23 Ogos 2013

Terima Kasih PM, Kerana Mendengar Rintihan Anak Muda




Pertama sekali, diucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada usaha dan keprihatinan Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin berhubung bantahan terhadap cadangan untuk melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ingkar.

Malah ketika isu ini mula dibangkitkan, boleh dikatakan Khairy yang sinonim dengan panggilan KJ adalah merupakan mereka yang terawal menolak cadangan ini dilaksanakan. Ia secara tidak langsung telah menyebabkan pakatan pembangkang terperanjat dengan tindakan tersebut. Ini kerana, mereka mungkin menyangka semua cadangan berhubung dasar kerajaan perlu dipersetujui walaupun ia secara jelas boleh membebankan rakyat.


KJ yang juga merupakan Ketua Pemuda Umno sebelum ini menegaskan Pergerakan Pemuda tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk menyenaraihitamkan peminjam PTPTN yang gagal membayar balik pinjaman. Menurut beliau kerajaan sepaptutnya mengguna pakai segala mekanisme kutipan serta tindakan sedia ada ke atas peminjam-peminjam yang enggan melunaskan hutang mereka.

Malah, menurut beliau keutamaan hendaklah diberi kepada tindakan bersepadu dengan mengambil kira pemberian insentif bayaran balik serta kaedah pembayaran anjal berasaskan kepada situasi semasa peminjam.

Selain Pemuda Umno, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) turut menyatakan bantahan terhadap cadangan ini kerana merasakan kaedah tersebut agak radikal dalam persekitaran ekonomi negara yang kurang memberangsangkan dan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Malah mereka juga turut mencadangkan agar kerajaan mengadakan sidang meja bulat dan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Majlis Perwakilan Pelajar bagi menangani masalah ini.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh sebelum berkata bermula Ogos ini, lebih 400,000 peminjam PTPTN yang gagal membayar balik pinjaman akan disekat daripada melakukan sebarang pinjaman dari mana-mana institusi kewangan di negara ini.

Katanya lagi, melalui CCRIS dengan kerjasama Bank Negara akan menyenarai hitamkan mereka yang ingkar. Dengan itu, mereka yang gagal membayar kembali pinjaman menerima kesan seperti gagal mendapatkan kelulusan pinjaman daripada institusi kewangan lain, terutamanya yang membabitkan pinjaman wang, kad kredit, sewa beli dan sebagainya.

Walaupun dari satu sudut, cadangan Idris itu baik sebagai satu usaha untuk mewujudkan budaya membayar kembali hutang di kalangan rakyat, namun dari satu segi ia di lihat boleh membebankan rakyat. Tambahan pula, cadangan tersebut juga seperti memberikan ‘bola tanggung’ kepada pembangkang untuk berterusan mewujudkan sentimen kebencian di kalangan masyarakat kepada kerajaan.

Kesimpulannya, keputusan kabinet untuk menolak cadangan tersebut melalui mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan semalam adalah merupakan satu bukti keprihatinan kerajaan terhadap denyut nadi rakyat dalam mendengar rintihan dan suara anak muda. Ia sekali gus menepati slogan yang sering dikumandangkan selama ini ‘Rakyat Di dahulukan.

Terima Kasih PM!

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /