07 September 2013

Pemilihan Umno: Antara Kestabilan Dan Demokrasi




Menjelang mesyuarat Umno bahagian seluruh negara bulan depan, semakin ramai anggota parti baik pemimpin tertinggi hingga ke peringkat akar umbi menyatakan pendirian jawatan presiden dan timbalannya tidak perlu dipertandingkan.
  
Tiga naib presiden Umno iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta badan perhubungan Umno Johor, Negeri Sembilan dan Sabah turut berpendirian serupa demi kestabilan parti.

Sejarah membuktikan kebenaran kenyataan itu apabila Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1987, parti itu telah berpecah-belah, bagaimanapun ada pula pihak mempersoalkan sejauh mana amalan demokrasi dalam Umno sekiranya jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.
  
Bagi penganalisis politik Prof Datuk Dr Zainal Kling, kestabilan dan  demokrasi merupakan dua tunjang dalam memastikan Umno terus kekal utuh dan parti tidak seharusnya memilih salah satu untuk diletakkan lebih tinggi berbanding satu lagi.
  
"Umno sekarang juga telah melakukan transformasi agar lebih ramai anggotanya boleh memilih pemimpin di peringkat pimpinan pusat. Ini memperlihat demokrasi itu terus subur dalam Umno. Silap bila fikir tidak tanding presiden dan timbalan, demokrasi itu tiada, naib presiden dan majlis tertinggi (MT) masih dipertandingkan.
   
"Namun, Umno perlu memastikan kestabilan itu datang daripada sistem demokrasi dalam parti itu dengan memastikan pertandingan melalui sistem demokrasi itu sihat dan bersih daripada anasir negatif seperti politik wang," katanya yang merupakan penyandang kerusi Tun Abdul Ghafar Baba di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi).

Sebanyak 146,500 anggota parti di peringkat akar umbi di 191 bahagian akan terlibat dalam pemilihan MT meliputi presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 25 anggota MT selain memilih anggota jawatankuasa bahagian.
  
Tarikh akhir bagi persidangan peringkat bahagian ialah 19 Oktober dan tarikh akhir pendaftaran calon peringkat pusat pada 28 Sept manakala Perhimpunan Agung Umno dijadualkan 2 hingga 7 Disember ini.
  
Zainal berkata, bagi memastikan demokrasi sihat terus subur dalam Umno, semua anggotanya perlu bertanggungjawab dalam memilih calon yang berwibawa bagi memimpin parti itu.
  
"Sifat tanggungjawab ini akan memastikan calon yang dipilih adalah calon yang benar-benar mahu berkhidmat untuk parti dan sifat tanggungjawab itu penting bagi memastikan pemilihan itu bersih serta telus. Semua anggota parti perlu memastikan etika mereka terjaga," katanya.
   
Bagi Setiausaha Kelab Veteran Umno Malaysia Datuk Mustapha Yaakub yang telah lama berjuang bersama parti keramat orang Melayu itu, secara realitinya amat penting bagi dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan bagi mengelakkan terbentuknya 'team A' dan 'team B' yang pernah berlaku dahulu.
  
"Benar secara teorinya atau atas kertas jika semua jawatan dipertandingkan demokrasi itu nampak lebih 'cantik' dalam parti. Tetapi berdasarkan pengalaman saya berpuluh tahun dalam Umno...realiti politik sekarang terlalu sukar untuk elakkan perpecahan.
  
"Bukan menidakkan pendapat ahli akademik, tetapi kita bercakap soal realiti politik masa sekarang, bukan sahaja Umno malah semua parti dalam Malaysia begitu. Tiada lagi demokrasi sempurna, akan ada mereka yang tidak puas hati 'itu ini' dan akhirnya berpecah," katanya.
  
Mustapha berkata bagi memastikan Umno tidak berpecah, semua anggota parti perlu memilih agar jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan malah jawatan naib presiden dan ketua sayap parti juga tidak perlu dipertandingkan.
  
"Saya mengatakan begini kerana bila jawatan tertinggi itu dipertandingkan, cukuplah satu jawatan iaitu presiden ditandingkan, akan ada pasukan-pasukan tersendiri daripada presiden hingga ke akar umbi.
    
 "Setiap calon presiden itu akan mempunyai pasukan calon masing-masing daripada timbalannya, naib presiden, MT hinggalah sayap parti malah sampai bahagian dan cawangan. Ini terjadi dahulu dan akhirnya Umno diharamkan, veteran Umno tidak akan sama sekali membenarkan ia berulang kembali," katanya.
  
Beliau turut mengingatkan kepada pemimpin Umno yang terpilih menerajui parti daripada peringkat cawangan hinggalah ke peringkat pimpinan tertinggi supaya tidak dibuai dengan mimpi indah Umno berjaya mengekalkan kuasa pada PRU13 lepas.
  
"PRU13 kita sudah tutup buku, mereka yang terpilih nanti tidak sepatutnya pandang PRU13, mereka perlu lihat PRU14 pula. Bagaimana kita perlu kukuhkan parti kita dan hadapi cabaran PRU14 yang saya lihat lebih getir berbanding PRU13," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /