Oleh : Abdul Razak Idris
Setelah 56 tahun
merdeka dan 13 kali Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan, kita sering mendengar
rungutan dan kata-kata sinis terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang
dituduh mengabaikan golongan tertentu dalam masyarakat. Suara-suara merintih
tersebut kemudian dijelmakan di atas kertas undi. Maka BN yang pernah mempunyai
majoriti dua pertiga selama 11 kali PRU dinafikan majoriti tersebut pada PRU
ke-12 dan ke-13.
Namun, adakah ini petunjuk bahawa BN tidak
benar-benar berjasa sepanjang 56 tahun pemerintahan pemimpin-pemimpin parti
tersebut dalam Kabinet negara. Sebaik-baiknya, sebagai seorang manusia yang
pandai bersyukur perlu bertanyakan juga apa sumbangan anda kepada negara bukan
mempersoalkan sebaliknya.
Sebagai sebuah kerajaan, BN telah melakukan
yang terbaik untuk negara dan bekas pemimpin-pemimpin BN yang kini berada dalam
kem pembangkang sedar akan hakikat ini. Malangnya, pemimpin-pemimpin tersebut pula
menjadi pengkritik nombor wahid dasar-dasar yang pernah dirangka dan sedang
dalam proses pelaksanaan sejak tahun 1970-an sehingga ke hari ini.
Memang mudah dan ringkas untuk mencari
kesalahan seseorang pemimpin dengan hujah-hujah dangkal tanpa fakta yang kukuh
di dunia siber. Sedangkan setiap keputusan menyentuh kepentingan negara dibuat
dari peringkat jabatan, kementerian dan dibawa ke Kabinet.
Sebaik-baiknya, sebelum menuduh kerajaan kita
siasat dan kaji mengapa sesuatu dasar dilaksanakan sedemikian dan bukannya
membuka pekung seseorang pemimpin yang entahkan benar busuk atau tidak.
Mengapa rakyat Malaysia yang hidup mewah dan
senang mencari makan sepanjang 56 tahun berada di bumi bertuah ini menganggap
dengan menukar pentadbiran dan undang-undang negara secara drastik, akan
menjadikan hidup mereka lebih aman dan harmoni. Kenyataannya negara yang makmur
ini, kini sedang membayar harga sebuah tuntutan yang telah dipenuhi demi
memuaskan hati kumpulan-kumpulan tertentu.
Benarkah menghapuskan undang-undang seperti
Ordinan Darurat, Akta Mesin Cetak, Akta Hasutan 1948 dan Akta Keselamatan Dalam
Negeri 1960 menguntungkan semua pihak atau segelintir pihak sahaja. Kita perlu
memperhalusi tindakan menuntut perkara yang menjadi pemangkin kepada keamanan
negara selama lebih setengah abad.
Sempena sambutan bulan kemerdekaan ini,
jadilah warganegara yang bersyukur. Sekurang-kurangnya sumbangan anda,
mengibarkan bendera Jalur Gemilang di kereta mahupun di rumah sudah
cukup. Jangan pula menjadi seperti warganegara kita yang sanggup menterbalikkan
Jalur Gemilang dan membuat bendera negara yang baru demi menampilkan
protes atas ketidakpuasan hati atas sebab yang tidak dapat dipastikan.
Hayatilah tema sambutan kemerdekaan tahun ini
"Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku" dalam diri kita yang
juga sinonim dengan peribahasa 'Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung'.
Seharusnya rakyat Malaysia melupakan sejenak sengketa dan permusuhan akibat
sikap tamak dan haloba dalam mencari kehidupan lebih bermakna. Tidak rugi kita
melupakan sejenak perbezaan politik dalam menyambut hari kebangsaan yang
disambut setahun sekali.
Sekali-sekala, lihatlah serata global adakah
kita boleh bertemu negara yang seunik Malaysia. Di negara ini pelbagai bangsa
daripada Melayu, Cina, India, orang asal, etnik dari Sabah dan Sarawak
berkongsi budaya dan hidup bersatu di bawah bumbung rumah bernama Malaysia. Adakah
selama ini kita berlaku adil kepada negara kita dengan menyumbangkan jiwa dan
raga sebagaimana wira negara yang berjuang menentang pengganas komunis dan
penceroboh di Lahad Datu, Sabah.
Hakikatnya, wira-wira negara yang gugur
syahid di medan tempur tidak akan kembali semula ke pangkuan keluarga mereka,
dan mereka meninggalkan legasi jasa yang tidak dapat kita menandinginya. Sekurang-kurangnya
kita menyumbangkan doa dan sedekahkan bacaan surah Al-fatihah dan Yasin kepada
wira-wira beragama Islam yang gugur mempertahankan keamanan dan kemerdekaan
yang kita kecapi selama 56 tahun.
Justeru, untuk satu hari, mari kita raikan 31
Ogos 2013 dengan rasa cinta akan keamanan dan menghargai jasa pemimpin negara
memulihara pentadbiran di landasan terbaik ke destinasi negara maju. Memang
berlaku kejadian yang tidak diingini di sana sini namun kita jangan melupakan
suasana aman yang kita kecapi lebih 55 tahun. Hanya dengan perpaduan antara
rakyat segala ketidaktentuan yang sedang melanda mampu diatasi oleh pihak
berkuasa.
Janganlah membisu dan membutakan mata atas
segala usaha dan jasa pemimpin negara selama ini. Ini akan menyebabkan
anasir-anasir subversif dan penjenayah akan terus bermaharajalela di negara
kita yang aman ini. Sekurang-kurangnya negara kita tidak huru-hara seperti
Mesir dan Syria yang berada dalam ketidaktentuan akibat tiada lagi perpaduan
dalam masyarakat.
Sepatutnya perbezaan budaya di antara kita
menjadi warna-warni dalam kehidupan dalam masyarakat bukannya dijadikan sebab
untuk berebut kuasa, yang mana sudahnya yang kalah jadi abu dan yang menang
jadi arang yang hitam sifatnya. Kibarkan panji merah, putih, biru dan kuning di
mana sahaja. Sumbangan kecil yang besar maknanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan