Ummu Jah (tengah) dan pengikutnya berjanji untuk meninggalkan Aurad Muhammadiah. |
“Saya mengakui
sebelum ini mengamalkan ajaran sesat. Lafaz sumpah taubat secara rasmi masih
belum dilaksanakan tetapi kita bersedia melakukannya di hadapan pihak berwajib.
“Tetapi daripada segi
dasar saya dan kepimpinan akan kembali kepada fatwa serta menghebahkan kepada
ahli untuk berbuat perkara sama,” kata Pengarah Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB),
Hatijah Aam atau dikenali Ummu Jah.
Balu pengasas
pertubuhan yang diharamkan pada 1994, Al-Arqam, Ashaari Muhammad ini semalam
berikrar untuk patuh kepada fatwa dan dengan rela hati meninggalkan ajaran
Aurad Muhammadiah. Beliau juga meminta masyarakat tidak mempersoal atau membuat
andaian pengakuannya untuk kembali patuh kepada fatwa sebagai lakonan.
Ummu Jah berkata,
tindakan tersebut juga sama seperti memperkecilkan bidang kuasa Jabatan Agama
Islam Selangor (Jais) yang bertanggungjawab memantau pergerakan GISB yang
sebelum ini dikaitkan dengan ajaran sesat, Aurad Muhammadiah.
Menurutnya, beliau
berharap isu ajaran sesat diselesaikan segera tanpa mengaitkan dengan GISB.
“Kita mahu
memperbetulkan akidah dahulu dan kemudian memfokuskan kepada perniagaan untuk
memberi keyakinan kepada pelabur dan orang awam. Isu ini telah berlarutan dalam
tempoh yang lama menunjukkan ia diambil serius oleh pihak berwajib,” katanya.
Katanya, melalui
perbincangan bersama Jais sebelum ini tidak wujud isu pengharaman GISB
sebaliknya pertemuan hanya bersifat perbincangan isu akidah.
“GISB didaftarkan di
bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan kita akan membuat pembentangan
aset akaun. Sekiranya ia jelas maka tidak akan wujud pembatalan pendaftaran.
“Perbincangan adalah
ke arah membantu mengadakan program atau memberikan penjelasan supaya ahli-ahli
GISB patuhi fatwa," katanya.
Katanya, masyarakat
perlu memberi peluang kepada ahli GISB yang dianggar seramai 4,000 orang untuk
memahami fatwa dan kembali ke pangkal jalan.
Mengulas berkenaan
dakwaan bekas ahli GISB apabila anak dan isterinya dikuarantin serta
disembunyikan, UmmuJah berkata, beliau dalam proses memfailkan kes itu ke
mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan