21 Ogos 2013

Ulama Sunni Syok Sendiri?




Sejak Ramadan lepas, kisah Syiah di Malaysia menjadi sensasi. Walaupun khabar kewujudan Syiah di Malaysia sudah lama berlegar di ruang awam dan alam maya sejak beberapa tahun lalu, isu Syiah kembali mendapat perhatian arus perdana. Ini apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir memutuskan untuk mengharamkan Syiah di Kedah.

Hampir setiap hari, isu Syiah mengisi dada akhbar. Malah, banyak forum diadakan, cuba memberi penerangan kepada orang awam tentang kesan ajaran Syiah kepada masyarakat Malaysia yang rata-ratanya berpegang kepada ajaran Ahlul Sunnah Wal Jamaah(ASWJ).


Namun begitu, apa yang gagal disedari oleh banyak pihak, jelas daripada khabar yang diberikan sama ada melalui media arus perdana, ceramah, mahupun laman sosial, hampir semuanya diceritakan oleh pihak luar daripada ajaran Syiah, iaitu ulama Ahlul Sunnah sendiri. Sudah tiba masanya untuk kita mengarus perdanakan isu ini supaya penyebaran Syiah akan terus terhenti di Malaysia.

Bantahan oleh seorang ahli politik yang membantah usaha mengarus perdanakan isu ini ternyata tidak faham atau sengaja mengambil ringan akan isu ini. Ini berbeza dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bersikap tegas dan berani mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia salah di sisi undang-undang dan adalah sebuah pertubuhan haram.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Masterplan Consulting Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Faris Abdul Halim, satu usaha besar yang boleh dilakukan ialah dialog terbuka antara ulama Ahlul Sunnah dengan wakil Syiah di Malaysia.

"Walaupun sudah dilakukan oleh beberapa pihak secara kecil-kecilan, kali ini elok rasanya diadakan dialog secara terbuka melalui media arus perdana. Dialog ini dicadangkan disiar secara langsung melalui stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3, Astro, radio, dan kemudiannya teks dialog tersebut dibukukan dan diedarkan dengan usaha sama pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," kata beliau kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Satu kesan besar daripada usaha ini, kata Ahmad Faris, ialah masyarakat Malaysia dapat mendengar sendiri daripada mulut penganut Syiah. Kemudian, mereka boleh menilai sendiri betapa menyimpangnya Syiah daripada ajaran sebenar ASWJ.

Kata beliau: "Di samping itu, satu perkara yang perlu diambil perhatian, golongan yang banyak terpengaruh dengan ajaran Syiah ini terdiri daripada orang muda. Satu hakikat yang tidak dapat disembunyikan, generasi muda zaman sekarang lebih dikenali sebagai Generasi Y tidak suka hanya disogok dengan maklumat.

"Cara yang paling sesuai untuk mendepani generasi Y ini ialah memberikan hujah daripada kedua-dua belah pihak. Menggunakan medium yang disenangi anak muda, dengan izin Allah, pintu hati mereka akan terbuka untuk menerima kebenaran."

Malah, dalam satu rancangan wawancara Ancaman Syiah di siaran RTM, beberapa minggu lalu, Dr. Asri Zainal Abidin ada menyatakan kesediaan untuk berdialog secara terbuka dengan penganut Syiah di Malaysia.

"Sekarang kita sudah ada ulama yang berani, kalau mahu dibandingkan dengan ramainya di luar sana yang hanya syok sendiri menghentam Syiah di pentas ceramah.

"Lebih jelas lagi betapa syok sendirinya ustaz di Malaysia ini, sumber-sumber yang digunakan hanyalah sekitar sumber dengar-dengar cakap orang. Jarang sekali kedengaran ceramah oleh para ustaz yang mengambil terus daripada kitab Syiah sendiri. Kalau sekadar ada dengar cakap orang, ustaz seperti ini layaknya ditempatkan di kedai kopi untuk sembang kosong sahaja," katanya.

Kata Ahmad Faris lagi: "Golongan agama seperti inilah yang akan membuatkan generasi muda melarikan diri daripada wawancara Syiah dan akhirnya terpengaruh dengan ajaran ajaran ini.

"Sumber-sumber rapuh oleh penyampai akhirnya menggambarkan seolah-olah ASWJ sudah ketandusan hujah untuk menangkis hujah daripada golongan Syiah. Ayuh jadi pemberani. Kita bentangkan hujah dengan kemas dan teratur berdasarkan al-Quran dan Hadis sahih."

Kata beliau, antara persoalan yang pernah timbul daripada isu Syiah yang kurang memuaskan hati anak muda atau dikenali sebagai Generasi Y ini ialah perihal al-Quran yang diubah suai oleh penganut Syiah.

Kemudian, kata Ahmad Faris, hal yang hangat lagi ialah perbuatan sujud di atas tanah. Pelbagai hujah telah diberikan oleh pihak Syiah.

"Malangnya, ustaz-ustaz kita banyaknya hanya bermain dengan spekulasi yang tidak berpijak kepada hujah ilmu yang sebenar. Perbuatan sambil lewa ustaz dan ulama di Malaysia ini yang menjadi faktor Generasi Y mudah menerima ajaran Syiah kerana pada hemat mereka, hujah orang Syiah itu lebih berisi daripada cakap kosong orang kita.

"Penyebaran yang semakin berleluasa menjadi bukti ulama kita ramainya hanya syok sendiri," katanya.

Seperti yang sering diuar-uarkan, Syiah itu sendiri terdiri daripada pelbagai aliran. Antaranya, Syiah Immamiyah, Syiah Zaidiyah, dan Syiah Ismailiyah. Persoalannya sekarang, tidak dapat dipastikan aliran Syiah yang mana yang berkembang mekar dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Melalui dialog secara terbuka, barangkali negara dapat mengenal pasti aliran utama yang wujud di tanah air. Ini sangat penting kerana ada aliran Syiah yang terlalu melampau dan ajaran yang berlebih-lebihan seperti ini tidak wajar dibiarkan merebak ke dalam masyarakat harmoni di tanah air ini.

"Mereka yang melampaui batas inilah yang akan mengganggu-gugat keamanan, keharmonian dan kestabilan negara. Tuntasnya, melalui dialog terbuka, kita dapat memahami dengan lebih jelas situasi penyebaran Syiah di Malaysia sekarang.

"Bukankah orang Melayu sendiri mempunyai ramai graduan daripada universiti pengajian Islam ternama seperti Al-Azhar dan Universiti Madinah? Apa gunanya ramai graduan dari sana namun bila tiba masanya untuk mempertahankan Ahlul Sunnah wal Jamaah, masing-masing hanya selesa berceramah satu hala dan tidak berani berdepan dengan golongan Syiah secara bersemuka. Inilah yang dimaksudkan sebagai syok sendiri," katanya.

Ustaz dan ulama banyaknya yang terdiri daripada generasi sebelumnya. Mereka sudah terbiasa dengan jenis penyampaian satu hala. Semangat anak muda zaman sekarang yang mahukan perbincangan secara interaktif membuatkan kebanyakan mereka melihat ustaz dan ulama generasi lama kaku dan kurang relevan pada zaman sekarang.

Kata Ahmad Faris: "Antara contoh yang dapat dipetik di sini ialah Ustaz Fathul Bari, Dr Asri Zainal Abidin, dan Ustaz Azhar Idrus.

"Tiga nama ini merupakan nama ulama yang berpengaruh dalam kalangan anak muda. Kalau diperhatikan, ceramah mereka biasanya diisi dengan sesi soal jawab. Sesi yang tidak kaku seperti inilah yang digemari oleh generasi muda."

Terdapat beberapa nama yang telah dikenal pasti sebagai penganut Syiah, cenderung kepada Syiah, atau paling tidak, simpati kepada nasib komuniti Syiah dalam kalangan ahli politik mahupun ahli akademik.

Beberapa nama yang agak pernah disebut dalam perbincangan isu Syiah ialah Ustaz Abdullah Hassan, Ustaz Muhd Kamil Zuhairi Abdul Aziz, dan Prof. Dr. Lutfi Ibrahim.

Oleh hal yang demikian, tidak ada banyak halangan untuk mencari pembahas untuk mewakili komuniti Syiah Malaysia sekiranya dialog terbuka diadakan. Mari, kita realisasikan dialog ini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /