Bekas penyanyi Ina Naim kini tampil dengan imej purdah sejak empat bulan
lalu selepas diminta suaminya yang juga penyanyi nasyid iaitu Mohd Suhaimi
Saad. 33. Ina atau nama sebenarnya Nordiana Md. Naim, 29, berkata, pada mulanya
dia kurang selesa dengan imej itu tetapi selepas hampir empat bulan memakainya,
dia sudah mula serasi dan tidak bermasalah dalam melakukan segala aktiviti
harian.
"Alhamdulillah saya sudah pun melalui fasa baharu dalam hidup sebagai
umat Islam. Lagipun hukum berpurdah itu sunat dan apabila suami meminta saya
untuk berubah imej, saya akur. Kiranya saya lakukan ini semua kerana Allah dan
suami," katanya.
Tambah Ina, keputusannya untuk berpurdah juga bagi mengelak daripada
difitnah individu yang tidak bertanggungjawab. Mengenai perkembangan terbaharu,
bekas tunang penyanyi Mawi ini menjadi suri rumah sepenuh masa dan bahagia
dalam menjaga ketiga-tiga anaknya iaitu Ehmad Hadie Elfardi, 5, Sallman
Elkhoyri, 3, dan Thyrosh Elfadwah yang berusia setahun.
"Buat masa ini saya hanya menjaga anak-anak dan menguruskan suami.
Maklumlah mereka masih kecil, maka perlu diberi perhatian lebih. Bagaimanapun
agak mengejutkan juga kerana saya masih menerima undangan membuat persembahan.
Walaupun tidak seaktif dahulu, sekali sekala ada yang memanggil,"
tuturnya.
Kata Ina undangan persembahan yang masih ditawarkan kepadanya membuatkan
dia menyimpan hajat untuk kembali aktif menyanyi apabila anak-anaknya sudah
dewasa kelak.
"Kalau nak tahu, suami telah menyediakan beberapa lagu buat saya.
Tinggal nak rakamkan sahaja. Insya-Allah jika tiada aral, saya akan muncul dengan
lagu-lagu berunsur dakwah. Tak tahu bila, tetapi biarlah anak-anak besar
sikit," katanya.
Ina pernah merakamkan sebuah album mini tidak lama dahulu yang turut
memuatkan lagu Rebah, kisah mengenai kehancuran cintanya dengan Mawi. Ina dan
Suhaimi diijabkabulkan sebagai pasangan suami-isteri pada 12 Ogos 2007.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan