Oleh : Herman Hamid
Lambang 'R4bia' atau jari empat memang cukup
popular ketika ini dalam kalangan penyokong bekas Presiden, Mohammed Mursi
termasuk di Malaysia. Lambang itu merujuk kepada Dataran Rabaah yang bermaksud
empat iaitu lokasi tragedi berdarah 14 Ogos lalu di Masjid Rabiatul Adawiyah.
Namun sepanjang lebih
seminggu berada di Kaherah, tidak sekali pun penulis dapat melihat rakyatnya
memakai baju berlambangkan 'R4bia'
mahu pun mana-mana kenderaan yang mempunyai pelekat simbol tersebut kecuali
pada hari perhimpunan jalanan yang biasanya berlangsung setiap Jumaat.
Selain daripada hari
perhimpunan, lambang jari empat itu nyata sepi daripada pandangan walaupun
bandar raya ini dihuni 18 juta penduduk yang pastinya sebahagian daripada
mereka pernah mengundi Mursi untuk jawatan Presiden tahun lalu.
Nyata, untuk
penentang kerajaan sementara Mesir memakai apa-apa simbol berlambangkan 'R4bia' bukan mudah, tidak semudah
penyokong pakatan pembangkang di Malaysia memakai baju pertubuhan haram Bersih
suatu masa dahulu. Ia kerana ketika ini Mesir masih di bawah perintah darurat
yang mula dilaksanakan selepas insiden berdarah 14 Ogos lalu di Dataran Rabaah
dan Nahdah.
Dalam tempoh ini,
kira-kira 2,000 dilaporkan ditahan pihak berkuasa Mesir atas alasan memerangi
keganasan, suatu usaha yang dilihat bagi memberi tekanan kepada kumpulan
penyokong Mursi.
Sebab itu, pemerhati
melihat gerakan kumpulan penyokong Mursi mulai lemah dan protes duduk di
beberapa masjid di bandar raya ini telah dapat ditamatkan pihak berkuasa
selepas dua kem penyokong bekas Presiden di Rabaah dan Nahdah di gempur biar
pun natijahnya, tragedi itu mengorbankan banyak nyawa dengan dianggarkan
kira-kira 1,000 maut.
Namun hasilnya kepada
pemerintah sementara yang disokong tentera, tiada lagi khemah penyokong Mursi
di Kaherah. Sebagai alternatif, penyokong Mursi kini melakukan protes jalanan
khususnya setiap hari Jumaat. Bila ditanya kepada peserta perhimpunan sampai
bila mereka akan berbuat demikian, ramai yang mengatakan hanya Allah yang tahu.
Untuk melihat Mursi
dibebas dan dikembalikan ke jawatan Presiden seperti dituntut kumpulan
penyokong beliau, perkara itu memang mustahil. Ibarat anjing menyalak bukit.
Sebab itu, bagi
sebahagian penduduk yang ditemui, harapan mereka adalah untuk melihat keadaan
di Mesir kembali aman setelah hampir dua bulan berada dalam keadaan tidak
menentu biar pun mempunyai pandangan politik tersendiri.
Tidak sukar untuk
memahami keluhan mereka, sebagai contoh dengan perintah berkurung pada waktu
malam, banyak aktiviti terganggu dan perniagaan terjejas apatah lagi masyarakat
Arab dikenali dengan kehidupan mereka yang aktif pada waktu malam.
Kafe-kafe yang
menjadi lokasi tumpuan penduduk Kaherah minum kopi sambil menghisap shisha yang
biasanya beroperasi sehingga awal pagi terpaksa ditutup awal. Peniaga rugi
besar.
Namun pihak berkuasa
mempunyai sebab tersendiri menguatkuasakan perintah berkurung walaupun ada
melihatnya sebagai usaha membolehkan penyebaran propaganda melalui televisyen
berlaku lebih berkesan ketika rakyat tiada pilihan kecuali berkurung di rumah.
Yang pastinya,
keadaan di Mesir ketika ini bukan sesuatu yang diinginkan untuk berlarutan
apatah lagi negara yang mempunyai ribuan tarikan bersejarah ini banyak
bergantung kepada aktiviti pelancongan.
Ketika ini pelancong
menjauhkan diri walaupun Mesir mempunyai salah satu benda ajaib di dunia -
piramid. Pengusaha pelancongan mengeluh, dua bulan perniagaan mereka terjejas
teruk.
Maka, rakyat Mesir
umumnya berhak berasa bosan dengan apa yang berlaku. Namun semua natijah ini
berlaku atas pilihan sebahagian daripada mereka juga apabila seorang Presiden
yang dipilih menerusi demokrasi digulingkan.
Tarikh 30 Jun bermula
demonstrasi besar-besaran menentang Mursi. Penentangnya mahu beliau berundur
kerana perubahan yang diharapkan selepas jatuhnya rejim Hosni Mubarak tidak
berlaku seperti mana diingini.
Bagi mereka, keadaan
ekonomi semakin merosot, taraf hidup tidak banyak berubah. Masalah rakyat
banyak yang tidak diselesaikan. Lebih daripada itu, Mursi yang berorientasikan
Islam dan Ikhwanul Muslimin dikaitkan dengan keganasan.
Pelbagai alasan lain
juga diberikan penyokong kerajaan sementara ketika ditemui penulis termasuk
tidak kurang yang melabel Mursi sebagai tidak mempunyai kewibawaan untuk
memimpin negara. Kepada mereka, Dr. Mursi hanya layak sebagai pensyarah
universiti. Bagi kumpulan ini yang sinonim dengan Dataran Tahrir, Panglima
Tentera Mesir, Abdul Fatah al-Sissi dijulang kerana pengaruh tentera, Mursi
dapat disingkirkan.
Jelas sekali begitu
besar peranan pasukan keselamatan kepada negara yang pernah menyaksikan
beberapa bekas Presiden mereka berlatar belakang tentera berbanding untuk
menghormati kehendak demokrasi yang baru sahaja diputuskan tahun lalu.
Apa pun alasan,
kesabaran mereka cukup singkat untuk Mursi walaupun sebelum ini mampu bersabar
untuk tempoh 30 tahun dengan seorang lagi bekas Presiden iaitu Hosni Mubarak
yang hanya digulingkan pada awal 2011.
Ketika kemuncak Arab
Spring di Mesir waktu itu, mereka tanpa mengira fahaman, baik sekular,
sosialis, liberal mahu pun pro-Islam, semuanya dapat bersatu untuk menjatuhkan
Mubarak tetapi malangnya tidak dapat bersama bagi perkara yang jauh lebih
penting, mentadbir negara.
Akhirnya selepas dua
tahun setengah, negara yang dianggap lama tidak merasai demokrasi sebenar
memilih sekali lagi cara jalanan bagi menumbangkan seorang Presiden. Sebab itu,
bagi sebahagian penyokong Mursi mereka tetap bertekad untuk tidak berundur dan
berserah kepada Allah kerana percaya perjuangan mereka adalah atas nama
kebenaran.
Biar pun Masjid
Rabiatul Adawiyah rancak dibaik pulih manakala banyak tembok serta dinding di
sekitar bandar raya ini yang sebelum ini dipenuhi contengan tulisan luahan
pro-Mursi mula dipadam, namun kemarahan penyokong tegar beliau tidak boleh
diredakan dengan semudah itu.
Bagi penentang Mursi
pula yang rata-ratanya golongan sekular dan liberal dengan sebahagiannya masih
melihat jambang dan janggut sebagai simbol penyokong Mursi, mereka juga kukuh
dengan alasan sendiri.
Malah mereka percaya
demonstrasi besar-besaran menjatuhkan Mursi selama empat hari bermula 30 Jun
itu juga perlambangan suara rakyat. Namun di sebalik konflik berdarah terburuk
di negara ini terdapat kumpulan kecil yang turut berdemonstrasi menggesa dana
asing disekat di samping yang lebih utama, mereka mahu pertumpahan darah oleh
kedua-dua belah pihak dihentikan seperti disuarakan Khaled Wael, 23, serta
rakan-rakannya di Hayyu Sabeik, Nasr City Rabu lalu.
Mesej pada baju T
yang dipakai mereka mudah, 'Haram menumpahkan darah sesama umat Islam' -
pesanan yang cukup tepat bukan sahaja dalam konteks Mesir tetapi kepada seluruh
dunia Islam. Biar pun demikian, jika mahu melihat pergolakan politik Mesir
berakhir dalam waktu terdekat, perkara itu bukan mudah. Ibarat menanti bulan
jatuh ke riba.
Malah protes jalanan
minggu ini tidak seperti mana minggu lalu apabila menyaksikan ada nyawa yang
terkorban sekali gus memungkinkan tempoh darurat dilanjutkan biar pun penyatuan
nasional sedang giat digerakkan. Maka, segalanya mungkin selepas ini tambahan
pula bumi Mesir pernah menyaksikan kewujudan Musa a.s dan Firaun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan