Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad, tokoh pendidik ini berseloroh kelmarin
apabila ditanya akan usianya. Katanya, beliau lebih suka umurnya disebutkan
terbalik, 67 daripada 76 tahun. Sambil tertawa kecil, beliau yang ditanya
wartawan apa yang akan difikir dan direnungkan saat ini sebaik sahaja Kongres
Perdana Pendidikan Kebangsaan mengeluarkan satu resolusi memperingatkan
kerajaan agar berhenti daripada menjadi mangsa peras ugut pihak tertentu, kata
orang lama ini:
"Saya tidak persoalkan dasar itu dan cuma kita perlu sesuaikan dengan
keadaan. Mesti ada penilaian dari waktu ke waktu serta suatu pembetulan
dilakukan. Kalau ada satu perancangan seperti mana Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025, kita mesti pastikan ia mencapai matlamat dan ini
bergantung kepada kemampuan kita melaksanakannya. Dan akhir sekali, jentera
yang melaksanakannya mestilah bersedia," kata beliau.
Ikuti luahan hati Abdul Rahman dalam perbualan selama 15 minit dengan
penulis menerusi telefon kelmarin.
1. Soal perpaduan
"Inilah yang saya risau sangat selepas selesai PRU-13 (Pilihan Raya
Umum ke-13) yang akibatnya apa yang ternampak begitu nyata. Iaitu pertama, soal
perpaduan negara masih tidak ada. Kedua, (sentimen) perkauman masih tebal. Kita
sudah merdeka 56 tahun yang bertujuan untuk membentuk satu pasukan (bangsa
Malaysia), namun sampai sekarang soal perpaduan tidak ada. Ada, tapi tak
nampak.
Kenapa? Barangkali sistem pendidikan kita yang menghala kepada dua sistem
yang saya tidak tahu adakah negara lain mempunyai konsep yang sama. Bahasa
pengantar kita bahasa Melayu dan satu lagi bahasa Cina dan Tamil walaupun di
sekolah rendah.
Sekarang, ada pula sekolah swasta Cina lagi. Kalau seseorang murid itu dari
sekolah rendah, dia akan memasuki pula sekolah menengah Cina. Bila masanya akan
ada perpaduan kalau tidak ada titik pertemuan.
Dong Zong (Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia) pula
mahukan guru-guru yang mengajar bahasa Melayu ke sekolah Cina mesti lulus
bahasa Mandarin. Apa kaitan Bahasa Mandarin dan Bahasa Melayu?
Justeru, dalam hal ini, Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan yang
berlangsung kelmarin bersetuju untuk memperbetulkan keadaan ini iaitu pasukan
untuk pendidikan ini perlu teruskan pencapaian tiga matlamat."
2. Matlamat
"Tiga matlamat itu adalah yang pertama, sistem pendidikan perlu
dibentuk untuk melahirkan perpaduan. Malaysia didiami masyarakat majmuk. Kalau
dibiarkan soal ini dengan mengikut cara sendiri atau masing- masing, perpaduan
tidak akan tercapai.
Kalau ada perpaduan pula, oleh kerana kita di Malaysia, kita perlu junjung
hasrat negara yang perlu ada sikap keMalaysiaan. Rancangan-rancangan
berteraskan kaum perlu ada supaya jangan ada anasir-anasir yang 'pecah' iaitu anggap segala-galanya
berlandaskan nasionalisme. Di Malaysia ini, perlu ada sifat kebangsaan,
sejarahnya panjang dan perlu ada penilaian kesetiaan.
Dan kalau ada perpaduan dan jika ada kewarganegaraan, itu pun masih belum
lengkap. Pendidikan harus mencipta kemajuan untuk negara. Dari segi pendidikan,
ia harus bertitik untuk kemajuan akan datang. Yang belum maju dimajukan. Ini
bererti sekolah-sekolah luar bandar perlu dibantu untuk maju. Segala pendidikan
perlu berteraskan aspek-aspek ini kalau tidak nanti akan bercanggah."
3. Jangan benarkan ia...
"Kalau kita bercakap soal mahukan perpaduan, maka apa yang dituntut
oleh Dong Zong inilah yang boleh mengundang perpecahan. Orang ini akan minta
kalau sesuatu itu bercanggah (dengan semua). Sepatutnya jangan dibenarkan
tuntutan-tuntutan sebegini. Kalau dilayan, memanglah salah kita.
Cuma, ia boleh dibenarkan asalkan memenuhi tiga syarat tadi. Kalau ini
tidak ada sifat kewarganegaraan dan kebangsaan, jika dibenarkan, tak tahulah.
Kalau ada perpaduan tapi tak ada kemajuan, salah juga. Kalau tidak ada
keMalaysiaan, tak boleh juga. Perlu ini semua digabungkan.
4. Nak buat macam mana, masa
berubah...
"Ya, saya setuju bahawa keadaan berubah dari semasa ke semasa. Dulu
kita kekurangan, sekarang negara bertambah maju dan orang-orang ini ambil
kesempatan nak itu ini. Bagi saya, dengan keadaan berubah ini menyebabkan
kerajaan berasa kajian yang berlaku dulu harus diperbaiki supaya negara
bertambah maju. Apa bentuknya masyarakat untuk masa hadapan?
Kalau itu bentuknya, maka kita harus aturkan pendidikan ke arah itu.
Misalnya, perlu belajar dua bahasa sedangkan dulu tidak ada keperluan ini.
Sebabnya sekarang kita masuk dunia sejagat - dunia tanpa sempadan. Dulu kita
cuma belajar, kini perlu juga mencipta. Kalau kita dulu lain, sekarang lagi
lain untuk memenuhi kehendak masa depan.
Jadi, dalam hal ini saya hendakkan satu ketegasan daripada pihak kerajaan.
Bimbang, semua akan bimbang. Kalau tidak ada ketegasan lagilah kita bimbang
dalam mencipta yang baik untuk negara. Jangan dialunkan oleh permintaan yang
tidak sesuai dengan masa depan negara.
Ini, politik, politiklah juga tapi perlu berlandaskan kepada sifat
kenegaraan. Politik perlu sama dengan harapan kenegaraan. Politik ke arah salah
jangan kita ikut. Justeru, Kongres mesti ambil kesempatan ini kerana keadaan
akan berubah dari waktu ke waktu. Perlu sesuaikan dengan keadaan pendidikan
hari ini kerana kita cukup takut kalau tersalah arah. Kalau penilaiannya di
pertengahan jalan, kalau terserong, kita masih boleh perbetulkan balik.
5. Masalah besar kalau...
“Orang yang fikirkan pelaksanaan dasar ini mesti pastikan ia selari dengan
orang yang akan melaksanakannya. Fikiran mesti selari. Kalau orang bawah tak
tahu, hanya orang atas sahaja yang faham, pasti pelaksanaan dan matlamatnya
tidak akan sampai. Ini masalah besar. Kita ada hampir 500,000 guru. Ini
bilangan yang cukup besar. Mesti ada gerakan untuk menyediakan mereka faham
dasar ini dan boleh melaksanakannya.
Ini kita kena fikir baik-baik bagi mengelak akhirnya matlamat tak sampai.
Kita mesti ingat! keadaan cukup berbeza dari sekolah ke sekolah. Keadaan yang
melingkungi orang (murid dan guru) di Kuala Lumpur berbeza dengan mereka di
pedalaman dan luar bandar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan