06 September 2013

Noh Omar Tidak Akan Pertahan Jawatan MT




Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar mengambil keputusan mengejut apabila mengumumkan akan menarik diri daripada dicalonkan bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan parti November ini.

Beliau memberikan empat sebab utama keputusan tersebut diambil antaranya bagi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri selepas melihat senario politik di Selangor yang memerlukan pihaknya memberi komitmen tinggi dan sepenuh tumpuan.


"Berdasarkan senario politik semasa dalam UMNO, saya dengan rasa rendah diri telah mengambil satu ketetapan untuk tidak mencalonkan diri dalam pemilihan ahli MT yang akan datang.

"Saya mengambil ketetapan ini sebagai tanda terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kepercayaan melantik saya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dan akan berusaha untuk merealisasikan hasrat Perdana Menteri supaya UMNO kembali berkuasa di Selangor,'' katanya.

Menurutnya, beliau juga memberi tumpuan sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri Selangor dalam memastikan segala projek dan peruntukan Kerajaan Persekutuan bukan sahaja dapat dilaksanakan dengan berkesan tetapi dinikmati dan dihargai oleh rakyat Selangor.

Pada mesyuarat pertama Badan Perhubungan UMNO negeri yang dipengerusikannya buat kali pertama bulan lalu, Noh mengumumkan kepimpinan parti peringkat negeri memutuskan untuk mengemukakan dua pencalonan bagi jawatan MT iaitu beliau yang mempertahankan jawatan itu dan Ketua UMNO Bahagian Puchong, Datuk Mohd. Satim Diman sebagai calon muka baharu.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, langkah menarik diri daripada dicalonkan jawatan MT juga adalah bagi menghormati suara sayap dalam UMNO yang mencadangkan wakil mereka bertanding jawatan MT.

"Secara kebetulan antara calon-calon sayap tersebut datangnya dari Selangor iaitu Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah; Exco Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan yang juga Ketua Pemuda UMNO Selayang dan Datuk Mohd. Satim Diman yang telah menawarkan diri bertanding Ahli Majlis Tertinggi," kata beliau.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /