23 Ogos 2013

Isu PLKN : Buat Salah, Tak Buat Pun Salah



Buat salah tak buat pun salah, itulah antara perumpamaan yang dirasakan sesuai untuk diberikan apabila melihat tindakan pakatan pembangkang di negara ini yang hanya pandai bercakap dalam meletakkan kesalahan kepada kerajaan. Pasti ramai yang masih ingat berhubung kes seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang melahirkan bayinya di tandas kem Jiwa Murni, Gunung Semanggol tidak berapa lama dahulu.

Pada ketika itu, kecoh seketika di media-media sosial khususnya Facebook dan Twitter bila mana mereka di kalangan pakatan pembangkang cuba menyalahkan kerajaan. Malah ada di kalangan mereka yang meminta agar program ini dihentikan seketika kerana kononnya ia mendatangkan lebih keburukan berbanding kebaikan.


Hampir saban hari, pihak kerajaan di serang dengan pelbagai dakwaan sehingga menyebabkan ada segelintir di kalangan masyarakat yang turut terpengaruh dengan propaganda tersebut. Paling menarik pada ketika itu juga, lahirlah ramai ‘para cerdik pandai segera’ yang memberikan pelbagai pandangan berhubung isu tersebut.

Yang menghairankan, apabila kerajaan memutuskan untuk mewajibkan ujian kehamilan untuk semua pelatih yang terpilih menyertai PLKN sebagai langkah pencegahan, wujud pula sekumpulan yang mendakwa ia tidak boleh dilaksanakan kerana akan ‘melanggar privasi’ dan akan memalukan mereka yang terlibat.

Mereka yang kononnya berjuang untuk kumpulan hak wanita itu juga turut mendakwa tindakan tersebut akan mendatangkan keburukan kerana mewujudkan trauma kepada orang muda. Selain daripada itu ia juga boleh menyebabkan mereka yang terlibat dengan ‘seks luar nikah’ ini mengambil tindakan drastik dengan mengambil risiko untuk menggugurkan kandungan mereka.

Inilah sikap sebenar pembangkang di negara ini yang hanya tahu untuk membangkang dan menyalahkan orang lain berhubung semua isu.

Betul, dari satu segi, kita perlu mengakui tugas dan peranan yang perlu dimainkan oleh pembangkang. Ini kerana di dalam sistem demokrasi, antara fungsi pembangkang ia bertindak sebagai ‘check and balance’ kepada kerajaan dalam tindakan yang diambil.

Bahkan ramai di kalangan kita yang sedar dan mengakui kewujudan pembangkang adalah merupakan satu nilai yang penting bagi mengukuhkan sistem tersebut dan ia mempunyai keabsahan dari segi perlembagaan negara.

Sayangnya perkara penting ini tidak berlaku kerana kehadiran mereka telah terpesong kerana lebih berminat menjadi pengadu domba untuk tujuan mencipta kontroversi tanpa berpaksikan realiti kebenaran. Apa sahaja yang diusahakan oleh kerajaan akan dipolemikkan.

Bangkangan mereka yang pada mula mengkritik kerajaan berhubung isu ini, cuba bermain politik apabila satu langkah pencegahan ingin diambil. Dan ia secara tidak langsung membuktikan bahawa mereka pada hakikatnya telah gagal memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan dan bermanfaat untuk rakyat.
Mereka lebih cenderung membangkang apa saja semata-mata untuk mencapai kepentingan politik kepartian tanpa mempedulikan soal betul atau salah sesuatu perkara - pada mereka yang penting rakyat perlu dikelirukan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /