06 September 2013

Roboh Kuil : Pembangkang Guna Untukl Timbul Ketegangan Kaum




Kejayaan DAP mengukuhkan kedudukan di Parlimen kepada 38 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu menjadi petanda bahawa kemelut perkauman di negara ini akan bertambah buruk. Malah sebelum dan pasca PRU 2008 negara sudah dibelenggu dengan pelbagai isu yang dikaitkan dengan isu rasisme.

Daripada isu kematian suspek berbangsa India di dalam tahanan, isu roti Gardenia, hinggalah kepada isu kematian seorang pembantu Exco Selangor, Teoh Beng Hock - semuanya dilihat dari kaca mata perkauman oleh pembangkang.

Setelah Dap mengekalkan kekuasaan di Pulau Pinang dan PKR di Selangor, insiden yang menjurus kepada persoalan perkauman menjadi bertambah serius. Isu kecil yang membabitkan kantin sementara di SK Seri Pristina di Sg Buloh juga boleh dibesar-besarkan menjadi isu perkauman yang besar.


Sekolah tidak lagi menjadi medan memberi pelajaran kepada anak-anak tanpa mengira bangsa atau agama tetapi telah dieksploitasi menjadi gelanggang politik oleh pembangkang. Yang menjadi mangsa adalah murid-murid sendiri yang diibaratkan sehelai kain putih yang bersih dan tidak dicemari oleh politik jijik yang di bawa oleh pakatan pembangkang.

Pembangkang tidak mempunyai nilai moral atau etika sehingga sekolah dan pusat pengajian tinggi pun sanggup dikorbankan bagi agenda politik mereka. Isu terbaru yang ingin dijadikan bahan perkauman oleh pembangkang ialah berhubung kuil Hindu Sri Muneswaran Kaliyaman di Jalan P. Ramlee.

Kedatangan anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah dihalang oleh penyokong-penyokong pembangkang yang menganggap kehadiran pihak berkuasa adalah untuk meroboh kuil berusia 101 tahun itu. Malah menyedihkan Ketua Pemuda MIC, T. Mohan dan anggota parti itu juga turut bersama pembangkang terbabit kononnya untuk menyelamatkan kuil tersebut.

Kedudukan sebenar tidak dinyatakan oleh pembangkang dan MIC tetapi mereka lebih bersikap emosi dan perkauman. Malah Mohan menuntut agar Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Tengku Adnan Mansor meletakkan jawatan berhubung isu itu.

Dalam kenyataan dan penjelasannya kepada pihak media dan blogger, Tengku Adnan menjelaskan DBKL sesekali tidak berniat untuk merobohkan kuil tersebut. Apa yang ingin dilakukan oleh DBKL ialah merobohkan sebuah restoran haram yang terletak di dalam kuil tersebut.

Dari segi undang-undang, tempat agama seperti kuil, tokong, gereja hatta masjid sekali pun tidak boleh menempatkan premis perniagaan seperti restoran. Tempat ini adalah semata-mata untuk tujuan ibadat dan tidak boleh disalahgunakan sebagai lokasi perniagaan.

Di dalam kes kuil tersebut, restoran haram itu telah menjadi tempat persinggahan dan berhimpun kumpulan-kumpulan gengster India. Inilah yang merisaukan penganut Hindu yang datang ke kuil itu untuk melakukan upacara sembahyang.

Tindakan tegas pihak polis membanteras kumpulan samseng dan gengster melalui Ops Cantas Khas telah menunjukkan impak yang positif dan dipuji rakyat. Apatah lagi jika premis kuil dijadikan markas kumpulan gengster, maka pihak polis tidak akan berkompromi sama sekali demi keselamatan awam.

Bagaimanapun pembangkang telah menggunakan isu ini untuk menuduh kerajaan bersikap zalim malah perkauman untuk menindas kaum India walhal niat sebenar adalah untuk mengelakkan gejala gengsterisme di kuil tersebut.

Kerajaan tidak perlu apologetik dalam hal ini kerana ia dilakukan berlandaskan undang-undang dan bagi mencapai tujuan yang lebih besar iaitu menjaga keselamatan rakyat. Ops Cantas Khas perlu diperluaskan lagi bagi menyaring semua tempat-tempat ibadat bagi memastikan ianya tidak disalahgunakan untuk menjalankan kegiatan yang bertentangan dengan undang-undang negara.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
\ /