23 Ogos 2013

Peranan Cawangan Dalam Melahirkan Orang Umno vs Ahli Umno



Sejak 15 Julai 2013 lalu telah bermulalah mesyuarat peringkat cawangan Umno yang melibatkan 21,056 cawangan di semua peringkat. Manakala pada 15 September 2013 pula bakal menyaksikan jumlah keseluruhan cawangan yang berjaya menunaikan tanggungjawab tersebut bagi melayakkan mereka menghantar perwakilan ke peringkat bahagian.

Namun belum pun tarikh tersebut berakhir, telah mula kedengaran suara-suara yang tidak berpuas hati dengan pendekatan Umno untuk menggunakan ‘format baru’ berdasarkan beberapa pembaharuan yang telah dibuat dalam Perlembagaan parti.


Dikatakan juga pada ketika ini ramai di kalangan ketua-ketua cawangan dan kepimpinan sayap seperti Wanita, Pemuda dan Puteri mula merungut kerana pendekatan tersebut telah menyebabkan mereka gagal mengadakan mesyuarat kerana tidak mempunyai korum yang mencukupi.

Malah pihak media sebelum ini juga turut melaporkan hampir 50 peratus sayap Puteri Umno di Kelantan dikesan tidak dapat mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan berikutan masalah yang sama. Manakala situasi sama turut berlaku pada sayap Pemuda apabila dilaporkan hampir 30 peratus gagal untuk bermesyuarat.

Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini turut menegaskan format baru itu mencabar dan begitu kompleks kerana melibatkan jumlah perwakilan yang amat besar. Ini kerana pemilihan pucuk kepimpinan tertinggi pada kali ini akan melibatkan hampir 150,000 perwakilan di 191 bahagian Umno seluruh negara.

Ada yang mengatakan format baru ini sedikit sebanyak akan menyebabkan pimpinan pakatan pembangkang menggunakan isu ini untuk memburukkan parti. Namun dari satu segi ia adalah merupakan satu pendekatan yang berkesan untuk membolehkan parti keramat untuk orang Melayu melakukan proses pemutihan.

Sebagai contoh, cawangan di bandar-bandar ada yang masih tidak mempunyai bilik gerakan. Malah ada di kalangan mereka yang sengaja menubuhkan cawangan-cawangan baru yang tidak mempunyai cukup kuorum atau lebih dikenali sebagai cawangan bunian.

Selain daripada itu, ada juga di kalangan ketua-ketua cawangan yang langsung tidak mengenali ahli-ahli mereka. Sehingga menyebabkan ada segelintir ahli yang merasa terpinggir dan dianaktirikan mula beralih untuk menyokong pakatan pembangkang. Bukan kerana mereka menyokong ideologi pembangkang, tetapi lebih kerana sakit hati dengan sikap dan perangai segelintir pemimpin Umno baik di peringkat cawangan mahupun bahagian.

Malah menurut kajian yang dilakukan juga, atas sebab itu juga telah banyak peti-peti undi khususnya di kawasan bandar gagal diselamatkan. Bukan niat untuk menyalahkan ketua-ketua cawangan, namun itulah antara hakikat yang perlu diterima. Kerana cabaran politik pada ketika ini amat berbeza dengan pendekatan dahulu.

Contohnya dahulu, kawasan seperti Pandan, Ampang, Sungai Penchala, Kampung Lindungan di Sungei Way serta Kampung Medan, Kampung Jaya serta Kampung Sentosa di Jalan Kelang Lama, merupakan penempatan setinggan. Ketika itu ahli-ahli cawangan UMNO di situ boleh mencapai 200 hingga 300 orang. Tetapi sejak berpindah ke rumah-rumah flat, cawangan-cawangan tadi hampir lupus.

Oleh yang demikian, amatlah wajar untuk kepimpinan bahagian mula mengerakkan kempen untuk menyemarakkan semula aktiviti cawangan-cawangan. Kalau belum ada cawangan di situ, wujudkanlah. Perlu ada cawangan-cawangan baharu seperti mana diinisiatifkan oleh ahli-ahli veteran parti di Selangor semasa kempen PRU-13 lalu.

Malah selepas proses pemutihan ini kembali dilaksanakan, ia secara tidak langsung akan membolehkan kepimpinan cawangan mengenal pasti ahli-ahli mereka yang benar-benar komited. Kewujudan mereka juga dapat dikesan dengan mudah, sama ada masih dapat dihubungi atau telah berpindah kawasan.

Ini kerana penubuhan cawangan memberikan makna yang cukup signifikan kepada UMNO. Hakikatnya, UMNO perlukan satu sistem pengkaderan yang baik dan memerlukan pekerja sepenuh masa dalam menjaga hal ehwal parti. Sehinggakan ada yang mengatakan, apa yang diperlukan oleh parti ialah mereka yang dikenali sebagai ‘orang Umno’ dan bukannya ‘ahli Umno’.

Tidak cukup hanya setakat ketua bahagian, pegawai menteri dan calon-calon tertentu di-groom, diberi kedudukan yang baik dan akhirnya menjadi calon pilihan raya. Tetapi peranan sayap di dalam UMNO juga perlu serius menyediakan pelapis terbaik, di peringkat cawangan lagi dalam menghadapi duri dan ranjau Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Namun di sebalik semua masalah yang dihadapi itu, akan membolehkan parti ini terus mantap dan kuat dalam menghadapi semua cabaran yang mendatang khususnya dari makhluk yang bernama Anwar Ibrahim.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /