05 September 2013

Artis Pekin Ibrahim @pekinibrahim7W Kahwin Dengan Pontianak




Apakah yang akan anda lakukan jika tanpa sedar telah berkahwin dengan puntianak? Kedengaran seperti tidak logik tetapi di layar perak, ia suatu realiti – dilema yang perlu digalas watak Adam lakonan berkesan Pekin Ibrahim menerusi filem Paku Pontianak. Mungkin bagi penggemar karya Hollywood, siri filem Twilight merupakan contoh terbaik bagi menerangkan konsep cerita yang sama iaitu percintaan dan kasih sayang luar biasa antara manusia biasa dengan puntianak.

Paku Pontianak membawa penonton menyelami kehidupan Melati (lakonan Uqasha Senrose), seorang gadis yang hilang ingatan selepas dilanggar oleh Adam dan akhirnya mengambil keputusan untuk berkahwin dengan jejaka kampung itu. Kehidupan Adam sekeluarga mula berubah apabila sering didampingi peristiwa aneh yang membabitkan Melati sehingga menimbulkan syak wasangka antara satu sama lain.


Turut terbabit dalam konflik tersebut ialah Seri (lakonan Hidayah Samsudin), bekas kekasih Adam yang rakus menggunakan ilmu hitam untuk meraih kembali cintanya yang telah dirampas Melati.


Wajah redup

Sepanjang perjalanan filem berdurasi 92 minit itu, penonton disajikan dengan plot yang cukup kompleks dan hubung kait beberapa watak yang dijalin kemas dan sempurna. Muncul perkaitan sebab tentang kenapa Melati muncul dalam keluarga Adam – antara misteri yang diselak seperti menyelak helaian buku.

Beberapa babak yang disunting menjadi mimpi dalam mimpi pula telah berjaya memberikan nilai tambah dalam pengisian Paku Pontianak. Filem ke-80 terbitan Metro- wealth itu diarahkan oleh Ismail Bob Hasim, pengarah yang pernah memenangi trofi Filem Takut Terhebat Anugerah Blokbuster 2012 menerusi karya arahannya, Sumpahan Kum Kum.

Pemilihan Uqasha sebagai tonggak utama Paku Puntianak bukan satu kesilapan.  Biarpun secara visual, lakonannya tampak kaku tapi benarlah begitu sifat seorang gadis kampung yang penuh misteri. Uqasha pula memiliki wajah redup yang turut mencerminkan sisi misteri dan menyembunyikan banyak rahsia termasuk isi hatinya.
Merupakan filem pertama lakonan Uqasha, pelakon muda itu bagaimanapun dilihat sukses dalam menyampaikan karakter Melati yang pendiam dan misteri itu.

Pekin pula tampak bersahaja, tidak terlalu mencuba dan karakter jejaka kampung tipikal itu kena dengan pembawakan dan penyampaian dirinya. Memilih Ruminah Sidek dan Sidek Hussain yang serasi dengan beberapa naskhah filem seram sebelum ini menambah mood dan kekuatan Paku Pontianak.


Tanpa terduga

Buat julung-julung kali filem arahan Ismail Bob Hasim berjaya membuatkan penonton terpegun dengan hasil mainan sudut kamera, lokasi menarik, sinematografi dan pencahayaan suram yang setanding filem-filem berkualiti luar negara. Paling tidak pun, andai penonton luar melihat hasil akhir Paku Pontianak, tidak mustahil ada yang akan membandingkan dengan beberapa naskhah filem seram Thailand. Paling tepat Nang Nak.

Paku Pontianak sebenarnya lari daripada tipikal penceritaan dan kesan kejutan filem seram tempatan. Ada beberapa babak yang memberikan kejutan kepada penonton tanpa terduga.

Contoh paling baik sudah tentu pada babak akhir. Apakah ia? Sila alaminya sendiri!
Paku Pontianak telah memulakan tayangan pada 22 Ogos lalu di pawagam seluruh negara dan bagi yang dahagakan kisah seram klasik puntianak, filem ini pilihan yang tepat.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /