Akhbar Nanyang Siangpau bertarikh 20 Ogos 2013 melalui
ruangan Pendapat YuanLun memaparkan artikel tulisan editorial akhbar tersebut
berkenaan isu surau di sebuah resort di Sedili, Kota Tinggi, Johor. Baru-baru
ini, surau di sebuah resort di Sedili telah disalahguna oleh sebilangan
penganut Buddha untuk beramal menyebabkan berlaku kekecohan di Johor dan
menjadi tumpuan media pelbagai bahasa di seluruh negara.
Resort ini dimiliki oleh seorang warganegara Singapura
yang telah ditahan pihak polis selepas pendedahan tersebut tetapi kemudian
dibebaskan atas ikat jamin. Kerana isu ini, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia
(Perkasa) telah tampil membuat bantahan atas rasa tidak puas hati dengan apa
yang berlaku.
Pada 10 Ogos lalu, sebuah laman web telah memaparkan
satu rakaman gambar sekumpulan orang Cina beragama Buddha melakukan upacara
amal di dalam sebuah surau. Mengikut apa yang didedahkan, nelayan tempatan yang
lalu di kawasan itu terdengar suara kumpulan penganut Buddha itu beramal dan
selepas itu berlaku pertengkaran antara mereka dengan orang Cina Singapura di
situ.
Penduduk kawasan tersebut kemudian membuat laporan
polis dan seterusnya membawa kepada tangkapan pengusaha resort berkenaan untuk
siasatan kerana mengizinkan penganut Buddha menggunakan surau berkenaan.
Selepas itu, Jabatan Agama Islam Negeri Johor mendedahkan timbul isu lain pula
apabila kiblat surau itu juga tidak tepat dan tidak mengikut peraturan
pembinaan surau seperti yang ditetapkan.
Selepas Sultan Johor mendengar laporan itu, baginda
mengarahkan jabatan agama tersebut memastikan semua surau di tempat pelancongan
perlu mempunyai panduan arah kiblat yang betul agar tidak timbul lagi sebarang
pertikaian. Ini juga boleh memberi kefahaman kepada umum tentang isu surau
disalahgunakan itu kerana ia menjadi isu sensitif keagamaan yang perlu diambil
perhatian semua pihak.
Di sebuah negara yang mengamalkan pelbagai agama dan
mempunyai banyak bangsa berbeza, semua kaum perlu mempunyai fahaman yang
mencukupi dan lebih rasa peka serta sensitif terhadap isu-isu sedemikian,
terutama sekali yang melibatkan agama Islam dan agama lain. Semua kaum perlu
lebih berwaspada dan lebih berhati-hati dalam pergaulan, terutama sekali yang
melibatkan agama dan pantang larang kebudayaan yang perlu diambil berat supaya
tiada salah faham yang boleh menyebabkan perbalahan.
Pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
juga perlu tingkatkan pemahaman tentang pantang larang budaya dan agama kepada
semua kaum agar masing-masing saling memahami. Kementerian Pelajaran pula perlu
berikan pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga menengah berkaitan
tradisi, keagamaan dan kebudayaan serta pantang larang setiap kaum demi
mengeratkan lagi perhubungan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama.
Kita hidup di sebuah negara yang mempunyai pelbagai
budaya dan anutan, kita perlu bertanggungjawab untuk tanamkan ilmu mengenai
semua budaya dan agama ini kepada anak-anak sejak usia kecil lagi. Hanya dengan
cara itu sahaja, anak-anak dapat memahami budaya dan agama lain dengan
sendirinya apabila dewasa kelak.
Sebenarnya bab ini memang amat penting. Kami berharap,
melalui kegigihan dan tindakan agresif kerajaan dengan sokongan serta kerjasama
NGO-NGO dapat tingkatkan pemahaman serta rasa hormat-menghormati di antara
kaum. Sebenarnya, inilah caranya ke arah meningkatkan perpaduan di antara satu
sama lain. Melalui pemahaman dan saling hormat menghormati, pasti isu sensitif
seperti apa yang berlaku di surau resort tersebut tidak akan berlaku lagi dan
dapat dielakkan kelak.
Kenapa kebajikan masih bergantung kepada rakyat?
AKHBAR China Press bertarikh 14 Ogos 2013 pula
memaparkan artikel berkenaan fungsi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tulisan
Wen Boon melalui ruangan Kedai Kopi Orang Ramai. Seorang tauke kerja-kerja
pengimpalan menghidapi penyakit barah, tidak dapat menanggung kos perubatan
yang begitu mahal sehinggakan bayaran pinjaman rumahnya tertangguh selama empat
bulan.
Anak perempuannya yang berusia 3 tahun juga terputus
duit untuk membeli susu sehingga memerlukan bantuan kewangan daripada
masyarakat. Kita sering membaca cerita-cerita begini dalam suratkhabar, adakah
kita terasa hiba? Kita masih bernasib
baik tidak ditimpa masalah seperti ini dan hanya mampu menyuarakan rasa simpati
kepada nasib malang yang menimpa keluarga mereka yang terlibat dengan kesusahan
ini.
Apabila rakyat memerlukan, langkah pertama biasanya
meminta tolong kepada orang ramai, bukannya meminta tolong ataupun terus
dibantu oleh JKM. Adakah kita pernah terfikir selama ini seperti apa yang
penulis fikirkan, untuk menyara hidup rakyat di negara ini terasa amat pahit
dan duka? Jika kerja-kerja kebajikan yang ada asyik ditanggung sendiri oleh
rakyat, buat apa kerajaan wujudkan Jabatan Kebajikan?
Jika kerajaan tidak menjaga rakyat miskin, biarkan
sahaja rakyat miskin hidup merana dan yang sekiranya jadi menteri pula tidak pun
memandang kesusahan hidup rakyat, bukankah ini bagaikan penyakit kepada negara?
Bantuan asyik tidak kunjung tiba. Apabila pemimpin-pemimpin marah rakyat tidak
tahu berterima kasih, fikirkan semula adakah pemimpin benar-benar mahu menolong
orang yang mengalami musibah dalam masyarakat ini?
Seorang rakan, kerana anaknya menghidapi penyakit
sejak lahir dan perlukan bantuan serta derma daripada orang ramai untuk kos
perubatan mengharapkan pihak akhbar dan pembaca menghulurkan bantuan kepada
mereka. Bagaimanapun, kos rawatan dan ubat-ubatan susulan juga amat diperlukan.
Ada segelintir pemimpin yang hanya tahu datang
mengunjungi pesakit, berjanji mahu hulurkan bantuan tetapi selepas berita itu
dipaparkan di akhbar, sehari ke sehari, bulan ke bulan pun berlalu, pertolongan
dan bantuan yang dijanjikan tidak juga kunjung tiba.
Jabatan yang diharapkan untuk membantu rakyat
memberitahu, pihaknya hanya menanggung kos rawatan dan perubatan untuk dalam
negeri sahaja, sedangkan anak rakan itu pula perlu menerima rawatan pertukaran
saraf di luar negara disebabkan tiada tempat untuk rawatan itu di dalam negara.
Kenapa pihak jabatan kebajikan mewujudkan terlalu
banyak sekatan dan peraturan, menghalang rakyat yang memerlukan pertolongan? Permohonan
mereka sering ditolak kerana dikatakan tidak memenuhi syarat-syarat, selepas
itu mereka cuba sedaya upaya perbaiki syarat-syarat itu, tetapi permohonan
mereka tetap ditolak. Kenapa jabatan kebajikan tidak membantu memudahkan mereka
untuk melepasi syarat-syarat yang dikenakan itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan