18 Ogos 2013

Kanak-Kanak 5 Tahun Mangsa Dera, Perlu Sokongan


Kanak-kanak berusia lima tahun yang disyaki didera ibunya memerlukan sokongan untuk meneruskan hayatnya.


IPOH: Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang disyaki didera oleh ibunya terus memerlukan sokongan untuk hidup sejak dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini pada Khamis lalu.

Ketua jabatan pediatrik hospital, Datuk Dr Amar Singh berkata kanak-kanak yang sedang dirawat di unit rawatan rapi itu tidak sedarkan diri atau tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pergerakan.

“Apabila bapanya membawanya masuk, dia tidak mempunyai denyutan jantung dan terpaksa disedarkan menggunakan alat,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar, Ahad.

Dr Amar Singh berkata doktor yang merawat kanak-kanak berkenaan melihat lebam dan luka di seluruh kepala dan badannya segera mengetahui bahawa ia adalah satu kes penderaan dan memberitahu pihak polis.

“Walaupun kita masih tidak boleh menentukan objek yang digunakan sehingga mengakibatkan luka dan kecederaan, kecederaannya terlalu teruk untuk ditanggung.

“Kami mengesyaki terdapat kecederaan dalaman juga, tetapi kanak-kanak itu kini terlalu lemah untuk menjalani imbasan untuk mengetahui keadaan sebenarnya,” katanya.

Bapa kanak-kanak ini dilaporkan telah membawa anaknya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini pada Khamis.

Seorang doktor yang terperasan kesan rotan dan lebam di seluruh kepala dan badannya kemudian membuat laporan polis, membawa kepada penangkapan ibu bapanya di rumah mereka di Menglembu kira-kira pukul 1.30 tengahari Jumaat.

Mahkamah Majistret kemudian mengeluarkan perintah tahanan reman selama tiga hari terhadap ibu bapanya pada Sabtu untuk membantu siasatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Intergrasi Nasional, Datuk Rusnah Kassim, yang melawat kanak-kanak itu pada Sabtu melahirkan rasa terkejut melihat keadaan kanak-kanak itu.

“Kami telah menghadkan akses ahli keluarga ke wad sementara menunggu pihak polis dan Jabatan Kebajikan negeri untuk menyiasat kemungkinan terdapat pendera lain dalam keluarga.

“Sementara itu, dua adik-beradik kanak-kanak itu yang berumur lapan dan dua tahun berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya, sambil menambah kedua-dua mereka tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda penderaan fizikal.

Rusnah berkata beliau tidak dapat mengesahkan dakwaan bahawa wanita itu mempunyai sebab khusus yang membawa kepada penderaan itu, tetapi menegaskan bahawa tidak ada sebab yang mewajarkan untuk kanak-kanak didera.

“Malah, jika dia adalah seorang kanak-kanak yang memerlukan penjagaan khas, terdapat banyak saluran bantuan seperti rawatan perubatan, kumpulan sokongan dan rumah-rumah kebajikan.

“Ibu bapa tidak perlu mengambil jalan keluar dengan melakukan penderaan sebagai satu cara untuk mendisiplinkan tingkah laku anak.

“Jiran juga perlu memaklumkan kepada pihak berkuasa jika mereka melihat atau mendengar tanda-tanda penderaan kanak-kanak, bukan menganggap masalah orang lain sebagai bukan masalah mereka,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /