19 Ogos 2013

Isu Kalimah Allah : Umat Islam Perlu Bersatu Bantah



Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berhubung pendirian kerajaan dalam isu kalimah Allah amat menarik untuk diperkatakan. Beliau semalam dilaporkan berkata kerajaan TETAP dengan pendirian bahawa penggunaan kalimah Allah adalah merupakan HAK MUTLAK penganut agama Islam dan tidak boleh digunakan penganut agama lain.


"Ini bukan soal hak, tapi lebih daripada hak mutlak, kalimah Allah adalah hak mutlak orang Islam. Kita hormati agama lain, tapi dalam soal ini kita juga mahu agama lain hormati agama Islam. Soal kalimah Allah ini hendaklah diberikan noktah" tegas beliau.

Isu penggunaan kalimah Allah berjaya menarik perhatian umum apabila akhbar mingguan The Herald yang diterbitkan dalam empat bahasa menggunakan kalimah “Allah” sebagai merujuk kepada “God” dalam terbitan bahasa Melayu.

Pada 31 Dis, 2009 yang lalu, Mahkamah Tinggi telah mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melarang penerbitan The Herald daripada menggunakan kalimah “Allah” adalah salah, batal dan tidak sah.

Oleh yang demikian, Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur pada 22 Ogos ini akan mendengar permohonan Titular Roman Catholic Archbishop bagi membatal rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan tersebut.

Gereja Katolik diketuai Biskop Murphy Pakiam, memfail permohonan semakan kehakiman pada 16 Februari 2010 dengan menamakan KDN dan kerajaan sebagai responden. Ia antara lain bagi memohon deklarasi bahawa keputusan KDN melarang penggunaan kalimah “Allah” dalam The Herald sebagai tidak sah.

Namun apa yang merisaukan apabila ada beberapa pimpinan pembangkang seolah bersetuju dengan tindakan tersebut. Walaupun mereka menggunakan pelbagai hujah bagi menyokong tindakan tersebut, namun umum mengetahui, ia lebih menjurus kepada tindakan politik mereka bagi menarik sokongan masyarakat bukan Islam.

Tambahan pula Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 - 7 Mei 2008 turut membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah ini. Muzakarah tersebut telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain.

Oleh itu WAJIB bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Antara hujahnya ialah keputusan tersebut adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan kenyataan yang mengatakan kalimah Allah bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.

Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God diterjemahkan sebagai Allah. Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan kepada akidah dan kesucian agama Islam.

Tambahan pula keputusan kabinet yang bertarikh 16 Mei 1986 telah termaktub melarang mana-mana agama selain Islam untuk menggunakan empat perkataan iaitu Allah, Solat, Baitullah dan Kaabah. Malah ada sesetengah negeri yang menambahkan lagi beberapa perkataan yang dianggap boleh mendatangkan kekeliruan dan bahaya kepada umat Islam apabila digunakan oleh bukan Islam.

Oleh yang demikian, adalah merupakan suatu perkara yang pelik apabila masih lagi ada yang cuba menuntut kerajaan Malaysia untuk membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah bagi tujuan penerbitan bahan bercetak mereka?

Kesimpulannya semua perkara yang berlaku ini adalah disebabkan lemahnya perpaduan dalam kalangan umat Islam. Ia merupakan punca agama Islam terus diperkotak-katikkan oleh pelbagai pihak yang ingin melihatkan Islam terus hancur dan tidak dihormati lagi.

Tambah menyedihkan, ada segelintir pemimpin pembangkang yang beragama Islam sanggup memperjudikan serta menggunakan isu ini untuk kepentingan politik. Kepada seluruh umat Islam di negara, BERSATULAH, BERSATULAH, BERSATULAH dalam menyatakan bantahan terhadap apa jua usaha dari mana-mana pihak yang sengaja ingin mencabar dan menggugat kesucian agama Islam.

Ketepikan perbezaan ideologi politik dan sebagainya, kerana apa yang penting pada ketika ini mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan Negeri.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /