20 Ogos 2013

Penyakit Anwar Berulang Kembali




Awang hanya senyum dengan dakwaan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa beliau ditawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh kerajaan pimpinan Mohd. Najib Tun Razak.

Tawaran itu kononnya sebagai sebahagian daripada inisiatif kerjasama antara UMNO dan PKR atas nama perpaduan.


Sebelum pun pejabat Perdana Menteri menafikan dakwaan itu kelmarin, ramai yang mencebik bibir tidak percayakan dakwaan Anwar.

Ini termasuk parti pembangkang seperti Pas dan DAP yang nampaknya tidak teruja kerana menganggap ia sekadar provokasi Anwar. Rupa-rupanya apa yang berlaku, menurut pendedahan beberapa blog, Anwar yang sebenarnya membuat tawaran tetapi apabila ia ditolak oleh Najib, beliau ubah cerita ikut belakang pula.

Awang lebih melihat ia sebagai ‘penyakit’ Anwar selepas pilihan raya umum (PRU). Kalau selepas PRU-12, beliau bersandiwara dalam peristiwa 16 September yang tidak mungkin dilupakan.

Beliau mendakwa lebih 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan keluar parti bagi membolehkan pembangkang memerintah.

Nama Yang di-Pertuan Agong juga diheret, kononnya telah memberi perkenan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersetuju memberi sokongan. Semuanya itu didapati tidak benar.

Kali ini, selepas PRU-13, ada lagi episod menjual mimpi, cuma ceritanya berbeza. Anwar masih tetap Anwar dan tidak pernah berubah.

Berapa banyak lagi sandiwara beliau selepas ini, yang pada Awang, penyakit itu tidak mungkin dapat dirawat lagi.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /