Kalimah Allah
merupakan antara isu sensitif yang membelenggu umat Islam negara ini yang
rata-ratanya masih tidak faham mengapa dan apa tujuan pihak tertentu mahu
menterjemahkan 'tuhan' mereka kepada kalimah suci tersebut.
Lebih pelik, mengapa perlu adanya terjemahan
bahasa Melayu sedangkan penganut agama tersebut rata-ratanya menggunakan bahasa
Inggeris atau bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar dalam urusan
harian, sehingga ada yang tidak fasih bahasa kebangsaan.
Melihat kembali isu kepala lembu yang
dikatakan sensitif kepada penganut Hindu, tindakan tegas diambil dan begitu
juga dalam kes melibatkan gereja Kristian, hal-hal agama Buddha dan lain-lain
agama tetapi berbeza pula dalam hal-hal berkaitan Islam sedangkan Perlembagaan
Negara meletakkan Islam di kedudukan tertinggi.
Sudah tentu puncanya penguatkuasaan yang
lemah dan perpecahan umat Islam sendiri tetapi mengapa sensitiviti orang Islam
yang menjadi kumpulan majoriti di negara ini terus menerus dipermainkan atas
alasan hak bersuara, hak asasi, kesamarataan dan sebagainya?
Jika di negara Islam lain, adakah golongan
yang mempermainkan sensitiviti agama Islam ini berani bertindak sejauh itu
tanpa mempedulikan perasaan mahupun risau akan tindak balas yang mungkin
diambil sedangkan mereka ini mungkin hanya mewakili suara minoriti penganut
agama-agama lain.
Walaupun umumnya ramai yang semakin hilang
keyakinan terhadap orang politik khususnya pemimpin yang kononnya
memperjuangkan Islam, umat Islam di negara ini masih cuba mengelakkan sebarang
kekerasan dalam melindungi kesucian agama mereka.
Selaku masyarakat Timur, orang Melayu yang
terkenal dengan santun dan sabar masih cuba menggunakan cara lembut menegaskan
kepada semua pihak melalui asas dan fakta bahawa perkara-perkara sensitif bagi
orang Islam tidak wajar dibangkitkan secara terbuka.
Ketua Penerbitan dan Penyelidikan, Institut
Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM), Profesor Dr. Mohamed Ajmal Abdul Razak Al-Aidrus memilih
mengemukakan hujah penuh isu tersebut dari pelbagai sudut melalui buku yang
diterbitkannya pada Mei lalu.
Menurut beliau, antara hujah utama kononnya
penggunaan kalimah Allah bermula 400 tahun lalu dalam kitab Injil dan gereja di
negara ini tidak boleh diterima pakai kerana ketika itu merupakan era penjajah
yang zalim.
"Ketika itu mereka penjajah, tidak
pernah minta kebenaran orang Islam dan kita juga tidak pernah berikan kebenaran
kepada mereka untuk berbuat demikian. Sama juga kesnya di Sabah dan Sarawak
yang turut dijajah dan tiada kebenaran.
"Tidak kira 400 tahun atau berapa lama
sekalipun, faktanya mereka tidak pernah mendapat kebenaran orang Islam tetapi
sebagai penjajah ketika itu, tentu mereka boleh melakukan sesuka hati dalam
bermacam perkara," tegasnya.
Beliau turut menempelak pihak yang mendakwa
tiada bukti wujudnya usaha mengkristiankan orang Islam di negara ini bagi
mengelak dikaitkan dengan isu kalimah Allah kerana banyak bukti telah direkodkan
dan ada dinyatakan dalam buku tulisannya itu, 'Mencari Nama Tuhan; Penganut
Kristian dan Hak Penggunaan Kalimah Allah.'
Tambahnya, cubaan memutar isu tersebut
sebagai mengongkong dan tidak membenarkan mereka menjalankan ibadat seperti
dalam Artikel 11 Perlembagaan Negara juga karut kerana orang Islam cuma tidak
benarkan penggunaan kalimah-kalimah yang berkaitan dengan agama Islam sahaja.
"Ada juga mahu berhujah orang Arab
benarkan guna kalimah Allah tetapi masalahnya penganut Kristian di negara ini
tidak gunakan bahasa Arab (dalam urusan harian), orang Melayu sahaja yang
gunakan Allah dan kalimah itu ada satu makna sahaja di Malaysia.
"Seperti di Sabah dan Sarawak, kalimah
Allah digunakan untuk mengelirukan orang ramai, seterusnya mengkristiankan
mereka yang tidak memahami perbezaannya (Allah dalam al-Quran dan Injil),"
dakwanya.
Beliau menolak saranan mengikut cara negara
Arab dan Indonesia membenarkan kalimah Allah digunakan orang bukan Islam kerana
sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia berhak mempunyai pendirian sendiri
bersesuaian dengan situasi dalaman negara dan tidak perlu mengikut cara orang
lain.
Beliau juga mempersoalkan kenapa kalimah
Allah mahu digunakan agama lain kerana tiada agama di dunia ini yang tidak
mempunyai nama khusus untuk tuhannya sehinggakan perlu meminjam nama tuhan
daripada agama lain.
"Di India, tiada pula mahu pinjam nama
tuhan penganut Hindu. Dalam anutan Kristian sebenarnya ada nama-nama khas tuhan
seperti Yahwah, Eli Eli dan Eloi yang digunakan. Tuhan (God) tidak pernah ada
terjemahan, perkataan 'Lord' pula membawa makna 'tuan'.
"Semua agama adalah berkenaan tuhan,
bagaimana pula Kristian tiada nama khas untuk tuhan mereka? Ini bukan masalah
tidak boleh teruskan ibadat jika tidak dapat gunakan kalimah Allah, ini masalah
linguistik," katanya.
Mohamed Ajmal mendakwa pernah dimaklumkan
bahawa pihak Vatican juga tidak setuju menggunakan kalimah Allah sedangkan
pihak yang membangkitkan isu tersebut mungkin tidak mewakili suara majoriti
orang Kristian Katolik di negara ini sementara Kristian Protestan hanya
mendiamkan diri.
"Saya tidak tahu berapa ramai daripada
sembilan peratus penganut Kristian Malaysia yang menyokong usaha ini tetapi
banyak gereja (di negara ini) mencadangkan agar gunakan nama asal tuhan mereka
dalam bahasa Aramic sahaja.
"Kita tidak mahu perkara lebih buruk
berlaku kerana saya rasa ada niat tidak baik dalam tuntutan ini seperti sengaja
dijadikan isu dan mencari pasal dengan orang Islam. Pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) Islam perlu lebih tegas, kerajaan pula perlu peka kehendak rakyat
khususnya umat Islam dalam isu sebegini," ujarnya.
Orang ramai yang mahu membaca hujah penuh
mengapa kalimah Allah hanya untuk orang Islam boleh mendapatkan buku 'Mencari
Nama Tuhan; Penganut Kristian dan Hak Penggunaan Kalimah Allah.' di ISTAC,
UIAM; menempah melalui emel kalimahAllah2013@gmail.com atau menghubungi
talian 011-23353785.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan