PRU-13 telah selesai. Perasaan hiba merasuk
fikiran orang Melayu. Banyak orang menyangka selepas PRU-12 yang menghanyutkan
Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Perak dan Selangor kepada pembangkang dan
kehilangan suara dua-pertiga di Parlimen tentulah Melayu insaf dan kembali
bertaut menyokong UMNO.
Mereka sokong, tapi nampaknya sokongan
membawa rebah lagi. DAP masih berkokok di Pulau Pinang, PKR masih menguasai
Selangor dan Kelantan tetap di bawah bulan purnama. Yang mengejutkan sekali
Terengganu, negeri penyu menangis, hampir membawa tangisan kepada UMNO yang
hanya menang dengan kelebihan satu suara sahaja dalam DUN!
Inilah tuah dan sial yang membelenggu orang
Melayu selepas PRU-13. Jangan salahkan angka 13 yang kononnya membawa sial.
Orang Melayu yang salah. Melayu berpecah. Jong pecah yu kenyang. Melayu seperti
Pak Kadok menang sorak tapi kampung halaman tergadai. Sebenarnya Melayu kena
insaf. Perlu muhasabah dan kembali pada ajaran agama untuk membina kekuatan
baharu.
Kalau Melayu terus berpecah seperti sekarang
jangan salah ibu mengandung kalau PRU-14 Melayu akan hilang kuasa politik, dan
hilang segala-galanya. Bayangkan Melayu dan Bumiputra yang merupakan golongan
majoriti di bumi bertuah ini tiba-tiba menjadi pengemis di bumi sendiri akibat
perpecahan di kalangan bangsa sendiri!
Inilah masanya bagi seluruh umat Melayu
bersatu. Benam segala perselisihan di masa lampau. Ia sudah menjadi debu
sejarah, dan tidak perlu menjadi penghalang bagi para pemimpin kita kembali
bertaut dalam kehangatan ukhuwah Islamiah. Kita bukan maksum. Kita bukan Nabi.
Tapi Melayu boleh kembali bersatu dalam ikatan ukuwah yang kental kalau para
pemimpin kita, dan kita sendiri, sanggup buang yang keruh, ambil yang jernih.
Banyak pemimpin yang berjasa di masa lalu
yang terpinggir oleh waktu. Kita minta mereka tampil ke muka, kembali bersemuka
dan mencari jalan terbaik untuk menyatukan berbagai golongan yang bersengketa
sekarang. Kenanglah jasa dan pengorbanan mereka di masa lalu. Kita minta buah
fikiran mereka. Kita buka ruang untuk mereka kembali bersatu untuk memperjuangkan
hak kita, agama kita dan negara kita.
Marilah kita jemput tokoh-tokoh veteran
Melayu yang berjasa di masa lalu untuk sama-sama merancang memperkasai
perjuangan kita. Kita jemput Tun Dr. Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun
Daim, Pak Aziz Shamsuddin, Pak Sanusi Joned, Pak Harris Salleh dari Sabah, atau
pun dari Pas: Ustaz Harun Din, Ustaz Hadi Awang, Ustaz Nasaruddin Mat Isa,
Ustaz Ismail Mina, Dr. Hasan Ali dan lain-lain untuk menyumbangkan buah fikiran
bagi memperkukuhkan perpaduan Melayu.
Kita tidak berniat hendak menjatuhkan
sesiapa. Kita tidak ada agenda peribadi. Kita bukan Si Kitol dan Raja
Mandaliar. Nawaitu kita ialah untuk membenamkan perselisihan, mencari jalan
terbaik dan bijaksana untuk perpaduan Melayu.
Kita yakin kalau Melayu bersatu padu biar
datang rebut dan taufan, guruh dan halilintar membelah bumi Melayu akan tetap
cekal dan berani menentang siapa saja yang cuba menggugat perpaduan mereka. Allah
tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kalau kaum itu sendiri mengubahnya.
Jelas nasib bangsa Melayu terletak pada bangsa kita sendiri.
Kita yang membina sejarah gemilang atau kita
juga yang menghancurkan masa depan anak cucu kita. Pilihan terletak pada tangan
kita bersama. Pastikan jong belayar deras, yu biar terliur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan