Menjelang pemilihan UMNO hujung tahun ini,
setakat ini jawatan tertinggi yang bakal menyaksikan pertandingan hanyalah
Ketua Pergerakan Wanita UMNO bilamana bekas Ketua Puteri UMNO, Azalina Othman
Said mengumumkan kesediaannya untuk mencabar kedudukan Shahrizat Jalil bagi
jawatan itu. Bagi jawatan penting lain seperti Presiden, Timbalan Presiden,
Ketua Pemuda dan Ketua Puteri, belum ternampak kemungkinan akan berlaku
pertandingan walaupun keinginan akar umbi untuk melihat berlakunya pertandingan
semakin meninggi.
Mungkin kerana terlalu awal atau
masing-masing ingin menumpukan kepada pilihanraya kecil Kuala Besut terlebih
dahulu, maka semua orang menyimpan dulu hasrat untuk bertanding itu.
Tetapi berbeza bagi jawatan Ketua Wanita,
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, telah awal-awal mengumumkan
hasratnya itu dan beliau menjadi individu terawal mengumumkan hasrat untuk
bertanding.
Keinginan Azalina merebut jawatan Shahrizat,
walaupun disebarluaskan sebagai hasrat untuk berkhidmat kepada Wanita UMNO dan
memberi nafas baru kepada pergerakan itu, hakikat bahawa Azalina turut ingin
menjadi menteri semula melalui kouta Wanita UMNO tidaklah boleh dinafikan
begitu saja.
Setelah sekian lama terpinggir daripada
kedudukan kabinet sejak 2009, Azalina tentunya membayangkan jika beliau menang
mengisi jawatan Ketua Wanita, peluangnya untuk dilantik sebagai menteri lebih
cerah berbanding jika hanya kekal tercongok sebagai Ahli Parlimen Pengerang dan
mengharapkan ehsan Perdana Menteri sahaja.
Tambahan pula, tidak ada daripada kalangan
Wanita UMNO yang diberikan jawatan menteri dalam pembentukan kabinet selepas
pilihanraya 5 Mei lalu. Dengan kedudukan Shahrizat yang dibelenggu dengan isu
NFC dan kedudukannya yang bukan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Negara, tidak
dinafikan lorongan untuk Azalina kembali ke kabinet lebih terbuka.
Lagi pula, tiada kerugian apa-apa untuk
Azalina mencuba nasib, untung-untung sabut boleh timbul.
Sehingga ini hanya ada dua wakil Wanita
sebagai timbalan menteri iaitu Ahli Parlimen Tenggara, Halimah Siddique dan
Ahli Parlimen Sungai Besar, Norian Kasnon dan jika Wanita ingin kebarangkalian
seorang ketua pergerakan itu dilantik sebagai menteri, Azalina mungkin pilihan
yang lebih tepat, lebih-lebih lagi beliau juga pernah menjadi menteri sebelum
ini.
Jika Shahrizat terus terpilih menerajui
Wanita, beliau hanya akan kekal berada di luar kabinet dan Wanita UMNO juga
terpaksa berpuas hati dengan dua jawatan timbalan menteri sahaja.
Walaupun Shahrizat mengalu-alukan hasrat
Azalina mahu merebut jawatan yang disandangnya tetapi beliau telah pun
memulakan serangan secara halus dengan mengatakan keinginan bertanding itu
tidak seharusnya dilihat mahu memecah-belahkan pergerakan itu dengan gambaran
seolah-olah bekas pimpinan Puteri UMNO ingin mengambil alih kepimpinan Wanita
UMNO pula.
Melalui serangan halus ini, tentunya
makcik-makcik dalam Wanita UMNO akan menguatkan lagi kubu masing-masing dan
akan berusaha memastikan kemasukan golongan puteri yang melebihi had umur 35
tahun ke dalam Pergerakan Wanita tidak akan menggugat kedudukan mereka. Dengan
cara ini, Shahrizat berharap kelebihan memihak kepadanya.
Ini secara tidak langsung menggambarkan
keinginan Shahrizat masih tinggi untuk mengekalkan jawatannya walaupun isu NFC
yang melibatkan keluarganya merupakan isu yang paling buruk dalam sejarah
pergerakan itu. Selain semua orang bercakap mengenai isu itu sebagai beban
kepada UMNO, Shahrizat juga akhirnya digugurkan sebagai menteri kabinet dan
tidak dipilih sebagai calon dalam pilihanraya, suatu hakikat yang membuktikan
UMNO juga mengakui beratnya beban daripada isu NFC itu.
Sepatutnya dengan UMNO sendiri mengakui
beliau sebagai beban, Shahrizat dengan rela hati mengundurkan diri dan membiarkan
pergerakan itu memilih pemimpinnya sendiri yang lebih berwibawa dan tidak
menyusahkan parti. Selagi beliau memimpin Wanita UMNO, kaitan beliau dengan
skandal NFC sukar dilekangkan dan akhirnya UMNO akan terus menerima kesannya.
Azalina pula, walaupun pernah memimpin Puteri
UMNO dan menjadi mengeri sebelum ini, beliau juga bukanlah pemimpin yang
betul-betul sesuai untuk pergerakan itu. Selain beliau dilihat agak asing
dengan lemah-lembut dan ciri-ciri kewanitaan Wanita UMNO yang mungkin
menyukarkan beliau mendekati perwakilan Wanita UMNO, sisi gelapnya semasa
menerajui Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pelancongan sebelum ini,
tidak seharusnya juga dipandang ringan.
Beliau pernah disiasat oleh SPRM berkaitan
isu politik wang dalam pemilihan UMNO 2009 dan seorang pegawainya dikatakan
pernah ditahan kerana memiliki beg yang penuh berisi wang tunai ketika itu.
Pendedahan mengenai sekeping cek ratusan ribu ringgit yang didakwa diterimanya
daripada seorang usahawan juga pernah memenuhi dada-dada media tidak berapa
lama dulu.
Koleksi kereta-kereta mewahnya juga pernah
didedahkan di blog dan laman sosial yang menggambarkan keperibadianya yang suka
bermewah dan mengumpul kekayaan. Orang-orang yang mengenalinya pula tahu bahawa
gaya hidup Azalina lebih mirip kebaratan dan jika ini didedahkan mungkin
menjejaskan peluangnya.
Beberapa isu berkaitan kementerian yang yang
pernah diterajuinya juga masih menjadi percakapan ramai. Walaupun beliau sudah
dibersihkan oleh SPRM dan tidak didakwa di mahkamah, hakikatnya Azalina tidak
menepati slogan popular mengenai kepimpinan iaitu seseorang itu mestilah bersih
dan juga kelihatan bersih.
Sama ada mengekalkan Shahrizat atau memilih
Azalina sebagai Ketua Wanita UMNO yang baru, masalah Wanita UMNO sebenarnya
tidak akan selesai dan tidak juga mampu menjadi cerminan bahawa pergerakan itu
menjadi lebih cantik dan menarik. Shahrizat ada bebannya yang tersendiri,
begitu juga dengan Azalina.
Untuk menyolek dan menghias dirinya menjadi
lebih menarik, Wanita UMNO sebenarnya perlu mencari pemimpin baru yang bukan
saja berwibawa tetapi juga tidak mempunyai beban yang dibawa bersamanya ke
dalam pergerakan itu. Mereka yang layak itu boleh dicari di kalangan Exco
Wanita UMNO atau pun yang di luar daripadanya.
Tetapi sehingga ini rasanya gandingan Halimah
Siddiqe dan Norian Kasnon yang mana kedua-duanya sudah menjadi timbalan menteri
dan Ahli Parliman, boleh dipertimbangkan untuk memberi nafas baru kepada
pergerakan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan