Penyanyi yang sedang
meningkat naik bersama kumpulan Mojo, iaitu Aweera mula membuka mulut untuk
bercerita tentang isu dirinya diisytihar muflis baru-baru ini setelah mengambil
pendekatan berdiam diri sebelum ini.
Menurutnya, kejadian
bermula sewaktu dia masih bekerja di tempat lamanya iaitu di sebuah universiti
awam sebelah utara tanah air kira-kira tiga tahun yang lalu setelah membuat
pinjaman untuk urusan peribadi bersama sebuah bank.
"Sebenarnya ia
bukanlah suatu perkara rumit yang tidak boleh diselesaikan. Cuma apabila ia
diketahui pihak media dan tersebar secara meluas, barulah isu itu kelihatan
besar.
"Buat waktu ini
tidak banyak yang boleh saya perkatakan berhubung perkara tersebut, cuma apa
yang pasti tindakan ini didalangi oleh pihak tertentu yang bertujuan untuk
sabotaj saya.
"Dalam tempoh
lapan bulan saya bertugas selaku pemuzik untuk sebuah unit kebudayaan di sana,
pastinya ada pihak yang kurang senang dengan diri saya. Jadi mungkin setelah
mereka melihat perkembangan saya kini ada yang sengaja mahu memburuk-burukkan
nama saya," katanya yang ditemui sewaktu majlis rumah terbuka anjuran KRU
Studios, baru-baru ini.
Jelas penyanyi yang
popular dengan lagu Andai Ku Bercinta Lagi ini, kejadian tersebut sedikit
sebanyak memberikan tekanan buat dirinya apatah lagi dia merupakan seorang
penyanyi yang masih hijau dalam industri ini.
"Tidak
dinafikan, isu muflis ini memberi tekanan buat diri saya tetapi perkara
tersebut sudahpun berlalu dan saya akui ia adalah suatu kesilapan yang pernah
saya lakukan dahulu.
"Tidak ada
gunanya buat saya untuk berfikir negatif tentang perkara ini selain daripada
menjadikan ia pengajaran buat diri saya dan juga masyarakat khususnya generasi
muda," katanya yang membuat pinjaman tersebut sewaktu berusia 19 tahun.
Aweera yang kini
berusia 22 tahun juga berharap masyarakat khususnya peminat memberikannya ruang
dan peluang untuk menyelesaikan perkara tersebut agar dia dapat membersihkan
namanya dengan kadar segera.
"Saya sedar
perkara ini sudah diketahui umum khususnya peminat-peminat saya, tapi saya
berharap agar masyarakat memberi saya ruang untuk segera menyelesaikan perkara
itu.
"Pastinya
sesudah ia selesai nanti, akan saya umumkan perkhabaran gembira kepada
semua," jelasnya lanjut.
Popular dengan satu
lagu
Lagu Andai Ku
Bercinta Lagi boleh diibaratkan sebagai lagu berhantu buat kumpulan Mojo dan
Aweera sendiri mengakui aura yang dimiliki lagu tersebut apabila dalam tempoh
setahun sahaja, namanya dan Mojo dikenali ramai.
Jelas Aweera, setiap
kali mereka dijemput untuk sebarang majlis, pasti akan ada permintaan oleh
pihak penganjur untuk mereka menyanyikan lagu tersebut kerana sebenarnya hanya
itu sahaja single mereka yang ada dipasaran sebelum ini.
"Ramai yang
tidak tahu sebenarnya dalam tempoh setahun, kami meraih populariti hanya dengan
satu lagu sahaja iaitu Andai Ku Bercinta Lagi.
"Ini memang
strategi yang kami lakukan iaitu untuk memastikan setiap single yang kami
lancarkan mendapat ruang untuk diterima masyarakat khsususnya peminat sebelum
melancarkan single-single berikut selepas itu," katanya lanjut.
Setelah setahun lebih
mempromosikan single pertama mereka, kini kumpulan Mojo keluar dengan dua
single serentak, satu lagu berbahasa Melayu iaitu Roman Cinta dan satu lagu
dalam bahasa Inggeris, Dark Clouds yang turut dimuatkan dalam filem Vikingdom.
Tambah Aweera lagi,
memang terdapat penyanyi yang aktif mengeluarkan single demi single dalam
tempoh masa yang dekat tetapi strategi sedemikian bukanlah pendekatan yang akan
diambil oleh kumpulan ini.
"Bagi saya,
kualiti sesebuah lagu itu adalah jauh lebih penting daripada segi kuantiti,
jadi apabila kita sudah berjaya mempunyai sebuah lagu yang berkualiti, berikan
sedikit masa untuk lagu tersebut benar-benar diterima peminat.
"Saya juga
percaya dengan pendekatan yang betul, nama kumpulan Mojo akan terus kekal dalam
industri ini disamping mengukuhkan kedudukannya sebagai kumpulan rock generasi
muda," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan