Pas menasihatkan pemimpin-pemimpin DAP dan
semua pihak yang membuat bantahan supaya menonton filem Tanda Putera terlebih
dahulu sebelum mengeluarkan sebarang komen negatif atau mengambil tindakan
drastik menghalang tayangannya.
Timbalan Setiausaha Agung Pas, Datuk
Takiyuddin Hassan berkata, filem arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba itu
merupakan salah satu medium terbaik menyebarkan fakta sejarah kepada generasi
pasca merdeka, sekali gus yakin semua pihak yang terlibat dalam pembikinannya
melakukan kajian terperinci.
Menurutnya, pihak yang berasakan terdapat
kesilapan dalam pembikinan Tanda Putera selepas menonton filem itu boleh
membincangkannya secara membina untuk diperbetul bagi kepentingan generasi akan
datang.
Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan
Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyiarkan filem itu di Dewan Rakyat dan
Dewan Negara atau lokasi khusus bagi semua pemimpin menontonnya dan membuat
penilaian.
"Bagi saya filem itu berasaskan fakta
sejarah, jadi semua pihak yang terlibat dalam pembikinannya mesti membuat
kajian, buat satu cerapan mengenai fakta-fakta yang mahu dipertontonkan sama
ada di peringkat penulis skrip, pengarah atau penerbit.
"Saya yakin kajian sudah dibuat sebab
jika tidak dan fakta itu salah, maka akan dikritik, ditohmah dan macam-macam
lagi kerana kita tahu sejarah tidak boleh diubah. Cuma untuk berlaku adil saya
mencadangkan tontonlah dulu," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini
hari ini.
Filem itu sebelum ini mencetuskan kontroversi
selepas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melarang tayangannya di negeri
ini kerana mendakwa terdapat babak yang berbaur perkauman.
Walau bagaimanapun, Guan Eng yang juga
Setiausaha Agung DAP kemudiannya menyatakan beliau tidak pernah menghalang
tayangannya sebaliknya hanya menasihatkan pengusaha panggung wayang di negeri
tersebut berbuat demikian.
Mengulas mengenai arahan Guan Eng itu,
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu mengakui beliau turut keliru
dengan kenyataan bercanggah Ketua Menteri berkenaan.
Sementara itu, mengulas cadangannya supaya
semua Ahli Parlimen dan Senator dipertontonkan filem tersebut, menurut
Takiyuddin, usaha tersebut boleh dilakukan bagi memberi peluang kepada semua
pihak menyatakan pandangan dan kritikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan