Timbalan Menteri
Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata polis tidak akan
berkompromi malah akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu
termasuk ahli politik sekiranya terbukti terlibat kongsi gelap. Beliau yakin
polis mampu mengumpul maklumat terperinci untuk membuktikan sesiapa sahaja yang
terlibat kongsi gelap tidak kira ahli politik atau tidak.
"Malahan
undang-undang juga akan dikuatkuasakan supaya polis tidak disalahtafsirkan
berkompromi dengan penjenayah," katanya.
Junaidi berkata
demikian ketika diminta mengulas laporan Sin Chew Daily, Rabu lepas yang
mengatakan sebilangan ahli politik ternama menaungi beberapa kumpulan kongsi
gelap dan menjadi penasihat kumpulan terbabit.
Kumpulan itu meliputi
"Geng 04", "Geng 08", "Geng 21" dan "Geng 36" daripada kalangan
kaum India; "Hong Shun Tang",
"3821", "Wu Se Qi", "Hong Men" dan Hua Ji
Dang" daripada kalangan kaum Cina; serta "Geng 3 Calit" daripada kalangan kaum Melayu.
Sementara itu, Menteri
Muda Perumahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata tindakan tegas patut
diambil terhadap ahli politik yang didapati terlibat kegiatan kongsi gelap.
"Sejujurnya
parti boleh mengambil tindakan susulan untuk memecat atau mengenakan tindakan
disiplin mengikut perlembagaan parti. Tetapi ianya harus ada butiran lengkap,
jangan hanya atas dakwaan (mereka terlibat) sahaja," katanya.
Dua hari lepas ketika
hadir di program sambutan hari raya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor,
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata setakat ini pihaknya tidak
mendengar penglibatan sebarang ahli politik dalam kumpulan kongsi gelap.
Polis akan mengambil
tindakan sewajarnya jika siasatan membuktikannya, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan