21 Ogos 2013

Kerajaan Perlu Lebih Tegas Tangani Isu Dalam Negara




Kerajaan sekarang yang sudah memasuki tempoh 100 hari memegang tampuk pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada Mei lalu kini menghadapi tiga masalah besar iaitu, kerenggangan hubungan kaum, peningkatan jenayah berat dan kelesuan usaha membanteras rasuah.

Apakah keadaan ini berlaku kerana mereka yang terbabit dengan perlakuan itu melihat pentadbiran sekarang tidak bermaya untuk bertindak? Apakah ini juga punca puak tertentu semakin berani mempersoalkan kedudukan dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan?


Semua ini timbul gara-gara tindakan sebilangan pentadbir yang melaksanakan dasar berkaitan tanpa berhemah dan berfikir panjang. Akibatnya, kalangan bukan Melayu resah dan melihat keistimewaan orang Melayu mengetepikan hak mereka.

Sebenarnya keistimewaan orang Melayu itu tidak bermakna kaum lain perlu ditindas. Hak mereka sebagai warga negara ini perlu dipelihara supaya tidak timbul persepsi bahawa kerajaan tidak adil.


Tindakan melulu
Apa yang berlaku ialah ada sebilangan pentadbir yang dikatakan bertindak melulu kononnya mahu memastikan hak orang Melayu tidak tergugat tetapi pada masa sama tidak mengetepikan hak bukan Melayu.

Kita lihat bagaimana pemilihan untuk memasuki universiti awam dan pemberian biasiswa menunjukkan tidak berhemahnya penjawat awam terbabit ketika membuat pilihan.

Mereka melihat setiap permohonan itu sebagai angka sahaja, bukannya manusia yang mempunyai perasaan yang sepatutnya diberikan pertimbangan secara lebih berakal.

Ini juga antara beberapa sebab kenapa cerdik pandai kita enggan kembali menyumbang bakti kepada pembangunan negara sendiri. Keadaan ini yang dieksploitasikan Singapura untuk menggoda mereka berkenaan berkhidmat di republik itu.

Walhal kerajaan sendiri sudah menubuhkan Talent Corp pada 2011 lagi untuk menarik golongan profesional dan cerdik pandai Malaysia yang banyak berkhidmat di luar negara kembali menabur bakti di negara sendiri.

Dalam tempoh hampir tiga tahun itu sudah berapa ramaikah golongan profesional dan cerdik pandai kita di luar negara berjaya ditarik kembali?
Usaha itu sepatutnya bermula dari dalam negara lagi, bukannya cuba memikat selepas mereka selesa dengan kehidupan di luar negara.

Malah kalangan mereka ini juga terdiri daripada cerdik pandai dan golongan profesional Melayu sendiri. Apa yang perlu dilakukan ialah kita harus mendalami sebab musabab mengapa mereka sanggup meninggalkan sanak saudara untuk bekerja di luar negara. Tanpa mengetahui sebab sebenar mereka berhijrah tentu menyebabkan sasaran menyimpang.


Pemansuhan akta punca jenayah

Demikian juga dengan keadaan perlakuan jenayah berat yang semakin menjadi-jadi. Ada yang menyalahkan pemansuhan beberapa akta pencegahan yang membolehkan mereka disyaki sebagai penjenayah sebelum ini ditahan atau dibuang daerah.

Kini semua tahanan berkenaan sudah pun dibebaskan dan mereka ini yang diandaikan terbabit dengan perlakuan jenayah berat yang menjadi-jadi sekarang.
Sebagai mana kolum ini pernah menyatakan, peruntukan untuk Jabatan Siasatan Jenayah amat kurang sehinggakan polis menjadi lesu dan tidak bermaya lagi untuk membanteras jenayah.

Perkara ini sepatutnya sudah ditangani supaya jenayah dapat dibendung dan negara tidak terpalit dengan jolokan ‘negara jenayah’.


Usaha banteras rasuah tak berkesan

Demikian pula dengan perlakuan rasuah yang mahu dibanteras tetapi usaha selama ini tidak kelihatan berkesan untuk mengurangkan apa lagi menghapuskannya.
Kolum ini juga pernah memaparkan perlakuan tidak bertanggung jawab penjawat awam yang memberi ruang kepada perlakuan rasuah tetapi tidak diambil kisah langsung sama ada kementerian, jabatan atau Jabatan Perkhidmatan Awam.

Tindakan terhadap penjawat awam yang jelas bergelumang dengan rasuah tidak harus sekadar penukaran tempat kerja seperti dalam kes membabitkan Jabatan Imigresen Batu Pahat yang didedahkan akhbar ini beberapa tahun lalu.

Penjawat awam terbabit seharusnya dikenakan tindakan seperti dibuang kerja tanpa pencen. Tindakan sedemikian sahaja yang akan membuat mereka faham dan memberi pengajaran kepada penjawat awam lain supaya tidak lagi terjebak dalam perlakuan tidak bermaruah ini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /