23 Ogos 2013

Semangat Merdeka Bermusim




Ogos - September, negara meraikan 'Musim Patriotisme' sempena 'Hari Kemerdekaan' pada 31 Ogos dan 'Hari Malaysia' pada 16 September. Tahun ini sewajarnyalah Hari Kemerdekaan ke-56 bertemakan 'Malaysia Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' setelah negara dikejutkan dengan pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013. Sebanyak 10 wira Pasukan Keselamatan terkorban angkara kedurjanaan Pengganas Kiram.

Mungkin terdapat rakyat, terutama golongan pasca 2 Disember 1989, tidak terlintas di dalam pemikiran mereka bagaimana insiden ini boleh berlaku. Mana mungkin warga negara asing menuntut hak terhadap sebahagian negara Malaysia tercinta ini! Apakah signifikannya 2 Disember 1989? Sudah pasti tarikh tersebut begitu bermakna kepada warga Pasukan Keselamatan.


Pada hari itu, ternoktahlah era insurgensi apabila Parti Komunis Malaya (PKM) menandatangani 'Perjanjian Perdamaian' dengan negara Malaysia dan Thailand di Hatyaai. Dengan itu, perjuangan PKM untuk menjadikan Malaysia sebagai 'Democratic Republic of Malaya' semenjak penubuhan parti itu akhirnya berkubur.

Ancaman pengganas komunis berjaya ditangani kerana kegigihan Pasukan Keselamatan melancar dan terus melancar operasi-operasi memburu dan memusnah petualang negara. Tidak terkecuali, PKM gagal mempengaruhi rakyat jelata menerima ideologi komunisme kerana semangat patriotisme rakyat berkobar-kobar menentang hasrat mereka menjadikan negara ini sebuah negara komunis.

Saya bersyukur dan berbangga kerana, sebagai seorang juruterbang helikopter Nuri, turut terlibat secara langsung dalam operasi menentang pengganas komunis di Semenanjung Malaysia. Mungkin ramai yang telah lupa atau tidak mengetahui bahawa Nuri adalah salah satu sasaran utama pengganas komunis kerana ia adalah 'talian hayat' kepada warga Pasukan Keselamatan. Ketika beroperasi di kawasan operasi Gubir dan Kroh (Pangkalan Hulu), Nuri sentiasa menjadi sasaran mereka.

Kami diburu, bukannya pemburu. Nuri ditembak sudah menjadi satu kebiasaan ketika melaku tugasan di kawasan operasi. Kemuncak kejayaan mereka ialah apabila sebuah Nuri berjaya ditembak jatuh di kawasan operasi Gubir pada 26 April 1976. Seramai 11 wira negara terkorban.

Namun demikian, semangat kami tidak pernah luntur. Malah insiden tersebut telah membakar semangat kami bagi membantu kemusnahan mereka. Di waktu itu, mengambil jenazah para wira yang terkorban dan mereka yang tercedera dalam hutan belantara sudah menjadi rutin. Yang cedera diterbang ke hospital tidak kira waktu: siang baik pun malam.

Itu dulu. Keadaan sudah berubah. Kini rakyat hidup dalam keadaan aman, alpa bagaimana mereka boleh menikmati kehidupan sebegini. Tanpa memahami liku-liku yang pernah dilalui oleh mereka yang terdahulu, saya perhatikan terdapat segelintir rakyat yang semangat kecintaan terhadap negara agak terhakis. Pandangan ini berasaskan apabila ada yang sanggup memperlekehkan Jalur Gemilang.

Menghormati bendera negara adalah barometer paling asas mengukur kesetiaan seseorang rakyat terhadap negaranya. Sebagai seorang warga emas, tidak pernah terlintas di pemikiran saya perlakuan terkutuk ini sanggup dilakukan oleh seseorang rakyat terhadap bendera ...lambang kedaulatan negara.

Di manakah kesetiaannya? Di mana silapnya? Mengapa ketiadaan penghayatan terhadap sejarah negara walaupun subjek ini diajar di peringkat sekolah lagi? Pada pandangan saya, pembelajaran sejarah melalui buku teks sahaja tidak mencukupi. Penerimaan dan pemahaman mungkin sedikit-sebanyak akan lebih berkesan sekiranya diselit dengan 'perencah'. Yang dimaksudkan ialah melibatkan para wira yang terlibat dalam operasi-operasi di era insurgensi di suatu ketika dulu.

Bayangkan kesannya ke atas pendengar apabila pengesah datang dengan tongkat putih kerana kedua mata buta, bertopang ketiak, berkerusi roda dan lain-lain kecacatan anggota badan akibat operasi menentang pengganas komunis. Negara bernasib baik kerana ramai para wira masih hidup. Saya percaya ramai di antara mereka yang sedia menceritakan pengalaman mereka jika diberi peluang dan platform yang sesuai. Peluang ini sepatutnya tidak disia-siakan begitu sahaja.

Malang sekali jika kisah-kisah yang tidak terdapat dalam buku teks sejarah akan berkubur dengan jasad apabila tiba masanya nanti yang setiap detik menghampiri destinasi terakhir, wallahualam. Proses memupuk semangat kecintaan terhadap negara sepatutnya tidak bermusim seperti yang dipraktikkan dewasa kini. Berlalunya musim ini.... sepi-sesepinya sehingga tahun berikutnya!

Saya harap kerajaan mengundang para veteran sebagai pengesah dalam program menyemarakkan semangat patriotisme oleh agensi-agensi berkaitan, seperti INTAN, BTN, IPT, IPG. Program ini pula seharusnya dilaksanakan berterusan tanpa menunggu musim. Sebagai contoh, para siswa-siswi diasak' dengan kisah-kisah keperwiraan oleh tuan empunya diri, bukannya melalui pihak ketiga, semasa program induksi, wallahualam.

Saya berbangga bergelar Rakyat Malaysia...TANAH TUMPAHNYA DARAHKU. MERDEKA...MERDEKA...MERDEKA

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /