Pelawak Mohd Nadzri Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Jep
(Sepahtu), menolak tawaran untuk bergelar deejay radio sebuah stesen swasta
walaupun sudah banyak kali menerima peluang itu. Jep, 28, berkata, ini kerana
dia mempunyai jadual kerja yang padat selain mahu memberi komitmen dalam bidang
lakonan terlebih dahulu.
"Saya memang berminat menjadi seorang deejay radio, tapi saya tidak
boleh beri komitmen seratus peratus kerana takut akan mengganggu masa
penggambaran saya. Saya bimbang jika jadual kerja yang tidak dapat diaturkan
dengan baik, ia akan menjejaskan juga masa artis lain," katanya.
Tambah Jep, dia menerima tawaran tersebut beberapa kali namun terpaksa
ditolak.
"Saya segan juga, mereka bagi tawaran beberapa kali tapi saya tolak
dengan cara baik kerana saya betul-betul takut tidak mampu untuk lakukan. Dulu
saya pernah jadi penyampai di radio Era FM selama enam bulan dan ia memang agak
sukar untuk bahagikan masa," katanya.
Dalam pada itu, kata Jep, dia juga mengakui perlu memikirkan keputusan
tersebut sama ada dapat membantu kerjayanya atau sebaliknya.
"Untuk buat banyak benda dalam satu-satu masa ia merupakan risiko. Saya
jenis yang fokus satu kerja. Selain itu, saya juga fikir adakah ia akan
membantu meningkatkan kerjaya saya atau menjatuhkannya," kata Jep.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan