22 Ogos 2013

Jangan Undang 'Petaka' Kepada UMNO




Ahad lalu, akhbar Mingguan Malaysia menyiarkan kenyataan dua pemimpin iaitu bekas Presiden UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak. Biar pun nada berbeza namun sasaran pesanan adalah sama iaitu kepada ahli-ahli UMNO supaya mereka menyayangi parti yang menjadi tonggak orang Melayu itu.

Najib berpesan agar ahli UMNO perlu meletakkan prinsip kekeluargaan sebagai asas yang kukuh pada pemilihan parti di peringkat cawangan, bahagian dan majlis tertinggi. Presiden UMNO itu berkata, menerusi asas tersebut, UMNO akan terus mampu untuk menghadapi cabaran mendatang. Dr. Mahathir pula dalam tulisan bertajuk 'Pesanan untuk UMNO', mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya tidak mengharapkan balasan ketika berjuang dalam parti itu.


Kata Dr. Mahathir, ''Janganlah mengeluh kerana kononnya tak dapat apa-apa pun setelah menyokong UMNO begitu lama. Sesungguhnya mereka yang tahu bersyukur, Allah berjanji akan memberi lebih banyak nikmat. Insya-Allah, masa depan akan memperlihatkan giliran orang lain pula, mungkin giliran anak cucu kita jika pemerintahan oleh UMNO dapat diteruskan.''

Sememangnya, pesanan kedua-dua pemimpin amat penting apabila ahli-ahli UMNO akan membuat keputusan siapakah yang bakal bersama-sama Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengharungi bahtera perjuangan parti keramat tersebut. Malahan sebelum ini Muhyiddin juga sudah berpesan bahawa pemilihan UMNO Oktober ini berperanan sebagai pemudah cara untuk parti mengenal pasti individu yang benar-benar berminat menggalas tanggungjawab kepada rakyat.

Tegas Muhyiddin, peluang dan ruang harus diberikan kepada calon yang berkebolehan memberi khidmat kepada rakyat secara berkesan agar parti diterima masyarakat. Sesungguhnya demokrasi membenarkan sesiapa sahaja bertanding, demokrasi memberi hak kepada ahli-ahli sesebuah parti menentukan siapa yang mereka mahu dan sudah pasti demokrasi juga mengizinkan mereka bersuara menyatakan pendirian.

Tetapi dalam membuat keputusan terutamanya menawarkan diri untuk bertanding, ukurlah baju di badan sendiri dan fikirkanlah kesannya sama ada penyertaan kita mampu menguatkan parti atau melemahkan parti. UMNO bukanlah lagi sebuah parti yang berupaya untuk menampung mana-mana pemimpin yang bertanding semata-mata untuk mempertahankan kedudukan politik dan kepentingan peribadinya.

Sebaliknya, UMNO memerlukan satu kekuatan melalui barisan kepimpinan yang ampuh bagi bertarung mempertahankan tampuk kekuasaan dalam arena politik negara. Cabaran UMNO bukan sedikit, pakatan pembangkang semakin ghairah mahu merebut kuasa daripada parti itu yang menjadi tonggak kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sebarang tindakan yang bertujuan melemahkan UMNO tidak boleh diizinkan khususnya oleh pemimpin yang merasakan diri mereka layak untuk menjadi antara barisan kepimpinan utama UMNO. Tidak kira sama ada di peringkat cawangan, bahagian, Majlis Tertinggi mahupun sayap, UMNO perlu diperkuatkan oleh barisan kepimpinan yang benar-benar ampuh.

Kalaulah di peringkat cawangan dan bahagian, pemimpin sedia sudah cukup mantap maka tidak usahlah mana-mana pemimpin lain hendak 'gatal tangan' mahu merebutnya, tetapi dalam masa yang sama pemimpin di kedua-dua peringkat itu yang merasakan sudah tidak mampu memberi sumbangan kepada parti maka berundurlah secara terhormat.

Begitu juga di peringkat kepimpinan Pemuda, Wanita dan Puteri. Jika pemimpin sedia ada sudah cukup baik, kenapakah perlu hendak diganggu gugat lagi. Mungkin ada sedikit sebanyak kelemahan tetapi itu bukanlah alasan untuk kita menggantikan pemimpin tersebut.

Kecualilah jika sudah sampai had umur yang ditetapkan maka tidak salah jika ada yang menawarkan diri, itu pun orang yang menawarkan diri tersebut perlu mencerminkan diri mampukah dia membawa panji-panji perjuangan parti dalam suasana politik yang getir sekarang.

Atas semangat inilah, kita berasa sedikit lega apabila semakin ramai pemimpin-pemimpin kanan UMNO mengumumkan tidak akan bertanding dalam pemilihan kali ini. Ada antara mereka secara terus terang menyatakan mahu memberi laluan kepada muka baru memikul tanggungjawab bagi memperkasakan parti.

Inilah semangat yang diharapkan ada dalam kalangan pemimpin-pemimpin UMNO, bukannya semangat begitu ghairah hendak bertanding sehingga awal-awal lagi mewujudkan 'tagline' yang secara tersiratnya mahu memperlekehkan penyandang sedia ada.

Sebab itulah, dalam soal ini semua ahli-ahli UMNO di semua peringkat perlu membuat keputusan secara matang, berfikir dengan waras dan tidak dipengaruhi oleh sebarang sentimen apabila mahu memilih pemimpin. Pesanan Najib dan Dr. Mahathir serta pemimpin-pemimpin kanan lain dalam soal pemilihan kali ini jangan dipandang sepi. Cukup-cukuplah dulu ada dalam kalangan mereka yang mengingkari baiah ketika Perhimpunan Agung UMNO lalu.

Kali ini, UMNO benar-benar menuntut ketelusan dan keikhlasan ahli-ahlinya untuk memastikan pemilihan yang diadakan tidak membawa 'petaka' kepada parti. Janganlah lagi membuat perangai lama dengan begitu mudah terpengaruh dengan tawaran atau habuan apatah lagi fitnah kerana pemilihan kali ini teramat penting bagi mewujudkan 'barisan perang' bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pilihan raya umum itu adalah penentu kepada hidup mati UMNO dan BN. Apa yang berlaku dalam PRU-13 harus dijadikan pengajaran bagaimana ghairah pembangkang hendak meranapkan kekuasaan BN. Justeru kalaulah ahli-ahli UMNO masih lagi dengan perangai lama tidak mahu berubah sikap dan menganggap parti itu masih kuat, percayalah mereka mampu mengundang petaka kepada UMNO.

Oleh itu pesanan Najib, Muhyiddin dan Dr.Mahathir serta pemimpin-pemimpin kanan UMNO lain harus dihayati dengan sebaik-baiknya. Memang benar demokrasi memberi hak kepada ahli UMNO untuk memilih siapa yang mereka suka untuk menjadi pemimpin tetapi pilihlah pemimpin berkualiti dan bernilai tinggi untuk bersama-sama dalam kepimpinan parti.

Percayalah sama ada UMNO akan terus dihormati dan disegani bukanlah terletak di tangan rakyat menentukannya tetapi oleh ahli-ahli UMNO itu sendiri. Ia memandangkan rakyat khususnya orang Melayu sudah pandai menilai kredibiliti dan keupayaan seseorang pemimpin itu. Oleh itu jangan sia-sia perjalanan pemilihan kali ini, sama ada UMNO akan berdiri gagah atau tidak, terus berkuasa atau tidak segala-galanya terletak di tangan 150,000 ahlinya yang akan diberi hak membuat pilihan.

Sesungguhnya UMNO tetap menjadi harapan orang Melayu bagi membela nasib mereka dan terus mempertahankan martabat umat Islam di negara ini, justeru jangan kecewakan mereka.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /