04 September 2013

Lebih Baik Negara Aman!




Oleh : Khairol Anuar Masuan

Tentunya menjadi kebimbangan di hati semua ibu bapa yang menghantar anak mereka ke Mesir. Apatah lagi perkembangan terbaru menunjukkan bumi Mesir semakin tidak menentu. Bekalan makanan di sana terutamanya di sekitar Kaherah dilaporkan sudah mula berkurangan.

Segala urusan harian yang dianggap mudah dahulunya semakin menjadi sukar. Namun begitu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, telah memberikan arahan agar pelajar-pelajar kita di Mesir dibawa pulang. Ini mengulangi Ops Piramid yang pernah dilaksanakan pada tahun 2011, apabila kekacauan yang hampir sama berlaku.


Sudah tentu kesiapsiagaan negara untuk membawa pulang pelajar-pelajar ini yang kira-kira 3,300 orang ini memberikan kelegaan kepada ibu bapa di tanah air. Ini sekali gus menunjukkan bahawa pihak kerajaan amat prihatin dengan hal-hal kebajikan rakyat terutama para pelajar. Sudah pasti kerajaan memandang pelajar-pelajar ini sebagai modal insan negara dimasa akan datang.

Lebih-lebih lagi kerajaan kita amat proaktif untuk menjaga kebajikan pelajar-pelajar ini. Malahan biaya untuk membawa pulang pelajar kita di Mesir bukan murah dan mudah. Pelbagai keperluan logistik perlu disediakan awal untuk memudah urusan kepulangan.

Bagi pelajar-pelajar ini pula mereka pastinya mendapat satu pengalaman yang benar-benar memberi kefahaman betapa keamanan adalah penting bagi kemaslahatan dan kelangsungan sesebuah negara.

Berpunca daripada kelangsungan inilah yang menjana kemajuan negara dari segi fizikal dan rohani. Dari sudut pandangan psikologi pula, worldview pelajar ini diharap akan menjadi lebih matang. Ini kerana isu keselamatan dan keamanan negara bukan hanya terletak kepada bahu pihak kerajaan semata-mata. Ia sebenarnya terletak kepada semua pihak.

Penulis teringat kata-kata ustaz dan ustazah sewaktu di sekolah dahulu; mereka ini semasa belajar di Mesir pernah mengalami suasana perang dengan Israel. Mereka juga pernah mengalami insiden 13 Mei 1969.  Mereka semua berkata, adalah lebih baik aman daripada kacau-bilau dan jangan terlalu berharap untuk mengubah sesuatu dengan drastik kerana kita belum tentu berdaya untuk mengalaminya.

Pengalaman ini diharap mematangkan kita semua bahawa harga sebuah keamanan itu sangat mahal, malah kita tidak patut mengabaikannya. Negara kita lebih dikenali bukan kerana kejayaan pembangunan dengan pencakar langit dan pelbagai lagi, tetapi kita dikenali kerana kita cintakan keamanan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /