Penguat kuasa Jawi menyita minuman keras sebagai bukti kes. |
Sambutan ambang
merdeka yang sepatutnya berlangsung dengan penuh kesyukuran dicemari pesta
minuman keras oleh pengunjung beragama Islam di sebuah kelab hiburan di Jalan
Sultan Sulaiman, di sini. Lebih memalukan apabila ia berlangsung dalam keadaan
pengunjung wanita berpakaian baju kurung dan kebaya dipercayai sempena tema
‘rumah terbuka Aidilfitri’ anjuran kelab berkenaan.
Ketika serbuan
dijalankan pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi),
kira-kira jam 2 pagi itu, rata-rata pengunjung sedang asyik berhibur bersama
‘bintang-bintang’ ternama dalam kalangan pengunjung tetap kelab berkenaan, yang
menyertai pertandingan karaoke di situ.
Pada awalnya, serbuan
kira-kira jam 1.30 pagi itu berlangsung aman, bagaimanapun beberapa pengunjung
gagal memberi kerjasama membuatkan pihak penguat kuasa Jawi terpaksa mengambil
masa lebih dua jam sebelum dapat menyelesaikan ketegangan yang berlaku.
Beberapa petugas
media juga menjadi ‘mangsa’ sasaran
pengawal kelab yang bertindak mengarahkan semua rakaman dipadamkan sambil
mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan.
Ketua Penolong
Pengarah Cawangan Operasi Jawi, Mohamad Rais Rasid berkata, dalam serbuan berkenaan,
seramai 30 pengunjung yang disyaki meminum minuman keras, ditahan untuk
siasatan lanjut manakala 20 lagi diberi notis perintah hadir kerana berkelakuan
tidak sopan di tempat awam.
“Setiap tahun kita
laksanakannya tetapi kali ini agak mencabar kerana membabitkan pengunjung yang
terlalu ramai dalam kalangan Melayu Islam dan itu amat menyedihkan kerana
tempat ini tidak sesuai untuk sambut merdeka. Ada hidang arak serta pencampuran
lelaki dan perempuan,” katanya selepas operasi berkenaan.
Operasi bermula jam
12 tengah malam itu berakhir kira-kira jam 4 pagi melibatkan 71 anggota penguat
kuasa Jawi dan juga polis.
Mohamad Rais berkata,
siasatan turut dijalankan ke atas penjual arak yang mana jika sabit salah boleh
membawa didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau
kedua-duanya.
Sementara itu, dalam
operasi sama, dua remaja berusia 20 tahun ditahan kerana berkhalwat hasil
serbuan ke atas sebuah hotel bajet di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras.
Pihak penguat kuasa
Jawi terpaksa menunggu kira-kira empat minit sebelum pintu dibuka dan mendapati
remaja perempuan itu cuba menyembunyikan diri dalam tandas bilik hotel dalam
keadaan separuh bogel.
Kedua-duanya dibawa
ke Jawi sebelum diikat jamin dan kes disiasat mengikut seksyen 27 kerana
berkhalwat dan jika sabit salah denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak
lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan