20 Ogos 2013

Nasihat Tun Mahathir Kepada Ahli Umno Agar Berubah


Pasti ramai yang telah membaca kenyataan terbaru Mantan Perdana, Tun Dr Mahathir Mohamed berhubung isu dalaman yang melanda Umno. Antaranya berhubung sikap segelintir pemimpin Umno yang dikatakan tidak suka orang yang lebih pandai masuk dan menyertai parti keramat untuk orang Melayu itu.

Beliau yang dilaporkan berkata dalam sidang media yang diadakan di Majlis Rumah Terbukanya petang tadi turut menjelaskan, isu tersebut adalah antara sebab kumpulan tersebut menyertai pakatan pembangkang.


"Jadi masalah lagi, Umno tak suka orang yang lebih pandai dari pemimpin mereka masuk, (mereka) takut. Jadi orang yang berkredibiliti tak masuk Umno. Itu pasal ramai sekarang ini yang masuk PAS.

“Masa dulu, PAS kita ingat ustaz-ustaz sahaja. Sekarang ini, ada doktor, peguam, jurutera. Mereka tak masuk Umno. Sama juga dengan orang-orang yang berkaliber yang dah pencen. Sebab itu ada jeneral yang masuk parti lawan," tegas beliau.

Dari satu segi pasti ada yang merasakan kenyataan tersebut adalah merupakan kritikan terbaru untuk Umno dan dilihat boleh melemahkan kekuatan parti. Namun sekiranya kita melihat kenyataan tersebut secara menyeluruh ia lebih merupakan satu NASIHAT sebagai satu usaha untuk memastikan Umno terus relevan di masa depan.

Ini kerana sebagai ‘orang lama’ yang berpengalaman, sudah pasti Mahathir dapat melihat sikap segelintir pemimpin Umno khususnya di bahagian yang telah menyebabkan ramai orang khususnya generasi muda lari meninggalkan parti itu.

Malah sekiranya ketika melihat kepada keputusan pilihan raya umum yang lalu, jelas menyaksikan penolakan masyarakat bandar secara TOTAL khususnya pengundi di saluran 3 dan 4. Indikator itu sahaja sudah cukup untuk membuktikan kenyataan Mahathir itu ada asasnya.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak suatu ketika dahulu juga pernah mengingatkan agar anggota parti segera bermuhasabah dan menginsafi diri dengan
memperbetulkan segala kelemahan sebagai satu usaha untuk menarik kembali sokongan masyarakat.  Malah saranan tersebut turut diperkasakan dengan beberapa perubahan drastik melalui transformasi politik khusus untuk mencapai matlamat itu.

Pendekatan tersebut juga dilihat, sebagai usaha berterusan Najib untuk memastikan Umno diberikan nafas baru selari dengan kehendak dan peredaran zaman. Walaupun ada yang memandang sinis, namun suka atau tidak usaha tersebut berjaya memberikan satu nafas baru buat Umno.

Kesimpulannya, pemilihan pada kali ini adalah merupakan satu cabaran baru untuk Umno secara keseluruhan. Bermula dari kriteria pemilihan mereka yang menawarkan diri untuk bertanding, sehinggalah kepada usul dan corak perbahasan. Semuaya akan dilihat dan dinilai oleh rakyat.

Apakah Umno benar-benar serius untuk memperjuangkan hak Islam, Melayu dan rakyat secara keseluruhan atau sebaliknya.

Selamat Bersidang diucapkan kepada semua sayap-sayap dan cawangan Umno yang akan bermesyuarat dan menunaikan tanggungjawab mereka. Tunaikanlah amanah yang diberikan itu dengan sebaiknya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /