15 Ogos 2013

Buku ‘Awakening’: Pak Lah Masih Tidur




Penulis hampir terlepas isu buku yang menjadi kontroversi iaitu ‘Awakening’, yang mampu mengganggu kemeriahan Hari Raya. Tetapi, setelah membaca dan ‘mengorek-ngorek’ ceritanya, inilah dimaklumkan bahawa buku itu tidak menjadi gangguan langsung, malah tidak membawa apa-apa makna atau perubahan pun kepada rakyat Malaysia.

Pak Lah berdendam dengan Tun Mahathir bukanlah sesuatu yang baru kita dengar.  Begitu juga dengan hakikat bahawa Bridget Welsh dan James Chin yang menjadi pengarang buku tersebut, kerana kedua-dua mereka ini memang kerjanya membantai UMNO setiap hari.   
Dan berita bahawa Nurul Izzah dijemput untuk melancarkan buku ini di Singapura juga bukan sesuatu yang mengejutkan kerana umum sedia maklum bahawa Pak Lah dan kumpulan tingkat empatnya sememangnya meletakkan sebelah kaki di dalam PR, sementara sebelah lagi di dalam UMNO sebagai ‘jaminan’.

Justeru, apa yang dikatakan ‘kontroversi’ di dalam buku tersebut bukanlah kontroversi pun, tetapi sekadar usaha mencipta publisiti oleh para penulisnya, selain usaha beberapa pihak untuk mengucar-kacirkan UMNO dan mungkin juga usaha beberapa pihak lain untuk memenuhi ‘keperluan hidup’ mereka untuk terus menghentam Tun Mahathir.

Apa pun jua motifnya, UMNO wajar bersyukur ke hadrat Allah SWT atas satu lagi pengajaran, atau mungkin lebih tepat, ‘ulangkaji pelajaran’.  Dari apa yang penulis lihat, buku ‘Awakening’ seharusnya membantu menyedarkan UMNO mengenai kewujudan musuh dalam selimut.

Berapa kali UMNO perlu ‘diajar’? Pembabitan Singapura, hakikat bahawa para penulis buku tersebut punya hubungan dengan SUARAM dan bahawa PR ‘terlebih mesra’ dengan Pak Lah dan kumpulan tingkat empatnya, dan bahawa kesemua mereka menentang seorang individu iaitu Tun Mahathir - sepatutnya sudah mampu menyedarkan UMNO.

Tun Mahathir telah mengubah Malaysia dari sebuah negara dunia ketiga yang masih ‘baru’ kepada Harimau Asia yang dihormati dan disegani oleh rakan dan juga musuh. Sepanjang perkhidmatannya, beliau hanya membawa kebaikan dan kemakmuran kepada rakyat termasuk rantau ini dan seluruh dunia. Malangnya, telah menjadi kelaziman manusia di mana mereka yang disanjung dan dihormati turut mempunyai musuh yang ramai.

Oleh itu, adalah menjadi tugas kita untuk memilih sama ada untuk mempercayai dan menyokong musuh yang tidak menyumbang apa-apa selain menghentam Tun Mahathir saban hari, ataupun untuk mempercayai dan menyokong Tun Mahathir atas khidmat jasanya yang tidak berbelah bagi yang dapat kita nikmati sehingga ke hari ini.

Pendek kata, kita tidak perlu menjadi seorang ‘genius’ untuk membuat pendirian dalam isu buku ‘Awakening’ ini.

Bagaimanapun, hakikat bahawa musuh memilih untuk menyerang di ketika UMNO sedang bersiap untuk Perhimpunan Agong, adalah sesuatu yang amat menarik.  Ini kerana ia mampu membuka gelanggang kepada pertempuran terbuka.  Pertempuran terbuka adalah peluang bagi UMNO untuk membuat keputusan yang tepat, iaitu memilih pemimpin yang ‘benar’. Perlu diingatkan bahawa perhimpunan atau pertempuran ini boleh jadi peluang terakhir bagi UMNO untuk pulih sepenuhnya.

Untuk itu, Pak Lah mungkin memainkan peranan yang tidak lebih dari sekadar ‘subjek wawancara’ dalam buku tersebut sepertimana yang didakwanya tetapi beliau jelas telah menyedarkan kita semua. Terima kasih kepada Pak Lah, kita sekarang dapat melihat dengan lebih jelas di mana kedudukannya di dalam parti termasuklah kedudukan mereka-mereka yang mempertahankannya di dalam UMNO yang senada dengan PR.

Kesimpulannya, ‘kawan kepada musuh, bukanlah kawan’. Semoga UMNO menerima pengajaran ini dengan sebaiknya, untuk kesekian kalinya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /