Pelakon Didie Alias
mengambil langkah untuk mengurangkan sedikit imej pelik yang sering
ditampilkannya sebelum ini kerana menghormati empat anak perempuannya yang
sudah bertudung. Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd Ali, 40, berkata,
sebagai ibu, dia perlu menjaga penampilan diri dan tidak terlalu berlebih-lebih
kerana enggan anak-anaknya pula terkena tempias kritikan masyarakat.
"Sekarang ini
anak-anak perempuan saya semua sudah berhijab. Dan saya sebagai ibu tidak
mahulah melihat mereka dikritik hanya kerana penampilan saya.
"Bagaimanapun
unsur-unsur pelik masih lagi ada, cuma ia tidaklah keterlaluan seperti sebelum
ini. Dan fesyen yang dibawakan mengikut kesesuaian tema majlis," katanya.
Didie mempunyai lima
orang anak termasuk seorang anak lelaki iaitu Nur Dania, 20, Muhammad Danial,
19, Nur Dinie, 17, Nur Danie, 15 dan Nur Diana, 14. Tambah Didie, perubahan
imejnya juga dibuat berdasarkan komen-komen umum di laman sosial dan akan
menukarkannya jika ada gaya yang kurang disenangi masyarakat.
Bagaimanapun, dalam
usaha Didie memperbaiki gaya penampilannya, dia bersedia menerima kritikan. Sementara
itu, Didie baharu saja menyambut hari kelahirannya pada Sabtu lalu dan pada
hari sama dia telah memenangi Artis Lawak Wanita Paling popular Anugerah Lawak
Warna yang berlangsung di Istana Budaya.
Didie juga
menyifatkan kemenangan itu sebagai hadiah hari jadinya yang paling bermakna dan
berazam untuk menjadi pelakon dan pelawak yang lebih baik pada masa akan
datang.
"Sudah lama saya
dalam industri seni tempatan dan macam-macam penambahbaikan kualiti kerja saya
buat peminat-peminat yang sering menyokong saya.
"Bukannya mudah
nak jadi pelawak wanita kerana kami perlu menjaga batas-batas terutamanya
daripada segi pertuturan kata. Sebab itulah negara kita kekurangan pelawak
wanita sebab ianya bukan mudah," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan