Presiden Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi mengesahkan
hasratnya untuk bertanding jawatan Exco Pergerakan Pemuda Umno pada pemilihan
parti Oktober depan. Zed Zaidi, 33, atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul
Jamil yang juga Timbalan Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian pergerakan itu
berkata, dia mengambil keputusan tersebut setelah mendapat sokongan padu
daripada ahli pergerakan itu seluruh negara.
"Pada asalnya saya hanya bertanya pendapat sahaja
namun apabila melihat maklum balas yang menggalakkan terutamanya daripada
pemuda-pemuda daripada setiap negeri, saya teruskan hasrat tersebut
(bertanding).
"Sekarang saya dalam proses kempen dan
perkenalkan diri. Saya sudah pergi beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan dan
Kedah untuk berjumpa dengan pemuda-pemuda di sana," katanya.
.
Dalam pada itu, Zed berkata, matlamat utama untuk dia
bertanding jawatan tersebut adalah bagi menjadi wakil daripada golongan seni
untuk memberi pendapat selain menjadi orang tengah kepada pucuk pimpinan.
"Saya merupakan artis pertama yang bertanding
dalam pemilihan ini. Bagi saya ia dapat memberi peluang kepada pihak parti
untuk mengetahui suara sebenar dan masalah dalam industri yang orang luar
industri tidak tahu.
"Selain itu, saya mahu Umno memberi peluang
kepada golongan muda dan artis untuk sama-sama dalam memperjuangkan parti. Kita
ada di kalangan artis yang beralih dengan menyokong pihak pembangkang kerana
mereka diberi peluang untuk bersuara dalam parti pembangkang tersebut,"
katanya.
Jelas Zed, dengan adanya laluan tersebut dia berharap
dapat mengubah landskap industri seni ke arah yang lebih baik dan terbela.
Sementara itu, Zed berkata, jawatan dan
tanggungjawabnya dalam Seniman tidak akan terjejas jika dia terpilih memegang
jawatan dalam Pemuda Umno.
"Tiada apa-apa masalah dengan persatuan jika saya
menang dalam pemilihan ini. Saya masih tetap utamakan matlamat persatuan dan
kebajikan ahli-ahli," katanya.
Jelas Zed, dengan format baharu pencalonan yang
terbuka kepada semua ahli Umno, ia memberi peluang kepadanya untuk turut sama mencuba
nasib dalam pemilihan kali ini.
"Kalau dulu memang susah kerana banyak peringkat
dan pemilihan, dengan format baru ini siapa-siapa yang layak boleh hantar
borang pencalonan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan