Seperti yang telah diduga, pakatan
pembangkang sudah pasti tidak dapat menerima hakikat, apabila melihat Ketua Pemuda
Umno, Khairy Jamaluddin yang diangkat sebagai ‘hero mahasiswa’. Ia ekoran dari tindakan Pergerakan Pemuda Umno
yang dilihat berjaya mempertahankan kehendak rakyat agar kerajaan tidak
melaksanakan cadangan, untuk menyenarai hitamkan peminjam Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ingkar.
Ini kerana, pakatan pembangkang mungkin
merasakan isu tersebut sepatutnya menjadi modal mereka untuk terus menarik
sokongan rakyat dan di masa yang sama menyemai sentimen kebencian di kalangan
mahasiswa. Buktinya, apabila mereka terpaksa menghantar Pengarah Strategi,
Rafizi Ramli atau lebih dikenali sebagai ‘James
Bond Gemuk’ untuk membidas tindakan Khairy itu.
Walaupun Khairy merupakan ahli kabinet, namun
tindakannya yang begitu konsisten melalui Pergerakan Pemuda Umno dalam memperjuangkan
isu anak muda sedikit sebanyak telah mengurangkan persepsi yang dimainkan oleh
pembangkang.
Tindakan Pemuda Umno yang membantahkan
cadangan Kementerian Pendidikan itu akhirnya diterima, apabila kerajaan Barisan
Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib memutuskan untuk menolak cadangan
tersebut melalui mesyuarat jemaah menteri yang diadakan baru-baru ini.
‘James
Bond Gemuk’ ketika memberikan kenyataan membidas Khairy semalam, mengatakan
kononnya kerajaan tidak berhasrat membatalkan penggunaan Sistem Maklumat
Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjam PTPTN sebaliknya hanya
menangguhkan pendekatan tersebut. Sebenarnya dalam bahasa mudah, Rafizi
sebenarnya ingin menghidupkan kembali cadangan pakatan pembangkang berhubung
isu pendidikan percuma.
Persoalannya ialah, apakah ketika mesyuarat
jemaah menteri tersebut, Rafizi turut hadir bagi mendengar sendiri keputusan
yang dibuat oleh kerajaan? Atau dia hanya sekadar ingin membangkitkan isu
kerana marah dengan peranan yang dimainkan oleh Pemuda Umno.
Apa pun keputusannya ialah pengunaan CCRIS
tidak akan dilaksanakan. Walaupun dari satu segi, cadangan tersebut dianggap
tidak kena pada masanya, namun dari satu sudut ia adalah merupakan satu usaha
yang murni. Ini kerana cadangan tersebut bertujuan untuk membolehkan pinjaman
tersebut terus dapat disalurkan kepada mereka yang lain.
Ini kerana dengan tabung ini jugalah, ramai
anak-anak Melayu khususnya mereka di luar bandar yang datang dari keluarga miskin
dan susah dapat menyambung pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awan dan
Swasta (IPTA/S). Sekali gus membolehkan mereka meneruskan cita-cita dan harapan
keluarga untuk mendapatkan pekerjaan dan menjadi anak yang berguna.
Malah pendekatan ini juga mampu memberikan
galakan dan motivasi kepada golongan mahasiswa agar belajar dengan
bersungguh-sungguh agar mampu mendapat keputusan yang cemerlang. Ini kerana,
dengan keputusan tersebut semua pinjaman mereka akan bertukar menjadi biasiswa atau
dalam kata mudah, mereka secara tidak langsung telah pun mendapat pendidikan
percuma.
Atau mungkinkah isu ini sengaja dibangkitkan
bagi menutup kesilapan mereka yang gemar menganjurkan himpunan jalanan? Ini kerana
setiap kali program tersebut diadakan, mereka akan meminta mahasiswa untuk
turut menyertainya sehingga menyebabkan ada dikalangan mahasiswa gagal mendapat
keputusan yang cemerlang kerana diganggu dari mengulang kaji pelajaran.
Itu belum dicampur dengan ceramah politik
yang diadakan hampir saban malam, sehingga menyebabkan ada mahasiswa yang ‘terpesong’ sehingga mereka dibuang
dari pengajian.
Yang hairannya ialah, sekiranya benar pakatan
pembangkang ingin memperjuangkan pendidikan percuma, mengapa sehingga ke hari
ini semua cadangan tersebut tidak dilakukan di negeri-negeri yang dikuasai oleh
mereka seperti di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan?
Bukankah ia membuktikan pakatan pembangkang
hanya ingin membodohkan rakyat dengan pendekatan yang mereka sendiri tidak
mampu untuk laksanakan?
Hanya sekadar renungan. Fikir-fikirkanlah!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan