Peranan wanita selaku pejuang dan pemimpin
terus dihargai kerajaan apabila empat pemimpin Pergerakan wanita UMNO dilantik
ke beberapa jawatan penting negara. Langkah ini memberi peluang kepada wanita
untuk berada di kedudukan membuat keputusan yang memberi impak positif
khususnya dalam membuktikan kemampuan wanita membuat sumbangan besar kepada
bangsa, agama dan negara.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul
Jalil dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bagi Pembangunan
Usahawan Wanita dan Ikhtisas; serta Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar
sebagai Ahli Majlis Tertinggi bagi mengisi kekosongan bekas Naib Ketua
pergerakan itu, Datuk Kamilia Ibrahim.
Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita UMNO,
Datuk Hamidah Osman dilantik sebagai Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha
Niaga (TEKUN) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Tidak ketinggalan, Exco Wanita UMNO, Datuk
Jamelah A. Bakar sebagai Ahli Lembaga Pengarah KUB Malaysia Berhad. Sudah
tentunya, pemimpin-pemimpin Wanita UMNO ini memberi sumbangan yang bukan
sedikit kepada kerajaan dan negara.
Ini kerana di dalam mana-mana pilihan raya
kecil atau pun umum di negara ini, Wanita UMNO sentiasa berada dekat dengan
kerajaan. Mereka sentiasa ke hadapan dalam melakukan kerja-kerja turun padang
dan memberi penerangan kepada orang ramai mengenai dasar-dasar kerajaan.
Selain kerajaan menunaikan janjinya
mengangkat peranan wanita dalam proses kemajuan dan pembangunan negara, langkah
ini diharap membakar semangat wanita dalam setiap sektor di negara ini mengejar
impian dan mencapai potensi tertinggi mengikut kemampuan mereka.
Kerajaan sentiasa memberi laluan terhadap
kemajuan wanita dalam pelbagai sektor dengan tumpuan khas kerajaan dalam
Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015). Ini termasuk meningkatkan penyertaan
wanita dalam pekerjaan kepada 55 peratus pada 2015.Sehingga kini hanya 49
peratus golongan wanita berada dalam bidang pekerjaan pada masa ini.
Justeru tentu banyak yang perlu dilakukan
untuk menarik golongan wanita bekerja memandangkan bakat dan pendidikan mereka
yang tinggi seharusnya tidak disia-siakan.
Bukan sahaja mengharapkan kerajaan, semua
pihak tidak kira dalam apa jua sektor perlu bersama memperakui kemampuan wanita
untuk berjaya dalam pelbagai bidang dan tidak lagi terbatas kepada kerja-kerja
tradisional di rumah dan dapur sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan