08 September 2013

Pantai Sura Jadi Port Remaja Buat Maksiat




Pantai Sura Tengah di Dungun, Terengganu terkenal dengan kawasan pasir memutih berlatarkan laut membiru dan hembusan bayu yang nyaman sepatutnya menjadi lokasi santai bersama keluarga. Namun, anugerah alam semula jadi itu disalah guna pasangan kekasih gelap untuk memadu cinta terlarang, terutama di kawasan yang agak jauh serta terlindung daripada orang ramai.

Walaupun Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Daerah kerap melakukan rondaan dan tangkapan di situ, masih ada segelintir remaja seperti tidak takut dengan undang-undang. Pengunjung, Azmi Ariffin, 38, berkata kelakuan pasangan remaja itu amat memalukan dan menyakitkan mata orang ramai yang lalu di jalan tidak jauh dari pantai itu.

Katanya, dia pernah terserempak dengan pasangan remaja sedang berpelukan dan asyik bercumbuan tanpa segan silu pada waktu siang.

“Keadaan sungguh mengaibkan kerana kini orang sudah tidak lagi malu melakukan maksiat hingga turut dilihat oleh kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di pantai itu.

Azmi berkata, pihak berkuasa perlu tegas dan lebih kerap mengadakan rondaan bagi memastikan kawasan pantai berkenaan bebas perlakuan maksiat. Penduduk, Azman Mohd Noor, 46, berkata, walaupun kawasan itu menjadi tumpuan pihak berkuasa melakukan tangkapan, ia tidak menakutkan kumpulan pasangan melakukan maksiat yang bersilih ganti datang ke situ.

Katanya, penduduk yang tidak mahu turut menanggung dosa sudah beberapa kali memberi nasihat dan menegur secara baik terhadap pasangan kekasih gelap tetapi seperti tidak diendahkan, malah dalam beberapa keadaan penduduk pula yang dimarahi pasangan terbabit.

“Pasangan remaja yang melakukan perbuatan sumbang di situ perlu disedarkan dengan tindakan tegas daripada pihak berkuasa termasuk hukuman denda berat dan penjara selepas disabitkan kesalahan,” kataya.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkuasa perlu tegas dan lebih kerap mengadakan rondaan bagi memastikan kawasan ini bebas daripada sebarang perlakuan maksiat. Azman berkata, kedudukan tebing pasir tinggi amat sesuai kepada pasangan remaja melakukan maksiat kerana ia menghalang pandangan orang ramai yang melalui jalan Pantai Teluk lipat hingga ke Sura Hujung.

“Saya pernah turun ke kawasan berhampiran gigi air dan terserempak satu pasangan. Saya menasihati mereka supaya tidak melakukan perkara yang terkutuk itu. Mujurlah setakat ini belum ada tindak balas buruk daripada mereka.

“Perlakuan tidak senonoh ini perlu dihentikan kerana gejala buruk di pantai itu menjadi pencetus kepada perlakuan lebih berani pasangan kekasih gelap berkenaan termasuk seks bebas hingga menyebabkan gejala buang bayi,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /