-olah mahu menidakkan
unsur-unsur perkauman yang kononnya telah mewarnai serta mengotorkan perjalanan
cerita Tanda Putera. Dalam hal ini juga banyak lagi elemen lain yang boleh
dikupas bagi menepis terus tanggapan buruk dan penuh dengan prejudis golongan
yang buta dalam menafsir bahasa dalam filem yang penuh dengan metafora.
Cuma malangnya, apabila sentimen-sentimen politik lebih kuat melangkaui
pemikiran dalam bahasa-bahasa filem, maka apa juga yang diputuskan matlamatnya
adalah lebih menjurus ke arah matlamat berpolitik golongan terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan